Kehilangan pekerjaan sering kali dianggap satu ujian yang cukup besar, namun bagi sesetengah individu, ia menjadi titik permulaan untuk perjalanan yang lebih bermakna. Nurdilla Binti Zaini, seorang pemandu e-hailing adalah antara individu yang mengubah cabaran yang menerpa kepada satu peluang keemasan untuk terus berjaya.
Dalam temu bual eksklusif bersama Majalah NONA menerusi kempen “SisBoleh bersama Grab”, Nurdilla atau lebih mesra dipanggil Kak Dell berkongsi pengalaman peribadinya serta bagaimana dirinya bangkit dari kekecewaan akibat kehilangan pekerjaan dan bagaimana Grab akhirnya membuka pintu serta peluang baru dalam kehidupannya.
Satu Permulaan Baru
Setiap satu kisah kebangkitan pasti bermula dengan sebuah kegagalan, begitu juga dengan perjalanan hidup Nurdilla Zaini di mana dia terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Pengurus Penerbitan di sebuah syarikat penerbitan buku di Seri Kembangan, Selangor. Keputusan itu diambil selepas syarikat dia bertugas memutuskan untuk menutup operasi pejabatnya, sekaligus menjadi antara saat yang cukup berat untuk diterima, terutama sekali bagi seseorang yang sudah lama berkhidmat dalam industri penerbitan.
“Saya masih ingat lagi saat itu. Saya terpaksa melepaskan karier yang sangat saya sayangi apatah lagi telah memberikan saya banyak pengalaman yang cukup berharga. Namun, syarikat tersebut sewaktu itu tidak mempunyai pilihan dan saya perlu menerima hakikat,” ujar Nurdilla dengan nada tenang. Kehilangan pekerjaan adalah satu tamparan hebat buat dirinya, namun Nurdilla enggan terus meratapi nasib lalu dia memilih untuk bangkit dan mencari peluang baru.
“Pada awalnya, saya merasa sangat tertekan dan tidak tahu hendak ke mana. Saya seperti hilang arah. Namun, saya tahu saya tidak boleh berputus asa. Saya perlu mencari rezeki demi menyara keluarga,” katanya sambil menceritakan perasaan yang mengisi hatinya ketika itu. Keadaan ekonomi yang tidak menentu dan tekanan untuk mencari pekerjaan baru membuatkan Nurdilla sedar bahawa dia perlu berani dan lebih terbuka untuk mencari peluang lain yang mungkin tidak pernah terfikir oleh dirinya sebelum ini.
Pemandu E-Hailing Grab sebagai Kerjaya Baru
Di saat tiada tawaran mahupun peluang kerja baru yang muncul, satu pertemuan tidak diduga mengubah kehidupan Nurdilla. Bekas majikan yang juga sedang mencari kerjaya baru selepas syarikat penerbitan itu gulung tikar, memaklumkan kepada dirinya tentang Grab. Siapa menyangka, bekas majikannya baru sahaja mencuba menjadi pemandu Grab dan menganggap itu sebagai satu peluang dan pengalaman yang menarik untuk diterokai.
Nurdilla pada ketika itu tidak pernah mengetahui tentang industri e-hailing pada mulanya merasa ragu-ragu, apatah lagi dirinya sendiri agak jarang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam kerana memiliki kenderaan sendiri. Namun, selepas perbincangan dan galakan daripada bekas majikan, Nurdilla akhirnya mendaftar sebagai pemandu Grab pada awal tahun 2018.
“Dahulu, saya tidak tahu apa-apa tentang Grab. Tetapi setelah mendengar pengalaman dari bekas majikan saya, saya terfikir mungkin ini adalah peluang yang boleh saya cuba apatah lagi saya tidak mempunyai pilihan lain pada waktu itu,” kata Nurdilla sambil tersenyum. Pada mulanya, beliau menganggap pekerjaan ini tidak lebih daripada sekadar mencari duit tambahan. Namun, setelah sekian lama memandu, dia yakin kerjaya ini membuka jalan untuk dirinya mendapatkan pendapatan yang stabil.
