Menyingkap kembali permulaan kehidupan berumahtangga pasangan pelakon popular, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel berbagai onak duri terpaksa ditempuh. 5 tahun pertama perkahwinan mereka diuji hebat sehingga hampir menggoyahkan mahligai yang dibina. Sumber rezeki turut terjejas dek kontroversi. Apatah lagi, ketika mengambil keputusan untuk berkahwin pada tahun 2012 masing-masing masih muda dan berada di puncak populariti.
Namun perancangan Allah SWT tiada siapa yang tahu. Beruntungnya Wawa kerana dikurniakan seorang suami yang sangat penyabar. Berkat kematangan Aeril akhirnya perkahwinan mereka berjaya diselamatkan. Wawa terinspirasi dengan keikhlasan Aeril yang sentiasa bertolak ansur jika berlaku perselisihan faham. Akhirnya Wawa berubah menjadi seorang isteri yang baik, taat, setia serta penyayang. Selain menjaga hubungan sebagai suami isteri, mereka juga mula mendekatkan diri dengan Sang Pencipta yang memberi nikmat kebahagiaan sampai ke hari ini.
Ads
Tahun ini genap 9 tahun bahtera perkahwinan yang dibina. Hampir sedekad! Malah, Wawa dan Aeril dilihat semakin bahagia dan romantik. Kehadiran 3 cahayamata yang sangat comel iaitu Ahmad Fakharuddin Attar (8), Hayla Maghfirahtul Azdkiyaa (6) dan Aya Soffya (2) melengkapkan lagi kebahagiaan pasangan ini. Kehidupan mereka juga jauh lebih baik berbanding sebelumnya apabila rezeki dalam perniagaan melimpah ruah.
“Walau banyak dugaan namun pengalaman mengajar erti hidup serta mematangkan kami berdua. Sekarang adalah fasa sedekad untuk perkahwinan kami. Saya sedar apabila memasuki fasa ini tidak akan ada lagi masa untuk bergaduh, merajuk apatah lagi cemburu. Masing-masing sudah matang dan kita mahu melalui hidup ini dengan tenang.
JUTAWAN KOSMETIK
3 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan status jutawan sudah di dalam genggaman mereka. Untuk ke tahap ini bukanlah satu laluan yang mudah. Jatuh bangun dalam dunia perniagaan sudah pun dirasai. Mereka turut berkongsi rezeki dengan membantu orang lain demi kehidupan yang lebih baik. Selain stokis, mereka berjaya melahirkan leader yang meraih jualan jutaan ringgit sekaligus bergelar jutawan.
Selain berlakon, Aeril merupakan orang terpenting di sebalik Wawa Cosmetics. Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin lebih aktif merencana hala tuju empayar Wawa Cosmetics berbanding kerjaya seni memandangkan perniagaan ini menjadi sumber pendapatan utama mereka. Wawa Cosmetics menjadi antara jenama kosmetik terkenal di Malaysia sehingga usaha mereka diiktiraf dan memperoleh beberapa anugerah antaranya ‘The Most Versatile Marketing’ dan ‘The Most Influencing CEO’.
“Bermula tahun 2016 kami berniaga sekadar suka-suka. Semuanya kami lakukan sendiri di rumah sewa bermula dengan mengambil produk, membungkus dan mengepos. Saya jual macam-macam produk seperti Wawa Soft Lens. Pada tahun 2018 kami cuba menceburi bidang kosmetik. Alhamdulillah ia menjadi dan semakin berkembang.
Stok kian bertambah, kini sudah mencecah ratusan ribu unit. Ternyata bisnes kosmetik telah membawa rezeki buat kami. Cabang bisnes terbaru ialah dalam bidang F&B pula dan produk pertamanya ialah Rielkies Premium Choc di bawah syarikat Rielkies Industries Group Sdn Bhd. Kami bersyukur, walau baru dilancarkan ia mendapat sambutan yang sangat luar biasa,” kongsi Wawa.
BISNES TERKESAN AGKARA COVID-19
“Ketika PKP pertama dulu, bisnes kami betul-betul terkesan sehingga saya merasa down kerana terpaksa memberhentikan beberapa pekerja. Dengan kekuatan dan semangat yang masih bersisa kami bangkit perlahan-lahan sampailah keadaan kembali pulih. Alhamdulillah keuntungan naik 2 kali ganda setelah kami fokus kepada jualan online.
Mindset jangan kata ‘tak boleh’. Sebagai ketua saya tidak boleh tunjuk down di hadapan semua pekerja kerana mereka juga akan rasa perkara yang sama. Niat kami berniaga bukan hanya untuk menyenangkan diri sendiri sebaliknya hendak membantu orang lain untuk meningkatkan taraf hidup mereka kepada lebih baik. Dulu semasa mula-mula berniaga kami tiada ilmu, tempuh sendiri.
