Dulu Bintang Bollywood Kini Penulis Buku Berjaya, TWINKLE KHANNA Memukau Di Usia 46 Tahun!

Makin berusia makin cantik! Terpukau dengan wajah awet muda Twinkle Khanna yang kini berusia 46 tahun. Baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran pada 29 Disember lalu, pesona bekas bintang Bollywood popular ini tetap mencuri tumpuan meskipun Twinkle tidak lagi mewarnai dunia seni India.

Memetik laporan Times of India, Twinkle atau nama sebenarnya Tina Jatin Khanna memutuskan untuk berhenti berlakon selepas mendirikan rumah tangga dengan aktor kacak Bollywood, Akshay Kumar pada tahun 2001. Sepanjang bergelar anak seni, Twinkle pernah membintangi beberapa filem popular antaranya Baadshaah, Barsaat dan banyak lagi.

Yang pasti, Twinkle cukup bertuah kerana mewarisi darah seni dan kejelitaan kedua-dua orang tuanya. Dia merupakan anak perempuan kepada dua superstar Bollywood iaitu Rajesh Khanna dan Dimple Kapadia yang sememangnya terkenal dalam kalangan peminat Bollywood kerana memiliki rupa paras kacak dan cantik selain berbakat besar dalam industri lakonan.

Nama Dimple Kapadia misalnya masih menjadi bualan hingga ke hari ini kerana kecantikan wajah yang dimiliki. Walau sudah meniti usia 60an namun rupa paras pelakon filem terkemuka, Bobby ini kekal anggun!

Kejelitaan Twinkle Khanna

Di samping ibunya, Dimple Kapadia
Bapa Twinkle, Rajesh Khanna

Tidak hanya mewarisi gen cantik, Twinkle juga berkongsi tarikh lahir yang sama dengan bapa tersayang iaitu tanggal 29 Disember. Kelahiran Twinkle pada hari lahir ke-31 Rajesh Khanna benar-benar mengubah kehidupan lagenda Bollywood tersebut. Malah, jelitawan ini turut mengakui dia rasa cukup istimewa berkongsi tarikh lahir sama dan menggamit kenangan zaman kanak-kanak di samping bapanya setiap kali hari berkenaan tiba.

Selepas bersara daripada bidang lakonan, bekas aktres ini dikatakan mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan. Selain aktif menulis di blog popularnya, Twinkle juga merupakan kolumnis, penerbit filem, hos dan penulis buku berjaya. Sepanjang pembabitannya dalam bidang ini, Twinkle dikenali dengan gaya penulisan santai dan penuh jenaka.

Karya pertama Twinkle ‘Mrs Funnybones’ diterbitkan pada tahun 2015 dan ia mendapat sambutan luar biasa sehingga wanita berbakat besar ini mendapat pengiktirafan sebagai penulis wanita yang mencatat jualan buku paling tinggi di India pada tahun tersebut. Bersandarkan kejayaan buku itu, dia kemudian menerbitkan buku keduanya iaitu The Legend of Lakshmi Prasad. Kini, Twinkle sedang dalam perancangan untuk menerbitkan buku keempatnya!

Ternyata, Twinkle seorang wanita yang berani mengambil risiko dan mencari potensi diri. Mungkin ramai yang tidak mengetahui, pengarah filem blockbuster Kuch Kuch Hota Hai, Karan Johar mahu Twinkle menjayakan watak Tina dalam filem berkenaan namun pelawaan itu ditolak secara baik dan digantikan dengan Rani Mukerji. Pengundurannya dalam dunia seni disifatkan berbaloi kerana selain bergelar penulis buku berjaya, Twinkle juga merupakan usahawan dan pereka hiasan dalaman.

Twinkle di samping suami tercinta
Bersama anak lelakinya
Akshay bersama anak lelaki mereka

 

Terlalu meminati bidang ini, portal Livspace melaporkan Twinkle telah membuka sebuah butik hiasan dalaman sendiri di Crawford Market, Mumbai yang diberi nama The White Window pada tahun 2002 bersama seorang rakan kongsi, Gurlein Manchanda. Butik tersebut turut menerima Elle Décor International Design Award.

Twinkle menyambut ulang tahun perkahwinan ke-20 pada 17 Januari lalu dan hasil perkongsian hidup bersama Akshay Kumar, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Aarav Kumar berusia 19 tahun dan Nitara Kumar, 9 tahun.

 

 

Sumber: Times of India / Livspace
Kredit foto: Instagram Twinkle Khanna

Share
Published by
Suzi