Nabila Razali, nama yang tak perlu diperkenalkan lagi. Si pelantun lagu Pematah Hati ini kini kian ligat dengan karier seninya yang semakin memuncak. Namun begitu, sesibuk mana pun dirinya sepanjang bulan Ramadan ini, Nabila tetap memilih untuk berbuka puasa di rumah bersama keluarga.
“Detik ini bukan selalu ada memandangkan saya sentiasa sibuk dengan karier. Kesempatan itu saya manfaatkan pada bulan Ramadan. Semoga tahun ini kami sekeluarga berpeluang untuk berbuka puasa bersama. Antara juadah berbuka yang sentiasa saya nanti-nantikan setiap kali Ramadan ialah Martabak Daging, Puding Karamel, Nasi Beriani Daging dan Kuih Lompang.
Selain Datuk Chef Wan saya juga menjadikan ibu sebagai idola. Ibu bukan saja pandai memasak malah kreatif dalam mencipta menu-menu baru tanpa perlu merujuk buku dan sebagainya. Salah satu menu kreatif ibu ialah Ikan Bilis Goreng Cili yang dicampur dengan anggur. Rasanya sangat sedap!
Menu air tangan ibu yang lain yang turut menjadi kegemaran saya ialah Kari Baba Nyonya, Rendang Ayam dan Ayam Goreng Cili. Bagi saya keenakan rasanya sangat unik.
Nona kongsikan resipi Puding Karamel yang menjadi juadah kegemaran Nabila setiap kali Ramadan.
PUDING KARAMEL
Bahan-bahan:
- 4 biji trelur saiz A
- 1 tin susu cair
- 4 sudu besar gula
- 170 ml air
- Sedikit vanila esen
Cara Membuat:
Untuk karamel masak gula dan air di dalam kuali. Kacau sehingga keperangan lalu segera masukkan ke loyang. Ratakan karamel dan biar sejuk. Untuk puding, pukul telur sehingga rata jangan sampai berbuih. Masukkan susu cair, gula, air dan vanila esen. Kacau sehingga gula larut. Kemudian tapis adunan dan masukkan ke loyang yang telah dituangkan karamel tadi. Bungkus loyang dengan kertas aluminium lalu kukus selama 45 minit atau sehingga masak. Biarkan sejuk barulah diterbalikkan loyang. Simpan ke dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.
Senang Je DATIN EINA AZMAN Buat Tepung Pelita, Patutlah Hampir Separuh Juta Orang Tonton Resipinya!
Alahai, kecur tengok air tangan Datin Paduka Eina Azman. Apa sahaja juadah yang disediakan selebriti cantik ini bukan sahaja membuatkan peminat terliur malah
perkongsian resipi beliau sangat mudah untuk dihasilkan. Jadi tidak hairanlah laman Instagram Datin Paduka Eina sering ‘dikunjungi’ peminat setiap hari. Rupa-rupanya
ia menjadi medan rujukan masakan buat para suri rumah. Lebih-lebih lagi waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan sekarang.
Mengintai media sosial milik isteri Datuk Paduka Kaiser ini memang jelas terserlah betapa beliau meminati dunia masakan. Dari menu hidangan utama sehinggalah pencuci mulut, semuanya ‘tersimpan’ kemas di Instagram miliknya. Aneka jenis kek, pasta, spageti, lauk-pauk, kuey teow dan murtabak, semuanya ada. Yang pasti Datin Paduka Eina memang tak lokek berkongsi resipi.
Paling mengagumkan, setiap video masakan beliau memiliki jumlah tontonan tidak kurang daripada 200 ribu dan pernah menerima sehingga lebih 1 juta viewers menerusi resipi corn dog! Walau pertama kali beliau menyediakan sajian tersebut namun hasil air tangan Datin Paduka Eina tidak pernah menghampakan.
