Sebagai satu-satunya negara yang mengalami pertumbuhan positif di sebalik pandemik COVID-19, China terus menunjukkan ‘taringnya’ sebagai kuasa ekonomi No. 1 di dunia dengan melahirkan ramai jutawan wanita.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Hurun Research Institute, 61 peratus usahawan wanita bergelar jutawan memiliki kekayaan melebihi AS$1 bilion, jauh mengatasi Amerika Syarikat di tempat kedua dan United Kingdom ketiga.
Zhong Huijuan, seorang usahawan China berusia 61 tahun memulakan syarikat farmaseutikal tanpa sebarang pengalaman kini bergelar wanita terkaya di dunia dengan kekayaan bernilai 106 bilion yuan (kira-kira AS$15.1 bilion).
Menurut Bloomberg Billionaires Index, Zhong berada di senarai ke-97 orang paling kaya di dunia dengan anggaran kekayaan US$19.2 juta.
Merupakan seorang graduan lulusan sarjana kimia dari Jiangsu Normal University, wanita ini memulakan kerjayanya sebagai guru kimia di sebuah sekolah menengah.
Pada tahun 1995, bekas guru kimia itu mengasaskan Hansoh Pharmaceutical, iaitu pembuat ubat-ubatan farmaseutikal terbesar di China.
Sementara suaminya, Sun Piaoyang juga menjalankan bisnes yang sama melalui Jiangsu Hengrui Medicine, menjadikan pasangan ini sebagai keluarga perniagaan farmaseutikal terkaya di dunia.
Penularan kes COVID-19 meningkatkan permintaan pasaran stok ubat-ubatan dan pelbagai peralatan perubatan China yang dibekalkan oleh syarikat Hansoh Pharmaceutical.
Sebagai pengasas, Zhong Huijuan merupakan pemegang saham terbesar di syarikat yang terkenal dengan ubat-ubatan sistem saraf, kanser, diabetes serta perawatan gastrousus dan kardiovaskular.
18 Tahun Jadi Usahawan Kosmetik, KAK TON Enggan Tunjuk Mewah & Elak Orang Rasa Tak Selesa!
Kejayaan usahawan kosmetik terkenal tanah air atau lebih dikenali sebagai Kak Ton ini nyata bukan calang-calang. Pasti ada keunikan dan tarikan tersendiri yang dimiliki wanita hebat tersebut hingga berjaya membuatkan perniagaannya kekal bertahan dalam industri selama hampir dua dekad. Bukan tempoh yang singkat tu! Apatah lagi dengan persaingan bermacam-macam produk kosmetik yang dijual di pasaran ketika ini. Nona percaya, kalau barangan tersebut berkualiti… sudah tentu ia akan terus mendapat permintaan ramai.
Sejak kemunculan Kak Ton pada sekitar tahun 2002, tagline popularnya ‘Comel Tak Kak Ton’ sememangnya masih diingati hingga sekarang. Hampir 18 tahun mengemudi perniagaan dan mencipta legasinya sendiri, Kak Ton atau nama sebenarnya Dr Zaiton Hassan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Pravenus Beauty Sdn Bhd.
Beberapa tahun menyepi dari industri, figura hebat berkenaan kembali aktif berniaga meskipun sudah meniti usia 60 tahun. Baik secara dalam talian mahupun jualan terus, Kak Ton tidak menang tangan menguruskan tempahan pelanggan setia.
Mengimbas kembali pembabitan Kak Ton sebagai usahawan kosmetik, dia mengakui antara jenama kosmetik yang berada pada era sepertinya kira-kira 18 tahun lalu termasuklah Sendayu Tinggi yang diasaskan Bonda Rozita dan Nouvelle Visage milik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya. “Tahun 2002 saya buat White Pearl dan tahun 2010 pula saya fokus buat Umar dan Beauty Umaira. Nak berniaga ni bukan tengok orang lain buat 10 jenis, kita nak buat juga. Kualiti kena jaga begitu juga keikhlasan berniaga sebab saya tak nak esok-esok mati benda ni ‘berat’.
Seperti mana saya selalu pesan dekat anak saya, Nadia Annuar… mimpi biar tinggi yang penting kita kena capai. Mimpilah setinggi mana pun tapi jangan duduk sahaja. Kena pegang mimpi tu. Bila kita berniaga, ikhlas dan jujur sangat penting. Keselamatan orang awam juga sangat penting. Biar kalau makan selamat dan jangan ambil mudah.
