Dugaan Hamil Di Musim Pandemik Uji Semangat Pengasas, Pelakon & Penerbit Elanie Aidid

Meskipun yang dilalui seorang wanita itu, kadang-kadang diri sendiri meragui kemampuan untuk mencapainya dan adakala membuat diri merasa lelah. Jangan terlalu risau dan lemah semangat, bernafaslah dengan tenang kerana kamu mampu kuatkan hati serta jiwamu. Wanita diciptakan dengan segala keistimewaan. Hanya kekuatan itu perlu diseru sepenuhnya untuk tidak menyerah dan berusaha mengejar impian yang dinginkan.

Wan Nur Ilani atau panggilan mesranya, Elanie Aidid, merupakan seorang wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Undang-undang (Kepujian) UiTM dan seterusnya menggenggam Sarjana Undang-Undang (UiTM) pada 2012. Kini beliau memilih cabang berbeza daripada bidang pengajiannya dengan menjadi pengasas produk, pelakon, penulis dan seorang penerbit. Pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir & Diplomatik di Kementerian Pelajaran dan berhenti untuk bekerja sendiri sejak 2013.

Berusia 33 tahun, Elanie memulakan perniagaan produk Ilanicious T-shirt, perniagaan percetakan baju t (silkscreen) dan pengasas baju couple UdaRa Clothing sejak 2013. Pada tahun 2017, beliau mengembangkan empayar perniagaan dengan menceburi bidang kesihatan melalui syarikat Ilanicious Health & Beauty. Antara produknya yang mendapat perhatian adalah Krim Hormon NPC, Susu Kambing Baraqah, Kopi Qooat Tongkat Ali dan Madu Lebah Asli. Bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik (M41) di Kementerian Pelajaran ini membuktikan hasil mengikut impian sendiri dan meletakkan jawatan tetap di usia 25 tahun, kini berjaya meraih pendapatan sehingga 6 angka setahun.

“Saya mula berniaga kecil-kecilan di rumah dengan mengambil tempahan printing t-shirt. Memandangkan latar belakang pengajian saya dalam bidang undang-undang, jadi saya tidak pandai melukis. Tanpa rasa putus asa, saya belajar menggunakan Adobe Photoshop, Facebook ads dan menyertai kursus-kursus perniagaan hanya di YouTube sahaja.

Berkat usaha sendiri, alhamdulillah dalam sebulan saja saya sudah pandai menghasilkan corak grafik sehingga tempahan saya semakin banyak. Saya mampu membuka kedai percetakan baju dua tingkat dan mengupah pekerja-pekerja asing untuk mencetak.

Jenama Baju Couple yang saya asaskan sangat popular sejak 2013 sehingga mendapat perhatian Pengurus Produksi drama/tele yang ingin menggunakan baju rekaan saya dalam drama mereka seperti baju couple yang dipakai Emma Maembong dan Nazrief dalam drama Nasi Minyak Kuah Cinta,” ujar Elanie.

INOVASI

Semangat niaga semakin bergelora dalam jiwa. Elanie terus mengorak langkah, “Saya menceburkan diri dalam bidang kesihatan sejak 2017 dengan usaha untuk membantu pasangan meningkatkan kesuburan suami isteri dan saya menghasilkan beberapa produk yang berkesan untuk pelanggan. Alhamdulillah, ramai pelanggan saya berjaya mengandung dan mendapatkan anak dengan mengamalkan produk saya dengan izin Allah.”

Langkah inovasi dan minat dalam dunia seni juga menuntut dirinya dan suami, Amai Kamarudin, pelakon dan selebriti Malaysia, mereka menubuhkan Millionaire Films Production (M) Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat penerbitan filem, tv dan drama pada tahun 2019. “Saya mula berlakon secara kebetulan apabila sering turun ke set pengambaran drama dan filem untuk membekalkan tempahan baju krew dan artis. Tahun 2018, saya ditawarkan watak utama dalam telefilem panggung RTM bertajuk ‘Hujan Manik’ sebagai Balqis.