Terbaru, ibu kepada pasangan kembar Arianna Audrey dan Karl Kareef ini memuatnaik resipi kuih paling popular ketika musim bazar Ramadan iaitu tepung pelita. Menyedari orang ramai mungkin sukar untuk mendapatkan kuih tradisi tersebut memandangkan tiada penganjuran bazar Ramadan tahun ini ekoran wabak Covid-19, Datin Paduka Eina terpanggil untuk berkongsi resipi.
Biarpun baru memuatnaik video resipi tersebut tiga hari yang lalu namun sehingga kini ia telah mencecah hampir 400 ribu tontonan. Kongsinya, “Alhamdullilah today teringin nak makan Tepung Pelita. So terjadilah Tepung Pelitanya.” Tepung pelita air tangan Datin Paduka Eina sememangnya menyelerakan. Ditambah pula dengan hiasan daun pandan di atasnya yang menyerlahkan lagi aroma pandan. Makan sejuk-sejuk pun sedap.
Berikut resipi tepung pelita Datin Paduka Eina Azman. Selamat mencuba!
a) Bahan-bahan lapisan pandan (hijau)
- 1 cawan tepung beras
- 1 cawan air daun pandan
- Air
- Pewarna hijau
- Perasa pandan
- 1 cawan gula
- Sedikit garam
- Sedikit air kapur
b) Bahan-bahan lapisan putih
- 4 sudu tepung beras
- 2 cawan santan
- Garam
- Gula
Cara-caranya masukkan tepung beras, diikuti air daun pandan. Tuang air ke dalam adunan bersama pewarna hijau. Kacau dan kemudian masukkan perasa pandan serta gula. Kurangkan kuantiti gula jika tidak mahu manis. Seterusnya masukkan sedikit garam dan air kapur. Kacau hingga pekat. Di dalam bekas kukusan, tabur sedikit gula. Tapis air bancuhan tadi dan kukus. Sementara itu, sediakan bahan lapisan seterusnya dengan memasukkan tepung beras, santan, sedikit garam dan gula. Kacau hingga pekat. Tapis dan tuangkan ke dalam bekas berisi adunan pandan tadi. Kukus lagi 10 minit. Siap untuk dihidang.
Kafe Bunga Lawang Milik RUHIL SYAFINAZ, Mengangkat Resipi Nenek Moyang!
Di pintu masuk kafe terlakar lukisan rempah ratus bentuk bunga lawang. Lagu nostalgia retro 60an, 70 an, dan 80 an pula merdu berkumandang . Suasana tambah mempesona dengan hiasan dinding lukisan ‘Tarian rentak kehidupan’ hasil nukilan penyajak dan sasterawan terkenal Abd Ghafar Ibrahim atau Agi. Penataan cahaya yang indah serta hiasan perabut yang ditempah khas menyamankan lagi lagi suasana konsep fine dining di kafe, milik Ruhil Syafinaz Hussein. Tetapi yang lebih mengagumkan pastilah kelazatan sajian Melayu yang dihidangkan.
“Saya mahu imej sajian kampung diangkat ke tahap tinggi. Bila sebut sajian Melayu saya mahu memberi pilihan kepada pelanggan untuk menikmatinya dalam suasana selesa dan nyaman dan lari dari imej warung dan gerai di tepi jalan. Dalam masa yang sama saya mahu bila pelanggan makan di sini terasa selesa seperti makan di rumah. Masakan kami adalah dari warisan asli dan rempah buatan ibu saya sendiri.
Apabila pelanggan merasai makanan, rasa sedap sajian itu boleh mengembalikan nostalgia mereka menikmati makanan di kampung halaman sendiri. Mak buat rempah dan kami mengisar sendiri rempah kami. Gabungan rempah ratus jintan, ketumbar dan bunga lawang atau kata orang rempah empat sekawan adalah rahsia di sebalik resipi Melayu asli. Mak saya masak ikut konsep orang lama,, campak-campak dan agak-agak. Sampai sekarang pun saya masih terus belajar darinya,” kata bekas pengacara dan penerbit TV3 ini sambil memandang ke ibu tercinta Hasnah Hassan yang telah mula memasak semenjak berkahwin pada usia 15 tahun.