Selain itu, kita kena jaga diri dan kesihatan untuk terus beramal ibadah kepada Allah SWT. Memang ujian itu datang dalam macam-macam cara. Saya sendiri pun ada ujian yang tak boleh cerita dengan orang. Cuma apa yang boleh saya cakap, kita terima ujian tersebut dan reda.”
Dalam merancang pemasaran dan memastikan produk keluarannya dijamin selamat, Kak Ton turut tidak alpa terhadap tanggungjawab sebagai seorang hamba Yang Maha Esa. Semakin banyak rezeki dan kejayaan yang diperoleh, semakin banyak amal ibadah yang dilakukan. Enggan riak dalam menjaga hubungan dengan Allah SWT, Kak Ton sebaliknya menjelaskan amalan tersebut telah lama dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun lepas.
“Dah berpuluh tahun saya buat solat sunat. Bila dah berjaya dan sampai peringkat yang kita mahu, saya akan pastikan saya buat solat Tahajud 4 pagi. Diikuti solat Subuh, solat Tasbih, sampai ke solat Dhuha. Baru saya tidur balik dan bangun pukul 11 pagi,” ujarnya.
Mendengar pengakuan ibu tersayang, Nadia Annuar yang berada di sisi turut menyusun bicara. “Saya sebagai saksi semua perubahan yang mummy alami dalam hidup dia. Sebelum ini, iya… memang mummy mengamalkan. Tapi selepas berjaya, semakin banyak mummy amalkan sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT.
Mummy baru dua tahun kebelakangan ini pindah ke rumah besar. Walau dia dah berjaya lama daripada tempoh itu tapi masih memilih untuk tinggal di rumah flat yang kami duduk dari zaman kecil dulu kerana keselesaan yang dia rasa biarpun tinggal di rumah flat. Mummy kata bila tinggal di rumah besar dia rasa sunyi. Padahal masa saya kecil, saya ingat lagi mummy pasang cita-cita nak beli rumah besar. Biar anak-anak dapat duduk sekali. Alhamdulillah impian mummy tercapai.”
Meskipun berjaya dalam bidang yang diceburi namun usahawan yang berdarah kacukan Thailand, Laos, Pakistan dan Arab ini tetap gemar menjalani gaya hidup sederhana. Ujar Kak Ton, dia enggan menunjuk-nunjuk kesenangan hidup kerana tidak mahu orang sekelilingnya merasa kekurangan. Kagum melihat semangat dan keprihatinan Kak Ton. Moga segala yang diusahakan terus mendapat perkenan Allah dan dipermudahkan.
Hias Banglo Konsep Modern Resort, Shima Anuar Bahagia Jadi Suri Rumah Muda Usia 33 Tahun!
Nyaman dan mendamaikan, tenang jiwa melihat hiasan banglo konsep modern resort milik selebriti Shima Anuar, bahagia sungguh bergelar suri rumah muda usia 33 tahun!
Pepohon hijau melambai, menemani sepanjang perjalanan kami ke kediaman mewah di pinggir TTDI ini. Tenang fikiran dapat menghirup udara segar, sejenak meninggalkan kebisingan hiruk-pikuk kota di belakang.
Melangkah masuk ke laman banglo milik selebriti Shima Anuar, kami diterpa rasa damai melihatkan suasana sekeliling yang menghijau. Ada kolam renang dan trek basikal untuk aktiviti keluarga. Landskap bunga-bunga taman juga diurus rapi oleh suami Shima.
Membangunkan rekaan terbuka dengan dinding kaca, suasana interior rumah ini dilimpahi cahaya semula jadi. Seperti berada di resort, Shima dan suami bijak menata hias perabot agar tidak sarat namun masih kelihatan glam.
“Sebenarnya rumah ni suami saya yang reka dan kami pilih konsep moden. Renovasi mengambil masa sekitar 3 tahun kerana waktu dalam pembinaan tu, seluruh dunia sedang dilanda COVID-19. Dua kali kontraktor kami terpaksa hentikan kerja kerana PKP.
Shima paling suka suasana outdoor pada waktu malam. Boleh dengar suara serangga yang mendamaikan sebab di sekeliling rumah kami masih ada hutan. Saya dan anak-anak pun suka habiskan banyak masa di luar berbanding dalam rumah,” ujar ibu anak tiga ini.