Ads
Tetapi apabila sudah ada pengalaman dan ilmu daripada mentor-mentor segalanya menjadi mudah. Antara mentor-mentor kami ialah Sifu Jamal, Datuk Wira Dr Azizan dan Datuk Faridah Hanim (Ibu Hanim). Hanya selepas 3 tahun barulah kami nampak kejayaan demi kejayaan berkat kesungguhan. Alhamdulillah tahun ini kami berjaya miliki satu lagi wisma yang terletak di belakang bangunan pejabat di Bangi.
Selain F&B, sekarang ini kami juga expend dalam production line. Buat production house serta menghasilkan telemovie termasuk drama dan filem. Projek terkini adalah untuk Hari Raya di mana kami bekerjasama dengan Astro First. Jiwa berkarya itu tidak pernah luntur dalam diri kami maka sebab itulah kami masih menyumbang untuk industri namun pada masa yang sama perlu dahulukan bisnes.
‘CURI MASA’ ANAK-ANAK
Sebelum ini kami terlalu sibuk dan tiada masa untuk anak-anak. Sehinggakan saya rasa sangat berdosa apabila sering ‘mencuri masa’ anak-anak dengan kerja-kerja kami. Waktu balik kerja mereka sudah tidur, kalau ada masa pun sekejap saja. Kini kami bersyukur kerana dapat bersama mereka bila-bila masa terutama di hujung minggu. Saya lebih suka duduk di rumah sambil layan anak-anak. Sesekali kami akan bawa mereka keluar contohnya tidur di hotel untuk eratkan lagi hubungan dengan anak-anak.
Ads
Cara didikan saya dan Aeril sedikit berbeza. Saya agak tegas dengan anak-anak manakala Aeril seorang bapa yang tegas dalam kelembutan, tidak pernah berkasar atau marah dengan anak-anak. Didikannya penuh kasih sayang, gemar bergurau dan berjenaka. Sikapnya itu memberi inspirasi kepada saya dalam mendidik anak-anak sekaligus mengajar saya menjadi seorang ibu yang penyabar dalam melayan karenah anak-anak.
RAHSIA SIHAT & CANTIK
Jika terlalu sibuk adakalanya saya terlupa hendak uruskan diri sendiri seperti kurang minum air masak dan tidak konsisten dalam rutin penjagaan kulit. Akibatnya, jerawat akan mudah tumbuh dengan banyak. Solusinya, saya kembali dengan rutin dan kulit pun kembali pulih seperti sedia kala. Kesihatan pula adalah nikmat paling besar. Kaya macam mana sekali pun kalau kesihatan tidak dijaga dengan baik tiada gunanya.
Sebagai wanita jagalah kesihatan luar dalam. Badan yang terlalu penat memerlukan rehat secukupnya.Amalan yang tidak pernah saya lupa ialah sentiasa memohon doa daripada ibu bapa saya agar diberikan kesihatan yang baik buat kami sekeluarga. Saya yakin, doa mereka itulah menjadi asbab kepada keberkatan rezeki kami dalam bisnes.
HARAPAN
Niat kami berniaga adalah untuk jangka masa panjang. Kami berhasrat untuk menjadi kilang gergasi di Malaysia suatu hari nanti. Untuk anak-anak, selain meninggalkan empayar perniagaan kami juga sudah membuat extra care dengan menyediakan pelan insuran masing-masing termasuk simpanan masa depan. Sekarang usia saya 29 tahun manakala Aeril ialah 33 tahun. Impian saya ialah mahu pencen sebelum usia 40 tahun. Kalau diizinkan Allah SWT, lepas usia 40 tahun saya nak travel ke destinasi impian.
Seterusnya kami mahu terus berkongsi rezeki dengan lebih ramai orang. Selain itu, kami juga mahu terus mencari keberkatan dalam rezeki dengan mengejar saham akhirat. Kami akan terus membantu mereka yang memerlukan, tidak kiralah dari segi bantuan mahupun peluang pekerjaan.
Kebanyakan yang bekerja dengan kami pun ahli keluarga sendiri seperti adik beradik dan ipar duai. Apabila dapat membantu mereka ia memberi satu kepuasan buat kami selain rasa sangat bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki. Paling bahagia apabila kami dapat menyaksikan perjalanan mereka yang bermula dari bawah sampailah berjaya memiliki kereta dan rumah idaman. Mereka juga memberi inspirasi kepada kami agar terus berusaha,” akhiri Wawa.
Kredit Foto: Instagram Wawa Zainal & Aeril Zafrel
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Meraikan majlis pernikahan ketika PKPB masih berkuat kuasa, sesungguhnya bukan sesuatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu difikirkan, antaranya soal penularan virus dan kesihatan tetamu. Inilah yang dikongsi oleh bekas pengacara TV3, Puan Sri Normala Samsudin sempena majlis anakanda kesayangan, Ruhila Roslan.
“Bila tiba majlis perkahwinan di musim COVID-19 ini, emak bapa jadi gundah gulana. Bukan sahaja pelbagai kekangan persediaan malah hidup norma baharu ini perlu dipatuhi. Maka kerisauan bertambah lagi apabila ada saudara mara, rakan taulan mahupun kenalan kerja yang tiada dalam senarai undangan.”
Sejurus itu, Puan Sri Normala dan suami, Tan Sri Azmi Khalid memohon maaf kepada banyak pihak kerana tidak mampu menjemput ramai orang ke majlis perkahwinan anak mereka, Ruhila Roslan.
“Mohon jangan berkecil hati, tapi saya mohon restu kalian dan doakan semuanya berjalan lancar. Moga Allah permudahkan urusan pernikahan dan resepsi kecil-kecilan ini,” tulisnya merendah diri.
Dalam foto yang dikongsikan di akaun Instagram miliknya, Puan Sri Normala sempat berswafoto dengan Dr Ruhila beberapa minit sebelum anak gadisnya menjadi milik orang.
Majlis pernikahan Dr Ruhila Roslan dan jejaka pilihan hatinya, Majid Nazli telah berlangsung di Masjid Bukit Damansara pada Ahad, 3 Januari 2020 lepas. Mengenakan persalinan baju kurung serba putih rekaan Zachrins Jaafar, penampilan mempelai tampak suci dengan solekan manis oleh Warnabilla.
Lembut dan klasik, memang nampak evergreen sepanjang zaman!
Selepas upacara nikah berlangsung, kedua mempelai mengadakan majlis resepsi kecil-kecilan dengan dihadiri keluarga dan kenalan rapat mereka di Glasshouse, Seputeh. Tema garden wedding menjadi pilihan mereka pada hari bersejarah tersebut.
Sama cantik, sama padan. Bagaikan pinang dibelah dua. Begitulah secocoknya pasangan Dr Ruhila dan Majid Nazli ini kala bersanding di pelamin.
Seronok melihat keakraban keluarga Puan Sri Normala Samsudin ni. Sentiasa supportive dan saling sayang-menyayangi. Semoga perkahwinan yang dibina oleh Dr Ruhila dan pasangannya berkekalan abadi serta sentiasa mendapat keberkatan Allah SWT.
Kredit: Instagram Puan Sri Normala Samsudin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Puan Sri Nisa Bakri nyata bukan calang-calang wanita. Kejayaan yang diraih beliau bukan hanya dalam industri kulinari tempatan malah diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa. Salah satu pencapaian membanggakan yang terpahat segar di ingatan Puan Sri Nisa pastinya saat beliau berjaya membawa masakan warisan Malaysia sampai ke Kota London!
Menceritakan kembali perjalanan awal dalam bidang ini, pemilik nama Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid ini mengakui aktiviti memasak pada mulanya hanya dijadikan sekadar hobi. Namun lama-kelamaan isteri Tan Sri Mohd Bakri Zinin ini memilih dunia kulinari sebagai kerjaya.
Beliau yang mempunyai kelulusan dalam bidang ekonomi dan kewangan telah menempa nama dan reputasi cemerlang sepanjang bergelar cef selebriti.
“Memasak ini memang hobi saya dan dari hobi itu ia kemudian berputik menjadi passion. Sejak suami bersara kira-kira enam tahun lepas, saya banyak menghabiskan masa dengan memasak di rumah. Sepanjang aktif memasak ini juga saya akhirnya berjaya keluarkan buku masakan dan ada program masakan sendiri.
Tak sangka dari hobi, ia makin menjadi-jadi. Ingat hendak berehat dah, tapi Tan Sri faham minat saya dalam dunia masakan dan mahu saya teruskan minat ini. Mengenai pencapaian terbaik, alhamdulillah pada bulan Ramadan tahun lalu saya dapat buat program masakan sendiri yang disiarkan di saluran TV Okey bersama artis-artis tersohor negara.
Itu adalah salah satu pencapaian bermakna bagi saya. Keduanya pula ialah apabila saya dapat masak di London Fashion Week 2018. Saya buat masakan warisan Malaysia untuk empat fashion show melibatkan 700 orang. Memang ia pencapaian berharga buat saya,” telus Puan Sri Nisa yang merupakan penulis buku masakan, I Am Not A Chef.
Buku masakan yang diterbitkan pada tahun 2015 tersebut merupakan sebuah karya unik beliau berkonsepkan Romance, Food and Love yang menghimpunkan 25 resipi tradisional. Selepas kejayaan menerbitkan buku masakan sendiri, Puan Sri Nisa turut mendapat pengiktirafan sebagai Top Outstanding Gourmet Ambassador di World Gourmet Award 2018 selain dilantik Culinary Advisor oleh World Gourmet Award Association 2019.
Pada tahun sama juga Puan Sri Nisa menerima Anugerah Outstanding ASEAN Women Enterpreneur Award 2019 anjuran Awen iaitu ASEAN Women Entrepreneur Network di Bangkok, Thailand.
Berbicara soal rutin harian, Puan Sri Nisa mengambil manfaat situasi pandemik Covid-19 untuk mengajak semua kakitangannya tampil lebih kreatif dan berani mencuba strategi pemasaran baharu dalam usaha menarik semula permintaan pasaran.
Antara inisiatif yang dijalankan adalah pengenalan pek makanan, menyediakan makanan DIY, membantu golongan wanita yang diberhentikan kerja menjana pendapatan dari rumah, menyediakan modul perniagaan dari rumah, memantapkan jenama NisaBakri secara dalam talian, mengadakan kelas makanan online dan kelas masakan untuk kanak-kanak.
“Setiap minggu hari Jumaat, NisaBakri (NB) Gourmet akan tutup katering untuk public business. Kami ambil hari Jumaat untuk memasak bagi pihak pemberi sumbangan sebelum diagihkan kepada anak-anak yatim, gelandangan, warga emas, petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan makanan sihat dan lazat.
Individu-individu yang memberi sumbangan kepada NB Gourmet ini percaya dengan kebolehan kami untuk melaksanakan niat mereka sebab kami amat mementingkan masakan yang sihat tanpa pengawet atau preservatives.
Sejujurnya, saya sudah mulakan program ‘Friday Givings’ ini sejak enam tahun lepas. Sekarang alhamdulillah, ramai yang sudah tahu program berkenaan. Hari Jumaat ialah hari paling istimewa buat saya dan saya sendiri akan masak untuk insan-insan istimewa berkenaan.
Antara menu yang disediakan ialah Biryani Ayam Yemen, Biryani Grill, Ayam Masak Merah, Lontong Ayam Sayur, Daging Dendeng dan banyak lagi,” jelas Puan Sri Nisa yang mengambil tempahan makanan bagi tujuan kebajikan.
Terinspirasi dengan gaya hidup Puan Sri Nisa. Meskipun sibuk mengurus keluarga, cucu dan anak, tetap komited dengan bisnes yang diusahakan. Moga kejayaan beliau menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita.
Kredit foto: Instagram Puan Sri Nisa Bakri
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terubat duka di hati Siti Elizad Mohamad Sharifuddin apabila menerima panggilan telefon daripada seseorang yang tak disangka-sangka. Terguris hati dengan kata-kata yang dilemparkan kepadanya sebelum ini namun panggilan telefon daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah menyuntik bahagia dihatinya.
“Hari ni hari yang sangat menggembirakan hati saya. Menerima panggilan telefon dari KDYMM Tuanku Permaisuri Azizah. Bertanyakan keadaan saya setelah Tuanku Permaisuri terbaca kisah yang mengatakan saya “Mandul” tempoh hari.
It really touch my heart with this beautiful call Tuanku. Terharu, terkejut semua ada. Macam mimpi, dapat bercakap dengan Tuanku Permaisuri yang saya sendiri jadikan idola dalam cerita perjalanan IVF saya.
Sungguhnya, Tuanku Permaisuri sangatlah prihatin dengan kisah saya yang bukanlah siapa-siapa. Tuanku berikan kata-kata semangat, bercerita sendiri tentang pengalaman Tuanku sebanyak 17 kali tempuh perjalanan IVF. Memang menyakitkan. Hanya yang mengalami sahaja yang merasai,” tulis Elizad di laman media sosialnya.
Seperti yang kita sedia maklum, Elizad berjaya hamil setelah melakukan prosedur IVF namun hanya mampu bertahan selama seminggu. Biarpun kecewa namun wanita tinggi lampai ini sentiasa positif dan tak mengaku kalah. Kagum dengan semangat Elizad kerana tetap mahu berusaha tanpa mengenal putus asa dan sentiasa bersangka baik dengan ujian Allah.
Sebelum ini wanita yang berusia 37 tahun ini pernah berkongsi mengambil keputusan untuk melakukan IVF kerana bimbang sista yang telah dibuangnya dahulu datang kembali. “Saya pernah buat pembedahan sista dua kali. Saya juga pernah menjalani pembedahan membuang ovari sebelah kiri dan sekarang ada sebelah saja.
Memandangkan sista dalam badan saya jenis aktif, jadi sebelum doktor buang rahim yang sebelah ini saya berharap Allah bagi saya seorang cahaya mata,” kongsi Elizad. Semoga doa Elizad dimakbulkan oleh Allah SWT dan memberinya peluang untuk bergelar seorang ibu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...