“Dugaan Memang Tak Pernah Habis” Sering Terpalit Kontroversi, YAANA LEE Tak Mudah Mengalah

Di sebalik jenama terkenal Leeyanarahman, siapa yang tidak kenal dengan usahawan muda berusia 31 tahun, Nur Liyana Abdul Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Yaana Lee ini. Tidak berseorangan menggemudi empayar perniagaan, Yaana Lee turut dibantu oleh suaminya, Muhammad Hafiz Abdul Hamid yang merupakan tulang belakang utama di sebalik jenama Leeyanarahman.

Bukan mudah menjadi seorang public figure apatah lagi dikenali dalam dunia perniagaan. Ada saja dugaan yang menerpa. Pantang silap sedikit pasti menjadi ‘buah mulut’ khususnya di kalangan warga maya (netizen). Antaranya isu fashion show dan rentas negeri. Pun begitu, bagi Yaan Lee dia punya alasan tersendiri pada setiap perkara yang dilakukan. Apa yang penting dia dan suami menyelesaikan setiap isu yang berbangkit secara profesional.

“Bercakap tentang dugaan memang tidak pernah habis. Saya sendiri tidak nafikan setiap tahun kami pasti akan berdepan dengan dugaan lebih-lebih lagi setiap kali menjelang musim perayaan. Seperti mana isu yang tular baru-baru ini tentang fashion show Leeyanarahman sehingga dikecam teruk oleh warganet. Majlis tersebut dikatakan gagal mengikut SOP seperti mana ditetapkan.

“Sejujurnya perkara ini berlaku di luar jangkaan. Sebagai manusia biasa adakalanya kita akan terlepas pandang dan di luar kawalan kami. Namun saya sendiri tidak ambil mudah dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Bohonglah kalau tidak rasa tertekan. Saya ambil masa dalam beberapa hari untuk bertenang dan berfikir. Kemudian saya da suami sepakat untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana itulah yang terbaik demi menjernihkan keadaan. Alhamdulillah isu tersebut beransur reda.

Saya ambil pengajaran dan sedar bahawa dalam berniaga kita perlu bersikap profesional. Di samping itu, kita juga perlu ada sikap realistik iaitu jujur dengan setiap keputusan yang bakal dibuat. Sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan memandang kepada keadaan semasa.

BISNES
Mula menerajui dunia perniagaan pada usia 23 tahun bukan satu perkara yang mudah. Apatah lagi ketika itu masing-masing mempunyai komitmen sebagai pelajar di salah sebuah universiti tempatan. Pun begitu, kerana minat dalam dunia perniagaan kedua-duanya dapat menyeimbangkan komitmen sebagai pelajar dan usahawan dengan baik. Impian bergelar graduan ijazah sarjana muda dalam bidang kewangan serta usahawan sukses berjalan seiring.

“Kami memulakan perniagaan sekitar tahun 2012 secara online. Ketika itu kami sedang menuntut di universiti yang sama dan belum bergelar suami isteri. Permulaannya agak mencabar juga kerana perlu seimbangkan antara belajar dan berniaga. Namun kami anggap cabaran itu sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya.

Segalanya bermula apabila saya mereka busana hari raya yang saya reka dan jahit sendiri, kemudian memuat naik gambar busana tersebut di laman sosial. Tidak sangka pula ramai yang bertanya dari mana saya membelinya. Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Modal yang kami keluarkan berjumlah RM1500 dan kami berjaya menghasilkan 14 helai busana.

Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja. Dari keuntungan tersebut kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit bermula dari 14 kepada 28. Kemudian menjadi 36 helai sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar. Selepas itu kami menghentikan rekaan tersebut dan bermula lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain,” kongsi ibu kepada Tyara Luthfia yang kini berusia dua tahun.

Menurutnya, dia dan suami menggunakan duit pinjaman PTPTN sebagai modal permulaan. Berkat kesungguhan mereka akhirnya jenama Leeyanarahman semakin terkenal.

Pada tahun 2014 pasangan ini mendirikan rumahtangga sekaligus memudahkan lagi urusan mereka dalam perniagaan. Langkah menjadi lebih jauh terutama atas urusan kerja. Dua bulan berkahwin mereka membuka sebuah butik fizikal di Bangi Sental. Bermula hanya berada di tingkat satu, setahun kemudiannya mereka berjaya memiliki bangunan sendiri setinggi lima tingkat atas nama Leeyanarahman.