Mendamaikan, jom saksikan video penuh house tour Shima Anuar di bawah…
Selain menguruskan hal anak-anak termasuklah si kecil yang baru berusia setahun, Shima senang mengisi masa lapang dengan menggubah bunga.
Eksklusif untuk Nona Lifestyle, beliau sempat berkongsi cara-cara menggubah bunga dan table setting kesukaannya. Betul-betul berbakat, nampak mudah dan menjadi sangat air tangannya.
Wow, banyak lagi perkara menarik tentang suri rumah muda usia 33 tahun ini yang ramai tak tahu. Kenali peribadi pelakon filem 7 Petala Cinta ini secara up-close and personal secara eksklusif dalam video Nona Lifestyle di atas.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/jodoh-dengan-mekanik-rezeki-mastinah-mohd-sani-lepas-kahwin-mengalir-deras/
“Bila Berkumpul Adik-Beradik, Boleh Pecah Rumah!” Rozita Che Wan & Sisters Imbau Nostalgia Raya
Populariti Rozita Che Wan dan Ayu Raudhah sudah tidak perlu dipertikaikan lagi. Namun kehadiran adik-beradiknya yang jelita… Rahimah, Rubytah dan Datin Rohaiza kali ini mencuri tumpuan. Ikuti kisah memori indah lebaran Rozita Che Wan & sisters!
RAHIMAH CHE WAN (Kakak Sulung)
Menurut kakak sulung kepada Rozita Che Wan ini, kehadiran 1 Syawal yang dinanti sudah pasti untuk berkumpul adik-beradik seramai tujuh orang. Bukan mudah untuk berkumpul sekali ditambah pula dengan kehadiran anak-anak yang dikasihi.
Sebagai kakak sulung, Rahimah Che Wan, gembira apabila melihat adik-adiknya yang membesar di depan mata datang berkumpul di kediaman ibunda tercinta. Walaupun semua sudah berkahwin tetapi tidak pernah culas untuk pulang di hari raya. “Setiap tahun apabila tiba hari raya kami semua adik-beradik bersama anak masing-masing akan pulang ke Alor Star untuk menyambut raya bersama mak.
Walaupun adik-adik ada yang berkahwin dengan orang jauh tetapi mereka tetap pulang beraya pada hari kedua di rumah mak. Cuma kemeriahan malam raya seperti sebelum semua berkahwin dahulu hanya berlaku apabila tiba giliran beraya di Kedah. Riuh-rendah di malam raya usah cakap, masing-masing hendak bercerita dan selalunya kami lambat tidur di malam raya.”
Sudah terbayang di ruang mata bagaimana suasana tercipta apabila adik-beradik ini berkumpul. Saat sesi fotografi ini berlangsung sudah menjawab gambaran suasana yang bakal tercipta.
“Selalunya Rozita yang akan jadi tukang cerita, saya lebih banyak mendengar daripada bercerita. Seronok mendengar cerita masing-masing. Biasanya bicara kami lebih kepada kisah kehidupan kami yang telah berkeluarga.
Kami berbicara tentang suami, anak-anak dan perasaan masing-masing. Ada masanya kita perlu bercerita untuk meluahkan isi hati yang tersimpan atau terbuku dalam hati. Sekurang-kurang kita tahu dengan siapa kita bercerita dan apabila sudah luahkan segala-galanya macam hilang segala stres yang ada.
Setiap kali usai berjumpa adik-adik memang semua akan gembira umpama segala masalah telah hilang,” terang Rahimah yang sudah menyediakan duit raya untuk anak-anak saudara tersayang.
TRADISI KELUARGA
Setiap keluarga mempunyai cara tersendiri untuk menyambut Syawal. Begitu juga dengan keluarga adik-beradik jelita ini. Menurut Rahimah, tradisi keluarga yang masih dipertahankan adalah balik kampung. “Masa kecil-kecil sampai sekarang setiap pagi raya semua akan bersiap cantik-cantik pakai baju baru, baju raya kemudian makan bersama-sama.
Kemudian pergi berkunjung ke rumah saudara-mara yang sudah lama tidak berjumpa. Raya kedua pun bersiap cantik-cantik dengan baju baru walaupun seharian duduk dekat rumah sahaja. Biasanya hari raya kedua kami akan terima kunjungan saudara-mara pula dan raya ketiga kami buat open house di rumah mak,” ujar wanita yang lemah-lembut ini.
