Dulu Berniaga Di Pasar Malam & Tepi Jalan Je, Kini Jus Mangga AYAQ WORLD Boleh Dirasai Seluruh Malaysia!

 

Semangat dan usaha gigihnya dalam menggapai bintang di langit wajar dijadikan contoh. Perniagaan air mangga yang hanya bermula di pasar malam membawa tuah buat empunya nama Siti Aisyah Kamaruddin, 27 atau lebih mesra disapa Aisyah. Manakan tidak, kini wanita kelahiran ibu kota Kuala Lumpur ini mampu membina empayar perniagaan Ayaq World Sdn. Bhd. dengan titik peluhnya sendiri yang amat membanggakan.

“Saya mula fokus berniaga jus mangga di pasar malam pada tahun 2011 di Sentul dan HKL. Daripada pemerhatian saya, kebanyakan jus mangga yang dijual di kedai tidak menepati citarasa. Rasa kecewa tersebut mencetuskan ilham buat saya untuk menghasilkan dan menjual jus mangga yang lebih pekat, segar dan tanpa bahan pengawet.  Ia bersesuaian dengan tagline produk kami iaitu iaitu ‘Pekat, Likat, Melekat,” bicara Aisyah memulakan bicara.

Pada tahun 2016, air minuman berasaskan mangga seperti mango shake dan mango float mendapat sambutan yang cukup hangat. Fenomena ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada perniagaan yang saya usahakan. Dari situ tercetusnya idea untuk menukar strategi dengan membotolkan jus mangga tersebut.

Semuanya bermula apabila seorang rakan menghubungi saya untuk memesan jus mangga. Apa yang saya lakukan ketika itu, saya beli air mineral kemudian buang air mineral tersebut. Saya gantikan dengan jus mangga saya. Kiranya itulah pertama kali saya ‘membotolkan’ jus mangga saya. Sejak detik itu, jus saya mula dijual di tepi-tepi jalan, berdekatan bank, tepi kedai makan dan lain-lain lagi. Kemudian perniagaan ini semakin berkembang dan mula diagihkan kepada agen dan stokis,” ungkap Aisyah memulakan bicara.

Kesusahan yang dilalui Aisyah membawa siapa dirinya pada hari ini. Tidak hairanlah empayar perniagaan yang diusahakan wanita berkulit sawo matang ini semakin berkembang tahun demi tahun.

“Saya sangat menjaga orang-orang di sekeliling saya iaitu pekerja saya dan itulah rahsia kejayaan saya. Saya sangat menjaga kebajikan mereka termasuk rumah, makan dan sebagainya. Sehingga kini, saya mempunyai staf seramai 12 orang. Selain itu, saya juga menjaga dan pegang stokis serta agen saya dengan membeli jiwa mereka.

Tambah Aisyah lagi, untuk memulakan bisnes, perasaan takut harus dibuang daripada dalam diri. Bergelar seorang wanita bukanlah penghalang untuk mengecapi sebuah kejayaan.

“Ramai orang diluar sana takut untuk menjadi usahawan terutama mereka yang bergelar wanita. kerana merasakan diri itu terlalu muda. Apa yang boleh saya katakan ialah try and adjust! not try and error!

Kita tidak tahu jika kita tidak mencuba. Selain itu, untuk memulakan sesuatu bisnes, kita perlu memberikan sepenuhnya fokus. Komited itu sangat penting dalam perniagaan.

Alhamdulillah, kejayaan saya selama ini di dorong oleh keluarga , adik beradik dan suami. Tanpa mereka, tidak mungkin saya berada di tahap sekarang ini. Pekerja saya juga merupakan kekuatan saya. Tambahan pula, anything happen to this business, mungkin mereka pun tidak mempunyai pekerjaan. Jadi yang benar-benar membuatkan saya kuat bertahan ialah team saya,” ujar Aisyah penuh semangat.

Share
Published by
Fadhli Ismail