Sejak itu kerap mendapat undangan berlakon secara sambilan dalam drama, tele, iklan dan filem. Salah satunya diundang oleh Datuk Yusof Haslam untuk episod Gerak Khas Finale, sebagai ‘Sally’ bersama suami, Amai Kamarudin.

Paling terkini cameo sebagai watak ‘Saadiah’ dalam filem Showtime 1958. Sekali lagi bersama suami, Amai Kamarudin yang memegang watak P.Ramlee. Menariknya melalui watak ini juga suami dicalonkan untuk Pelakon Filem Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia 31 yang berlangsung Oktober 2021 ini,” ujar Elanie bercerita tentang pembabitannya dalam dunia seni.

Elanie juga percaya untuk berjaya kita mesti ada ilmu sebelum melakukan sesuatu. Oleh itu selain daripada berniaga dan berlakon, Elanie menambah portfolio dengan kembali aktif dalam dunia penulisan yang diceburinya sejak usia 15 tahun melalui Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah bimbingan sasterawan A.Samad Said dan ramai penulis lain.

“Semasa PKP 2021 ini saya mengisi masa lapang dengan menyertai webinar dan bengkel secara atas talian untuk menambah kemahiran diri, salah satunya “Bengkel Penulisan Skrip oleh Pengarah Anwardi Jamil”, ini bagi memantapkan kemahiran saya bagi menulis skrip untuk penerbitan filem kami akan datang” kata Elanie yang telah mengadakan Majlis Pelancaran Teaser Filem Amukan Kuntilanak di RUANG pada Julai 2019 tapi pengambaran tertangguh kerana PKP 1 dan 2.

Tiada jalan mudah untuk mengecapi betapa nikmat dan indahnya dunia perniagaan, “Bukan mudah sebenarnya untuk saya meletakkan jawatan sebagai pekerja tetap untuk bekerja sendiri sepenuh masa dan tindakan ini ditentang keluarga sehingga saya terpaksa merahsiakan daripada keluarga. Tapi untuk mendapat kemanisan kita kena berani membuat pengorbanan.

Bayangkan saya pernah berusaha menaikkan perniagaan menjadi komoditi yang mahal, mendapat geran SME Corp dan MARA serta geran sejumlah RM1juta untuk membuat kilang pemprosesan snek, tapi tiba-tiba saya dianiaya oleh orang terdekat yang mahu membolot kekayaan sendiri.

Jadi akibatnya kerana ketamakan orang itu, saya membawa diri dan keluar dari perniagaan tersebut walaupun saya yang asaskan sendiri termasuk resipi, dapatkan pensijilan halal serta MESTI. Saya tinggalkan semua yang telah dibina di kilang mini itu dan biarkan mereka uruskan. Akhirnya, berkat doa orang yang teraniaya, Allah balas apabila perniagaan itu dengan sendirinya lingkup tanpa pengurusan yang betul.

Hikmah peristiwa ini, saya berjaya mulakan perniagaan lain secara tunggal dengan modal rendah dan berjaya jual 5,000 botol produk yang berharga ratusan ringgit. Pulangan modal juga kembali berganda-ganda dari yang saya keluarkan,” jelas Elanie bercerita kisah jatuh dan bangunnya dalam perniagaan.

Dalam keadaan pandemik ini, ramai yang melalui pelbagai dugaan dan cabaran kehidupan. Banyak air mata tertumpah dan pastinya tuntutan semangat yang tinggi diseru untuk terus kita menjadi lebih kuat. “Dalam keadaan SOP yang ketat agak membataskan pergerakan saya sebagai seorang usahawan untuk berjumpa pelanggan. Jadi banyak event terpaksa digantikan dengan perjumpaan secara atas talian sahaja.

Saya melalui tekanan kerana SOP yang ketat semasa PKP 1 dan 2 di mana saya banyak melakukan urusan sendiri kerana banyak tempat yang tak boleh masuk berdua menyebabkan saya yang ketika itu sedang sarat mengandung terpaksa turun naik tangga sendirian sambil membawa barangan, sampel untuk bertemu orang atau untuk ke kilang melihat produk.

PENGALAMAN BERSALIN AWAL

Perkara ini agak memberi tekanan apatah lagi saya mengandung dan wabak COVID-19 sangat berisiko kepada ibu mengandung. Apatah lagi kandungan semasa pandemik ini adalah yang ketiga setelah pernah keguguran dua kali sebelum ini. Kesannya apabila saya terpaksa melahirkan anak saya awal dua bulan daripada due date kerana jangkitan kuman GBS dan demam panas.

Anak saya terpaksa dikeluarkan awal seperti anak arwah Siti Sarah dan Shuib iaitu dua bulan awal (7 bulan setengah atau 32 minggu) kerana jangkitan kuman GBS yang boleh membawa maut.

Air ketuban saya pecah di rumah dan terpaksa distabilkan di hospital. Oleh kerana air ketuban semakin kering, saya terpaksa melalui pembedahan tanpa sedar untuk keluarkan bayi yang songsang pada hari ke-5 di hospital kerana jantung bayi mula drop dan saya dah mula menahan sakit kontraksi 17 jam.

Masa pandemik banyak ventilator untuk bayi pramatang tidak cukup di hospital sehingga doktor terpaksa bertanyakan di hospital swasta. Ketika itu doktor perlu menyelamatkan nyawa kami berdua dalam pembedahan yang berisiko tinggi. Mujur, alhamdulillah saya tersedar selepas dua jam pembedahan.

Anak saya ditahan di wad NICU, Hospital Shah Alam selama sebulan lebih dan alhamdulillah tiada apa-apa komplikasi penyakit. Akhirnya hospital dapat satu ventilator yang boleh digunakan. Mujur kini anak saya sihat, normal dan lengkap sempurna seperti bayi lain walaupun lahir pramatang.

Pengalaman ini membuatkan saya fobia untuk bertemu orang luar, takut dijangkiti kuman dan trauma untuk mengandung lagi, mungkin sampai pandemik ini reda,” bicara Elanie yang amat bersyukur dengan kehadiran cahaya mata pertamanya, Aariz Ebrahim.

Kata-kata akhir buat semua wanita Malaysia, “Practise makes perfect. Kita kena berlatih banyak kali untuk jadi sempurna. Tiada siapa dalam dunia ini terus berjaya dengan hanya sekali usaha. Allah suka umat yang suka berusaha. Berusaha, berusaha dan berusaha sampai berjaya. Istilah putus asa, tidak pernah ada dalam kamus hidup saya.

Prinsip hidup saya adalah menjadi seseorang yang dapat menginspirasikan orang lain untuk berjaya. Kita diciptakan di dunia ini bukan untuk diri kita saja tapi untuk bantu orang lain. Kita tak boleh selfish kerana hidup ini seperti dominos. Apa saja tindakan kita sama ada menolong atau mendiamkan diri akan ada kesannya.

Saya juga percaya bahawa hidup ini singkat. Oleh itu saya mahu menggunakan masa yang ada untuk membuat banyak perkara yang membahagiakan seperti perkara-perkara romantis dengan suami dan bercuti bersama keluarga,” jelas Elanie yang bercita-cita untuk menyambung pengajian PhD Undang-undang di luar negara suatu hari nanti, insyaAllah.

“Saya belum rasa diri ini berjaya dan masih belum berpuas hati dengan pencapaian hidup saya dan sentiasa rasa ingin memajukan diri ke depan dan mencapai lebih baik dalam kehidupan, saya percaya status yang dipikul dan umur yang meningkat bukanlah penghalang seseorang wanita untuk mengehadkan kemampuan diri untuk meneroka potensi yang ada.”

Share
Published by
KR