“Bukan sahaja saya dapat pendapatan segera, tetapi saya juga dapat berjumpa dengan ramai orang. Ia memberi saya kebebasan untuk mengatur masa sendiri, sementara menunggu pendapatan dari pekerjaan lain yang saya lakukan,” katanya. Keputusan untuk memilih Grab sebagai kerjaya baru bukan sahaja memberi Nurdilla sumber pendapatan yang cukup, tetapi juga memberi kebebasan masa yang didambakan.
Tentangan Keluarga dan Stigma Masyarakat
Namun, perjalanan Nurdilla sebagai pemandu Grab tidaklah semudah yang disangka. Cabaran pertama yang dia hadapi adalah tentangan daripada keluarga sendiri. Bagi mereka, kerjaya sebagai pemandu Grab disamakan dengan pekerjaan pemandu teksi. Stigma negatif masyarakat tentang pekerjaan ini turut mempengaruhi pandangan keluarga terhadapnya.
“Saya faham mereka bimbang. Mereka mahu saya mendapatkan pekerjaan yang lebih ‘terhormat’ dan bersesuaian dengan latar belakang pendidikan saya. Namun saya tidak mahu berdiam diri tanpa berbuat apa-apa dan hanya menunggu bantuan dari orang lain,” ujar Nurdilla tegas. Walaupun mendapat tentangan dan pandangan sinis daripada keluarga, dia tidak patah semangat. Malah, Nurdilla tekad untuk membuktikan bahawa pekerjaan ini bukanlah pekerjaan yang hina, tetapi satu peluang untuk memperbaiki keadaan kewangan keluarga.
“Saya tidak boleh membiarkan kata-kata negatif orang lain mempengaruhi pilihan saya kerana hanya saya yang boleh mengubah dan menentukan nasib sendiri,” tambah Nurdilla. Meskipun pada awalnya beliau berasa malu untuk memberitahu orang ramai tentang kerjayanya sebagai pemandu Grab, sokongan daripada rakan-rakan terdekatnya akhirnya memberikan dirinya kekuatan. Dengan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi, Nurdilla akhirnya berani berkongsi kisahnya sebagai seorang pemandu GRAB secara terbuka di laman media sosialnya.
Menulis Buku dan Berkongsi Pengalaman Hidup
Walaupun dirinya sibuk dengan kerjaya baru sebagai pemandu Grab, minat Nurdilla terhadap bidang penulisan masih tebal. Lantas, pengalaman memandu setiap hari memberikan sumber inspirasi yang tidak pernah difikirkan.
“Setiap hari, saya bertemu dengan bermacam ragam penumpang dari pelbagai latar belakang. Setiap pertemuan memberi saya banyak pengajaran dan ilmu yang baru. Dari situ, saya mula menulis dan mencatatkan pengalaman saya dan berkongsi cerita dengan orang ramai menerusi penulisan” jelas Nurdilla. Pengalaman dia bertemu dengan penumpang yang mempunyai pelbagai cerita hidup telah memberi idea untuk dia menulis sebuah buku.
Buku yang diberi judul “Grab Me-Lah!” adalah sebuah himpunan anekdot dan refleksi peribadi dirinya dalam dunia e-hailing. Buku ini bukan sahaja menceritakan kisah Nurdilla sebagai pemandu Grab, tetapi juga dia berkongsi kisah-kisah inspirasi daripada penumpang dan rakan-rakan pemandu lain. Buku ini menjadi medium untuk dia berkongsi kisah hidup dan memberikan pengajaran kepada orang lain.