Menurutnya lagi kafe miliknya ini mengangkat resipi nenek moyang melalui masakan ibunya yang dipelajari dari keluarga ayah Ruhil, Allahyarham Hussein Ali yang berasal dari Muar Johor. Ibunya yang berasal dari Singapura mempelajari semua masakan dari ibu mertua. Keluarga belah ayah Ruhil sememangnya dikenali sebagai pakar masakan kenduri dan majlis keraian di Johor. Nama bunga lawang pula dipilih kerana ia adalah rempah nama yang berkait rapat dan sering digunakan dalam resepi tradisi Melayu.
“Sebenarnya kami dulu bermula dengan masakan Johor, laksa Johor jadi sajian paling laris dan tarikan nombor satu pelanggan. Di antara signature dish kami masa mula berniaga adalah asam pedas pari, asam pedas sawi asin ikan jenahak,daging tetel goren jintan dan sotong masak hitam. Sehinggakan kami ada pelanggan setia yang sering datang ke sini membawa ayah mereka yang datang dari Johor untuk makan di sini.
Saya anggap pelanggan adalah tetamu. Kami bukan sekadar mahu pelanggan menikmati rasa enak tetapi juga mahu menjadikan tempat kami lokasi nyaman untuk melepak bersama keluarga sambil mengerat silaturrahim.Kami bakal membuka cawangan baru restoran dua tingkat yang lebih luas di Kota Damansara tidak lama lagi. Impian kami adalah untuk mengangkat martabat makanan Melayu ke peringkat antarabangsa, dan mahu membuka cawangan hingga ke luar negara, InsyaAllah,” terang Ruhil dengan penuh semangat.
Bunga Lawang Kafe ini dibuka setiap hari kecuali Isnin beroperasi dari jam 11 pagi hingga 11 malam. Pada hari Sabtu dan Ahad pula ia dibuka lebih awal iaitu bermula jam 9 pagi.
Sedapnya Bila Manisan HOMEMADE Guna ‘NISE KEREK’, Barulah Lemak Manis Hidangan Pencuci Mulut
Ramai yang tertanya-tanya apa itu nise kerek. Bila tiba bulan puasa, ini adalah antara bahan yang mesti ada di rumah, lebih-lebih lagi untuk orang Pantai Timur. Susah untuk mendapatkan nise kerek asli di bandar. Ada yang sanggup membuat pesanan dari Kelantan dan membayar kos penghantaran agar pemanis mulut untuk berbuka nanti ‘menjadi’.
Nise kerek yang cukup dikenali di Kelantan atau gula melaka ini diperbuat daripada nira atau tuak kelapa. Ada juga nise yang menggunakan nira kabung untuk mendapatkan rasa yang enak pada nise kerek.
Istimewanya nise kerek ini adalah kerana rasanya lemak manis, tidak seperti gula biasa. Penggunaannya juga adalah untuk menggantikan gula dalam sesetengah amsakan atau hidangan pemanis mulut. Bukan senang untuk menghasilkan nise kerek kerana biasanya di Kelantan, ia bermula dengan memasak nira kelapa di dalam kawah dengan menggunakan kayu api selama lebih empat jam.
Apabila air nira menjadi pekat, ia perlu dikacau untuk mengelakkan menjadi hangit. Teknik unutk mengacau nira yang telah pekat juga berbeza dan mempunyai identiti tersendiri. Prosesnya agak sukar namun keenakkanya begitu sempurna!
Pada bulan Ramadan seperti ini, ramailah para wanita yang sibuk mencari nise kerek untuk menyediakan pemanis mulut. Antara menu yang sering dikaitkan dengan nise kerek adalah seperti Ketupat Sotong Kelantan, onde-onde, sago dan kuih lopes.
Bagi yang sudah membuat pesanan nise kerek dari Pantai Timur, bolehlah anda cuba resipi ini. Untuk anda yang masih menunggu, boleh juga gunakan gula kabung atau gula pasir bagi menggantikan nise kerek. Rasanya juga pasti sedap, cuma kurang Umphh. Selamat mencuba!