KESAN PANDEMIK COVID-19
Langit tidak selalunya cerah. Begitulah juga dunia perniagaan, tidak selamanya indah belaka. Ada onak dan duri yang harus ditempuh. Pandemik COVID-19 telah menjadi cabaran utama ketika ini khususnya terhadap ekonomi dunia. Segalanya berubah secara total sehinggalah tercetusnya norma baharu.

Jenama Leeyanarahman turut merasai impaknya sehingga Yaana Lee terpaksa menutup butik fizikalnya dan hanya memberi tumpuan terhadap perniagaan online. Pun begitu, di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Tidak dinafikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dahulu ia benar-benar memberi tamparan hebat terhadap jenama Leeyanarahman. Impaknya sangat besar sehinggalah kami terpaksa menutup butik fizikal. Kini kami hanya memfokuskan kepada perniagaan online sahaja. Insha-Allah, andai pandemik ini berakhir kelak kami mungkin akan membuka semula butik tersebut.

Kesan lain ialah impian kami untuk membuka butik di Jakarta pada tahun lalu terpaksa ditangguhkan gara-gara COVID-19. Permintaan sangat tinggi di Indonesia, itulah salah satu punca kami berhasrat untuk membuka butik di sana. Namun belum ada rezeki lagi buat masa ini. Semoga pandemik ini segera berakhir dan dapatlah kami meneruskan impian yang masih belum tercapai ini.

Apa pun kami tetap bersyukur kerana sejak memperkukuhkan perniagaan online, kami dapat membantu ramai orang terutama yang hilang pekerjaan. Antaranya dengan menawarkan untuk menjadi reseller dan personal shopper Leeyanarahman. Kami turut membuka peluang kepada mereka untuk menyertai program Usahawanita Leeyanarahman. Untuk program ini mereka hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM50 dan dapat menjana pendapatan sampingan serta diberikan komisyen.

NASIHAT BUAT USAHAWAN
Prinsip saya, semua orang boleh berniaga pakaian tetapi pentingnya ada minat. Kalau ada kemahiran menjahit itu satu bonus. Selain itu, kalau berniaga pakaian perlu ada identiti sendiri contohnya menghasilkan rekaan yang unik dan tersendiri. Saya sendiri ada kemahiran menjahit maka saya akan buat semuanya sendiri bermula dari melukis, menghasilkan embroidery dan sebagainya. Idea baru, ada identiti sendiri. Orang boleh ceduk rekaan kami tetapi mereka tidak boleh tahu idea-idea baru yang bakal menyusul.

\

Semua koleksi Leeyanarahman adalah ready-made dan custom made. Walaupun ketika ini keadaan ekonomi sangat mencabar namun alhamdulillah sambutan yang kami terima sangat bagus lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.

Bagi mereka yang berhasrat untuk memulakan perniagaan, perkara paling utama ialah minat atau fokus. Ini kerana ianya akan memudahkan perjalanan perniagaan kita di kemudian hari. Jangan sekadar mengikut trend atau terpengaruh dengan yang indah-indah sahaja kerana bimbang perniagaan anda itu tidak kekal lama. Bila ada minat, walau sebesar mana pun cabaran yang datang kita pasti kuat menghadapinya kerana kita ada matlamat yang jelas.

Sebab itulah minat saya terhadap fesyen tidak pernah pudar walau apa pun cabaran datang termasuk kecaman-kecaman dari luar. Sejujurnya, apabila kita berada di atas tidak semua senang melihat kita berjaya. Namun, itulah sebenarnya yang menjadikan saya dan suami lebih kuat dan bersemangat,” akhiri Yaana Lee yang sentiasa turun padang bersama team Leeyanarahman dalam setiap urusan perniagaan. Jelas membuktikan bahawa dia seorang ketua yang sentiasa ambil tahu akan kebajikan staf.

Selain fesyen, Yaana Lee turut mengusahakan 2 lagi jenama miliknya yang masih baharu iaitu Ynalee Beaute dan Tepung Pengaseh.

Kredit Foto: Instagram @yaana.lee

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad