Rezeki tidak pernah salah alamat, di mana sahaja kita berada di bumi Allah, insyaAllah rezeki itu pasti ada buat mereka yang rajin berusaha. Sama ada lambat atau cepat, sikit atau banyak itu semuanya bergantung kepada usaha serta tentunya dengan izin Maha Pemberi Rezeki.
Nurleen Binti Ibrahim, 35 tahun, merupakan pemilik kepada Leenzy Ibrahim Kitchen yang didaftarkan di bawah syarikat Leenzy Ibrahim Enterprise. Menjalankan perniagaan secara ‘online’ melalui Facebook dan Instagram. Diusahakan sepenuhnya dari rumah, Nurleen memfokuskan bidang pembuatan kuih-muih, kek, kek lapis Sarawak, pastri dan makanan bagi katering kecil-kecilan.
Wanita ini juga merupakan pelajar terbaik untuk kursus Masakan dan Pramusaji Giatmara, Stampin Kuching. Dia pernah mengikuti Kursus Pembangunan Rancangan Perniagaan RBC dibawah kelolaaan MARA dan Penerima Geran Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) melalui SME CORP.
“Saya akui pandemik ini menjejaskan banyak perniagaan termasuk saya sendiri. Namun bagi saya ia tidak harus dilihat sebagai satu masalah besar, sebaliknya fokus harus diberikan untuk untuk mencari jalan agar perniagaan dapat diteruskan dalam apa jua keadaan.
Kalau dulu saya akui tempahan bukan hanya tinggi pada hari-hari perayaan sahaja tetapi hari-hari biasa juga. Namun semenjak pandemik, kesan kekurangan tempahan itu dapat dirasai setiap hari malahan terjejas apabila hari demi hari tiada tempahan,” jelas anak Bintulu, Sarawak itu.
Namun keadaan ini tidak mematahkan semangat beliau untuk bertahan dalam perniagaan. “Sebagai orang Islam apa saja yang kita buat dalam kehidupan, jalinan ukhuwah sesama manusia dan perniagaan perlu dilaksanakan dengan reda Allah. InsyaAllah rezeki itu pasti ada jika kita sentiasa menjaga perkara ini.
Rezeki dan hubungan baik dengan keluarga, adik-beradik serta masyarakat luar akan seiring jalan, ditambah dengan kualiti produk yang mesti dijaga agar semua berpuas hati dengan perkhidmatan kita.
Saya selalu pesan kepada diri dan anak-anak, jika dalam keadaan apa sekalipun kita perlu sentiasa jaga hubungan dengan Allah, solat dan sebagainya.
InsyaAllah kalau kita jaga semua tu, Allah akan jaga benda-benda lain untuk kita. Percayalah rezeki dan kesenangan itu datang dari Allah sebab kita baik pada orang lain dan keluarga,” ujar Nurleen sambil tersenyum manis.
“Kita perlu punya perancangan perniagaan yang baik. Jika gagal plan A, perlu ada plan B dan seterusnya. Kuncinya kena terus usaha, banyak mengkaji permintaan pasaran. Cuba lihat apa kekurangan perniagaan yang kita ada sekarang dan berusaha untuk memperbaiki diri.
Jangan meniru hasil kerja orang lain, tapi jadikan apa yang kita lihat itu sebagai satu inspirasi dan cuba untuk jadi lebih baik daripada itu. Jangan lihat satu masalah itu sebagai beban, jadikan ia sebagai semangat untuk bangkit kerana jikalau kita berusaha setiap kesusahan itu akan ada kemanisan di hujungnya, insyaAllah.”
Mengimbas kembali kisah bagaimana Nurleen mula bertapak, bukan mudah perjalanan dilaluinya. “Saya dilahirkan dalam keluarga besar yang memang suka berniaga. Semenjak arwah ayah tamat perkhidmatan beliau di satu syarikat pelantar minyak di Miri, ibu dan ayah balik ke kampung halaman di Bintulu dan membuat keputusan untuk berniaga.
Dari kecil saya membantu mereka. Membungkus dan mengangkat kuih-muih hingga lama-kelamaan ianya menjadi kebiasaan buat saya. Pengalaman inilah membawa saya memulakan perniaga secara serius pada tahun 2012.
Produk pertama yang dihasilkan ialah biskut makmur dan brownies. Niat saya buat hanya untuk suka-suka, tapi tanpa disangka jadi bahan mulut ke mulut pelanggan saya.
Boleh dikatakan setiap hari ada tempahan. Saya tidak hanya fokus pada 2 produk itu sahaja, saya juga menjalankan perniagaan katering untuk syarikat swasta dan juga badan-badan kerajaan dan masa itu pekerja saya adalah di kalangan lepasan GiatMARA, kawan-kawan saya dan juga adik-beradik.
Pada tahun 2016, saya berkahwin dan kemudian saya berpindah ikut suami ke Negeri Sembilan. Hijrah saya ini menjadi satu cabaran besar bagi saya untuk membuat rangkaian baru di Semenanjung Malaysia. Ia memerlukan perhubungan yang lebih terbuka dan persaingan agak sengit di kalangan para peniaga.
Perlu lebih komitmen tinggi dari segi masa dan tenaga serta usaha. Memang mencabar di awalnya kerana tiada orang yang mengenali saya.
Namun dengan adanya Instagram, Facebook dan rangkaian di media sosial, saya teruskan membuat promosi memperkenalkan produk saya di seluruh kawasan Negeri Sembilan, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor.
Alhamdulillah berkat usaha itu, pelanggan saya bertambah dari hari ke hari,” ujar Nurleen sambil menyatakan biskut makmur air tangannya merupakan salah satu biskut kegemaran Dato’ Rizalman Ibrahim.
Banyak suka duka dalam berniaga yang dilalui…. “Terlalu banyak sebab setelah ayah saya diberhentikan kerja, sememangnya dari kecil saya tahu ayat ‘berusaha’ dan pada tahun 2006 saya pernah melalui keperitan hidup apabila menjadi ibu tunggal kepada seorang anak lelaki.
Pada masa itu, anak sulung saya inilah menjadi kekuatan saya. Memang lama saya nak bangkit balik daripada kekecewaan itu, tapi orang cakap ‘life must go on’ kalau saya tak buat sesuatu tiada siapa yang boleh bantu melainkan diri saya sendiri
Saya ingat ada satu masa itu saya berniaga di tepi jalan, anak sulung saya sentiasa menemani saya sampai tertidur di bawah meja jualan saya.
Tapi anak tak pernah merungut, dia seronok bersama saya. Alhamdulilah saya dikurniakan anak yang sangat baik dan tak menyusahkan.
Kami pernah melalui keadaan dalam hujan lebat basah kuyup sambil angkat barang katering penuh dalam kereta. Saya amat bersyukur Allah memberikan kudrat dan kekuatan yang sangat besar buat saya. Semua pengalaman inilah, menjadi cikgu sebenar untuk saya terus maju dalam bidang perniagaan.
Saya percaya selagi kita rajin berusaha takkan ada benda yang menjadi penghalang. Kita perlu positif dan elakkan diri daripada meminta-minta. Saya kena usaha sendiri demi membesarkan anak saya masa itu. Alhamdulillah saya tak menyusahkan sesiapa, saya mampu bagi kesenangan menyekolahkan anak saya sendiri.
Pengalaman tersebut sangat berharga bagi saya. Kalau dulu saya sedih dan anggap itu semua beban, sekarang saya bangga sebab saya pernah berada dalam situasi tersebut tapi saya berjaya melepasinya,” cerita Nurleen mengimbas kembali perjalanan hidupnya sebelum ini.
Sekarang kebahagiaan mengiringi kehidupan Nurleen bersama suami dan tiga orang anaknya. Nurleen banyak mengikuti kelas online seperti kelas food photography, kelas perniagaan dan kelas Bahasa Inggeris. Ini semua merupakan satu pelaburan untuk perniagaannya di masa hadapan.
“Suatu hari nanti dengan izin Allah saya ingin membuka small café yang menjual pelbagai jenis produk kek, pastries dan kek lapis Sarawak. Saya berharap perniagaan saya ini nanti dapat membantu lebih banyak golongan yang susah dari segi kewangan dan pekerjaan.
Niat saya ingin menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda atau kepada sesiapa yang ingin bekerja secara sambilan. InsyaAllah.”
This website uses cookies.