“Buku ini adalah satu bentuk terapi untuk diri saya. Apabila saya menerima maklum balas yang positif daripada pembaca, saya yakin bahawa penulisan ini dapat memberi manfaat kepada orang lain,” katanya dengan rasa syukur. Tanpa disangka, buku hasil idea dan penulisannya mendapat sambutan yang sangat positif dari pembaca dan ramai yang memberikan respon yang baik, termasuk para pensyarah yang mengagumi penulisan dari sudut pemikiran Nurdilla yang dianggap unik.
“Grab Me-Lah!” bukan sahaja mengisahkan pengalaman Nurdilla dalam dunia e-hailing, tetapi juga bagaimana dia mengamati kehidupan orang sekelilingnya. Setiap pertemuan dengan penumpang memberi dia pelajaran yang tidak ternilai. “Ada kalanya penumpang berbual panjang, ada juga yang tidak. Tetapi setiap pertemuan itu memberi saya pelajaran hidup yang sangat berharga,” tambah Nurdilla.
“Buku ini bukan hanya tentang pengalaman saya, tetapi juga tentang pengamatan saya terhadap kisah rakan-rakan pemandu lain dan cerita-cerita mereka. Banyak kisah yang memberi pengajaran, teladan, dan kadangkala pedoman yang tidak disangka-sangka,” katanya dengan penuh semangat. Buku ini bukan sekadar bahan bacaan santai, malah ia memberikan motivasi kepada mereka yang sedang mencari pendapatan tambahan melalui e-hailing. “Saya rasa sangat puas apabila penulisan saya dapat memberi kekuatan kepada orang lain untuk terus berusaha, walaupun dalam keadaan yang sukar dan sulit,” katanya.
Kempen Sisboleh Bersama Grab!
Menurut Nurdilla, dia teruja dengan pendekatan Grab yang memberi peluang kepada dirinya berinteraksi dengan lebih ramai orang menerusi kempen terbaru ‘Sisboleh bersama Grab’. “Saya teruja Grab menyediakan pelbagai program untuk pemandu, terutamanya khas buat pemandu wanita melalui Kempen SisBoleh. Program ini sangat bermakna kerana ia dapat memperkuat dan memperkasakan komuniti pemandu wanita untuk lebih positif,” jelas Nurdilla.
Melalui program ini, Nurdilla yakin dapat memperluas rangkaian dan bertemu dengan lebih ramai pemandu Grab yang mempunyai matlamat yang sama, dan pada yang sama terus berjaya dan memperbaiki kehidupan.
Akui Nurdilla, dia ingin memberikan inspirasi kepada wanita lain yang sedang berdepan dengan cabaran seperti kehilangan pekerjaan. “Saya tahu bukan mudah untuk bangkit selepas kehilangan pekerjaan. Namun, kita harus berani mencuba sesuatu yang baru dan memanfaatkan peluang yang ada. Walaupun kerjaya ini mungkin tidak sehebat jawatan yang kita pernah ada, apa yang penting adalah hasil pendapatan yang halal serta dapat membantu membiayai komitmen kita,” katanya.
Nasihat saya buat semua “Jika kita sentiasa bekerja keras dan berusaha mencari peluang baru, kita pasti dapat mengubah nasib kita. Abaikan kata-kata negatif orang lain kerana hanya kita yang melaluinya. Jadi jangan mudah berputus asa,” akhirnya
Perjalanan kehidupan Nurdilla Zaini adalah bukti bahawa dengan keberanian dan ketekunan, seseorang boleh mengubah nasib walau apa juga dugaan yang mendatang. Sebagai seorang pemandu Grab yang juga seorang penulis, Nurdilla telah berjaya mengubah hidupnya dan memberikan inspirasi kepada ramai orang. Buku beliau, “Grab Me-Lah!” adalah contoh bagaimana pengalaman hidup boleh dikongsi untuk memberi motivasi dan kekuatan kepada orang lain. Kisah Nurdilla juga mengingatkan kita bahawa setiap apa yang berlaku pasti terselit hikmah yang tersembunyi.