KETUPAT SOTONG KELANTAN
Bahan bahan:
Beras pulut secukupnya basuh dan rendam sekejap
8 ekor sotong – asingkan kepala dan badan
Santan
1 ketul nise kerek (boleh juga melebihkan nise untuk rasa lebih manis berlemak)
1 sudu gula pasir
Secubit garam
Daun pandan
Cara cara:
1.Beras pulut dibersihkan dan direndam bersama santan dan sedikit garam.
2. Masukkan beras pulut ke dalam sotong yang telah dibuang kepala dan dicuci bersih.
3.Masukkan kepala sotong ke dalam badannya dan tekan sedikit. Kemudian cucuk dengan lidi untuk mengemaskan bahagian hujung agar pulut tidak terkeluar.
4.Susun dalam periuk bersama daun pandan. Tuangkan santan dan sedikit garam. Masak sehingga pulut masak, kemudian masukkan nise kerek. Masak sehingga agak pecah minyak.
5.Apabila siap, hidangkan di atas pinggan dan tuangkan kuah untuk menambahkan lagi keenakannya.
SOM SOM SAGU
BAHAN SAGU:
1 cawan sagu
3 cawan air
2 helai daun pandan
Sedikit pewarna hijau
BAHAN KANJI SOM-SOM:
1/2 cawan tepung beras
4 cawan santan
Garam secukup rasa
BAHAN AIR GULA
1 1/2 cawan air
4 keping gula kerek/melaka atau boleh guna gula merah
1/4 cawan gula pasir
2 helai daun pandan | disimpul
CARA MEMASAK:
1. Satukan bahan-bahan air gula dan masak guna api sederhana hingga mendidih. Tapis dan sejukkan.
2. Untuk menyediakan sagu, masak air bersama daun pandan hingga mendidih. Boleh juga masukkan pewarna hijau.
3. Keluarkan daun pandan dan masukkan sagu. Kacau hingga pekat. Masa ni sagu masih lagi bermata ikan.
4. Tuang sagu ke dalam bekas-bekas kecil sehingga memenuhi separuh atau 3/4 bekas sahaja. Kukus selama 15 minit sehingga sagu menjadi jernih. Sejukkan.
5. Jika tiada pengukus, boleh juga kacau hingga sagu jadi jernih dengan menambah sukatan air. Tapi tidak digalakkan kerana sagu akan jadi lembik.
6. Untuk menyediakan kanji som-som, satukan kesemua bahan di dalam periuk dan sebatikan.
7. Masak hingga pekat dan meletup-letup dengan api sederhana.Sentiasa dikacau untuk elak ia berketul.
8. Tuang adunan ke atas sagu yang telah dikukus tadi. Sejukkan. Nikmati bersama air gula.
LOPES UBI KAYU
BAHAN-BAHAN:
Bahan Lopes:
2 cawan ubi kayu | parut
½ cawan kelapa parut | putih sahaja
Secubit garam
Daun pisang | secukupnya
Bahan Air Gula:
1/2 cawan gula merah
3 sudu makan gula
2 helai daun pandan
1 cawan air
CARA MEMASAK:
1.Ubi yang telah diparut di tapis untuk buang air kanjinya.
2.Gaulkan ubi dengan sedikit garam dan balut kemas menjadi bentuk selinder menggunakan daun pisang yang telah disapukan dengan sedikit minyak masak.
3.Ikat di kedua-dua hujung gulungan.
4.Panaskan pengukus dan kukus selama 30 minit
5.Biarkan kuih lopes sejuk.
6.Sementara itu, masukkan semua bahan air gula dalam periuk.
7.Masak menggunakan api sederhana hingga mendidih.
8.Tutup api dan tapis air gula, biarkan sejuk.
9.Potong lopes menggunakan benang kemudian gaulkan dengan kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam dan dikukus sekejap.
10.Lopes sedia dihidangkan dengan air gula.