“Duit Tak Jatuh Dari Langit” Mula Berniaga Di Pasar Malam, Kini CHRISTY NG Jadi Jenama Bertaraf Dunia

Dirinya hanya wanita biasa yang lahir sebagai seorang anak kampung. Namun daya pemikirannya sangat luar biasa dan jauh ke depan. Tahu matlamat hidup, tahu apa yang terbaik demi masa depannya serta keluarga.

Beliau adalah figura di sebalik jenama beg dan kasut, Christy Ng yang terkenal di kalangan wanita Malaysia. Bertapak lebih 10 tahun di Malaysia dengan 11 cawangan, jenama Christy Ng terkenal dengan pelbagai rekaan kasut dan beg yang sesuai digayakan untuk aktiviti harian serta ke tempat kerja. Produk bukan hanya dijual di kedai bahkan turut diniagakan secara online.

“Saya berasal dari kampung di Kluang, Johor. Selama ini ramai yang ingat saya dari keluarga yang ‘have-have’ dan urban. Tanggapan mereka salah. Makan pun pakai tangan sahaja. Bapa saya bekerja sebagai tukang cuci aircond. Kami bukan keluarga senang, duit tak jatuh dari langit. Saya anak sulung dari dua adik beradik.

“Sebab itu sejak kecil lagi saya perlu rajin berusaha untuk bantu keluarga. Buat banyak kerja part time. Semasa umur 9 tahun, saya sudah mula belajar berniaga. Pergi ke stesen LRT jual bunga. Itulah pekerjaan pertama saya. Saya seorang yang jenis ‘muka tebal’. Buang rasa malu dengan berdiri di tepi jalan buat sale.

“Selepas tamat persekolahan, saya kerja part time dan simpan duit untuk dijadikan modal berniaga. Saya bermula dengan modal RM10 ribu sahaja tanpa bantuan dari sesiapa. Itulah hasil titik peluh dan air mata saya sepanjang bekerja part time sebelum berniaga kasut di pasar malam.

“Berniaga ni kena pandai memujuk, barulah pelanggan hendak membeli. Semua cara saya sudah cuba termasuklah buat ‘muka tebal’ guna mikrofon ketika menjual di pasar malam.

“Stok kasut saya beli dari Thailand, buat macam trading. Beli dari Thailand kemudian saya jual di pasar malam di Malaysia. Sampailah suatu hari, ada seorang rakan mencadangkan saya buat jenama sendiri. Bezakan diri saya dengan orang lain yang ada unique selling point. Dari situ saya mula belajar cara mereka kasut, cara membuat tempahan, manufacture kasut dan sebagainya.

“Sepanjang berniaga di pasar malam, saya dapat kenal banyak kilang dari Thailand dan China. Dari situ ada network

kilang maka saya buat production sendiri. Perlahan-lahan saya melangkah mengembangkan perniagaan,” bual wanita berusia 34 tahun ini.

DETIK PALING SUKAR
“Ketika fasa pandemik COVID-19. Setiap hari saya menangis, mohon pada Tuhan semoga terus dipanjangkan umur untuk meneruskan perniagaan ini. Saya bersyukur kerana masih diberikan nafas untuk meneruskan hidup. Saya juga amat berterima kasih kepada semua pelanggan yang masih setia dan support Christy Ng dari mula sampailah sekarang. Dengan sokongan merekalah saya masih ‘hidup’,

“Saya juga pernah dipandang rendah oleh ibu saudara sendiri yang suka bercakap hal negatif kepada ibu saya. Katanya saya tidak boleh berjaya, tiada pengalaman dalam perniagaan, tiada modal dan macam-macam lagi. Siap cakap saya akan gagal. Ibu ‘termakan’ hasutan lalu merasa risau dan takut dengan nasib saya.

“Kebetulan waktu itu online, media sosial dan e-commerse tidak sehangat sekarang. Jadi, ibu saudara saya kata tiada siapa yang akan beli kasut secara online. Sejak itu saya nekad untuk buktikan kepadanya yang saya tidak akan jatuh dan mampu berjaya. Apabila orang berkata negatif, saya akan bangkit. Jangan biarkan ia ‘membunuh’ semangat kita.”

BELAJAR DARI KESILAPAN
“Sepanjang 10 tahun berniaga banyak sebenarnya kesilapan yang dilakukan. Perkara paling penting bagi semua usahawan ialah pelanggan dapat terima dan suka produk kita. Antara kesilapan saya dulu, setiap kali hasilkan rekaan atau produk baru, saya tidak fikir kehendak pelanggan. Dari situ saya belajar, kalau saya seorang sahaja yang suka atau ‘syok sendiri’ itu tidak akan membantu bisnes.

Kehendak pelanggan itu paling utama. Kalau suka, mereka sanggup beli. Dulu, saya buat banyak kasut dan beg tetapi pelanggan tidak beli. Jualan teruk, kualiti produk tidak bagus. Dari situ saya belajar dan improve. Untuk dapatkan respon dari pelanggan, saya perlu bersedia terima kritikan.”

 

Baca artikel penuh dalam edisi istimewa NONA SUPERWOMAN 2022 yang sudah pun berada di pasaran. Dapatkannya sekarang!

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad