Menyingkap kembali permulaan kehidupan berumahtangga pasangan pelakon popular, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel berbagai onak duri terpaksa ditempuh. 5 tahun pertama perkahwinan mereka diuji hebat sehingga hampir menggoyahkan mahligai yang dibina. Sumber rezeki turut terjejas dek kontroversi. Apatah lagi, ketika mengambil keputusan untuk berkahwin pada tahun 2012 masing-masing masih muda dan berada di puncak populariti.
Namun perancangan Allah SWT tiada siapa yang tahu. Beruntungnya Wawa kerana dikurniakan seorang suami yang sangat penyabar. Berkat kematangan Aeril akhirnya perkahwinan mereka berjaya diselamatkan. Wawa terinspirasi dengan keikhlasan Aeril yang sentiasa bertolak ansur jika berlaku perselisihan faham. Akhirnya Wawa berubah menjadi seorang isteri yang baik, taat, setia serta penyayang. Selain menjaga hubungan sebagai suami isteri, mereka juga mula mendekatkan diri dengan Sang Pencipta yang memberi nikmat kebahagiaan sampai ke hari ini.
Tahun ini genap 9 tahun bahtera perkahwinan yang dibina. Hampir sedekad! Malah, Wawa dan Aeril dilihat semakin bahagia dan romantik. Kehadiran 3 cahayamata yang sangat comel iaitu Ahmad Fakharuddin Attar (8), Hayla Maghfirahtul Azdkiyaa (6) dan Aya Soffya (2) melengkapkan lagi kebahagiaan pasangan ini. Kehidupan mereka juga jauh lebih baik berbanding sebelumnya apabila rezeki dalam perniagaan melimpah ruah.
“Walau banyak dugaan namun pengalaman mengajar erti hidup serta mematangkan kami berdua. Sekarang adalah fasa sedekad untuk perkahwinan kami. Saya sedar apabila memasuki fasa ini tidak akan ada lagi masa untuk bergaduh, merajuk apatah lagi cemburu. Masing-masing sudah matang dan kita mahu melalui hidup ini dengan tenang.
JUTAWAN KOSMETIK
3 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan status jutawan sudah di dalam genggaman mereka. Untuk ke tahap ini bukanlah satu laluan yang mudah. Jatuh bangun dalam dunia perniagaan sudah pun dirasai. Mereka turut berkongsi rezeki dengan membantu orang lain demi kehidupan yang lebih baik. Selain stokis, mereka berjaya melahirkan leader yang meraih jualan jutaan ringgit sekaligus bergelar jutawan.
Selain berlakon, Aeril merupakan orang terpenting di sebalik Wawa Cosmetics. Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin lebih aktif merencana hala tuju empayar Wawa Cosmetics berbanding kerjaya seni memandangkan perniagaan ini menjadi sumber pendapatan utama mereka. Wawa Cosmetics menjadi antara jenama kosmetik terkenal di Malaysia sehingga usaha mereka diiktiraf dan memperoleh beberapa anugerah antaranya ‘The Most Versatile Marketing’ dan ‘The Most Influencing CEO’.
“Bermula tahun 2016 kami berniaga sekadar suka-suka. Semuanya kami lakukan sendiri di rumah sewa bermula dengan mengambil produk, membungkus dan mengepos. Saya jual macam-macam produk seperti Wawa Soft Lens. Pada tahun 2018 kami cuba menceburi bidang kosmetik. Alhamdulillah ia menjadi dan semakin berkembang.
Stok kian bertambah, kini sudah mencecah ratusan ribu unit. Ternyata bisnes kosmetik telah membawa rezeki buat kami. Cabang bisnes terbaru ialah dalam bidang F&B pula dan produk pertamanya ialah Rielkies Premium Choc di bawah syarikat Rielkies Industries Group Sdn Bhd. Kami bersyukur, walau baru dilancarkan ia mendapat sambutan yang sangat luar biasa,” kongsi Wawa.
BISNES TERKESAN AGKARA COVID-19
“Ketika PKP pertama dulu, bisnes kami betul-betul terkesan sehingga saya merasa down kerana terpaksa memberhentikan beberapa pekerja. Dengan kekuatan dan semangat yang masih bersisa kami bangkit perlahan-lahan sampailah keadaan kembali pulih. Alhamdulillah keuntungan naik 2 kali ganda setelah kami fokus kepada jualan online.
Mindset jangan kata ‘tak boleh’. Sebagai ketua saya tidak boleh tunjuk down di hadapan semua pekerja kerana mereka juga akan rasa perkara yang sama. Niat kami berniaga bukan hanya untuk menyenangkan diri sendiri sebaliknya hendak membantu orang lain untuk meningkatkan taraf hidup mereka kepada lebih baik. Dulu semasa mula-mula berniaga kami tiada ilmu, tempuh sendiri.
Tetapi apabila sudah ada pengalaman dan ilmu daripada mentor-mentor segalanya menjadi mudah. Antara mentor-mentor kami ialah Sifu Jamal, Datuk Wira Dr Azizan dan Datuk Faridah Hanim (Ibu Hanim). Hanya selepas 3 tahun barulah kami nampak kejayaan demi kejayaan berkat kesungguhan. Alhamdulillah tahun ini kami berjaya miliki satu lagi wisma yang terletak di belakang bangunan pejabat di Bangi.
Selain F&B, sekarang ini kami juga expend dalam production line. Buat production house serta menghasilkan telemovie termasuk drama dan filem. Projek terkini adalah untuk Hari Raya di mana kami bekerjasama dengan Astro First. Jiwa berkarya itu tidak pernah luntur dalam diri kami maka sebab itulah kami masih menyumbang untuk industri namun pada masa yang sama perlu dahulukan bisnes.
‘CURI MASA’ ANAK-ANAK
Sebelum ini kami terlalu sibuk dan tiada masa untuk anak-anak. Sehinggakan saya rasa sangat berdosa apabila sering ‘mencuri masa’ anak-anak dengan kerja-kerja kami. Waktu balik kerja mereka sudah tidur, kalau ada masa pun sekejap saja. Kini kami bersyukur kerana dapat bersama mereka bila-bila masa terutama di hujung minggu. Saya lebih suka duduk di rumah sambil layan anak-anak. Sesekali kami akan bawa mereka keluar contohnya tidur di hotel untuk eratkan lagi hubungan dengan anak-anak.
Cara didikan saya dan Aeril sedikit berbeza. Saya agak tegas dengan anak-anak manakala Aeril seorang bapa yang tegas dalam kelembutan, tidak pernah berkasar atau marah dengan anak-anak. Didikannya penuh kasih sayang, gemar bergurau dan berjenaka. Sikapnya itu memberi inspirasi kepada saya dalam mendidik anak-anak sekaligus mengajar saya menjadi seorang ibu yang penyabar dalam melayan karenah anak-anak.
RAHSIA SIHAT & CANTIK
Jika terlalu sibuk adakalanya saya terlupa hendak uruskan diri sendiri seperti kurang minum air masak dan tidak konsisten dalam rutin penjagaan kulit. Akibatnya, jerawat akan mudah tumbuh dengan banyak. Solusinya, saya kembali dengan rutin dan kulit pun kembali pulih seperti sedia kala. Kesihatan pula adalah nikmat paling besar. Kaya macam mana sekali pun kalau kesihatan tidak dijaga dengan baik tiada gunanya.
Sebagai wanita jagalah kesihatan luar dalam. Badan yang terlalu penat memerlukan rehat secukupnya.Amalan yang tidak pernah saya lupa ialah sentiasa memohon doa daripada ibu bapa saya agar diberikan kesihatan yang baik buat kami sekeluarga. Saya yakin, doa mereka itulah menjadi asbab kepada keberkatan rezeki kami dalam bisnes.
HARAPAN
Niat kami berniaga adalah untuk jangka masa panjang. Kami berhasrat untuk menjadi kilang gergasi di Malaysia suatu hari nanti. Untuk anak-anak, selain meninggalkan empayar perniagaan kami juga sudah membuat extra care dengan menyediakan pelan insuran masing-masing termasuk simpanan masa depan. Sekarang usia saya 29 tahun manakala Aeril ialah 33 tahun. Impian saya ialah mahu pencen sebelum usia 40 tahun. Kalau diizinkan Allah SWT, lepas usia 40 tahun saya nak travel ke destinasi impian.
Seterusnya kami mahu terus berkongsi rezeki dengan lebih ramai orang. Selain itu, kami juga mahu terus mencari keberkatan dalam rezeki dengan mengejar saham akhirat. Kami akan terus membantu mereka yang memerlukan, tidak kiralah dari segi bantuan mahupun peluang pekerjaan.
Kebanyakan yang bekerja dengan kami pun ahli keluarga sendiri seperti adik beradik dan ipar duai. Apabila dapat membantu mereka ia memberi satu kepuasan buat kami selain rasa sangat bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki. Paling bahagia apabila kami dapat menyaksikan perjalanan mereka yang bermula dari bawah sampailah berjaya memiliki kereta dan rumah idaman. Mereka juga memberi inspirasi kepada kami agar terus berusaha,” akhiri Wawa.
Kredit Foto: Instagram Wawa Zainal & Aeril Zafrel
This website uses cookies.