Mengimbau kenangan berpuasa ketika masih kecil dahulu, tutur Rahimah mesra, “Bulan Ramadan keluarga kami sama seperti keluarga yang lain. Namun, nostalgia yang masih segar dalam ingatan adalah bila bulan puasa mak akan suruh kita hantar kuih ke setiap rumah jiran. Mak akan buat satu atau dua jenis kuih sahaja.
Tetapi yang seronoknya bila tiba masa berbuka ada banyak kuih-muih pemberian daripada jiran-jiran yang kita hantar kuih. Menurut kata orang-orang tua, budaya membalas pinggan. Apabila tiba masa untuk bersahur pula, Rozita adalah orang yang paling senang untuk bangun. Adik-adik yang lain punya liat nak bangun sahur termasuk saya adalah yang paling akhir bangun sahur,” ungkap Rahimah sambil tertawa.
Ketika diajukan tentang peranan seorang kakak yang tersandar dibahunya sementelah mempunyai adik-adik yang cantik dan terkenal, kata Rahimah lembut, “sebagai kakak sulung, alhamdulillah, bersyukur punyai adik-adik yang cantik dan terkenal malah sentiasa menyokong segala apa yang mereka ceburi and I am happy for them.
Sebagai kakak kepada Rozita Che Wan pula, saya sangat berbangga dan gembira dirinya. Bukan senang untuk dia membina nama sehingga dikenali ke hari ini. Lebih-lebih lagi kami berasal daripada keluarga yang susah. Bapa meninggal ketika kami masih kecil, mak dan nenek yang menjaga dan membesarkan kami adik-beradik.
Rozita seorang yang sangat bersemangat, rajin, mempunyai azam yang besar, disiplin diri yang tinggi dan sentiasa bekerja keras untuk mencapai keinginannya. Rozita yang paling banyak membantu keluarga kerana dia seorang yang sangat-sangat pemurah dan baik hati.
Malah daripada sebelum saya kahwin hingga saya sudah pun berkahwin, dia masih lagi belikan baju-baju raya untuk saya dan anak saya. Bercuti ke mana sahaja pun dia tidak pernah lupa belikan buah tangan untuk kami semua. Appreciate sangat dia punya ingatan terhadap keluarga besar kami,” ujar Rahimah.
ROZITA CHE WAN
Ramai yang mengatakan sukar untuk menjadi pelakon dan usahawan terkenal, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta ini. Menurut ibu kepada Aaisyah Dhia Rana ini, sebenarnya tidak sukar untuk menjadi dirinya kerana sudah terbiasa sejak dahulu lagi suka berdandan dan gemar penampilan cantik lain daripada yang lain.
“Sebagai seorang wanita, isteri dan juga ibu sudah semestilah tanggungjawab merancang perbelanjaan terletak di tangan kita. Saya biasanya akan memperuntukkan sebahagian bajet untuk sambutan raya setiap tahun. Biasanya peruntukan bajet raya saya hanya untuk kuih raya dan duit raya sahaja. Macam baju memang tak boleh ikut bajet kerana biasanya akan beli bila mata dah berkenan. Saya akan menyediakan baju raya untuk diri sendiri, suami dan anak-anak.
Walaupun begitu saya jenis wanita yang suka membuat persiapan lebih awal. Segala persiapan raya saya akan buat sebelum menyambut bulan Ramadan lagi. Saya tidak suka membuat persiapan last minute dan merancang dengan rapi segala persiapan terutama baju raya untuk kami sekeluarga. Ketika bulan puasa saya hanya akan menempah kek dan kuih raya sahaja.
Bagi duit raya pula biasanya saya akan memperuntukkan wang sebanyak RM3000 untuk mengisi sampul duit raya. Maklumlah anak saudara saya ramai, itu pun seorang saya bagi RM100. Ikut hati memang nak tambah jumlah duit raya tapi tiap-tiap tahun bilangan anak-anak buah akan bertambah. So tak jadi lah, maintain setakat itu sahaja. Ada juga peruntukan duit raya untuk anak-anak sendiri dan juga mak tersayang.
Saya jarang memperuntukkan bajet untuk perbelanjaan rumah ketika menyambut Syawal. Boleh dikatakan saya jarang menyambut raya di rumah jadi kelengkapan rumah tidak berubah, macam itu sahaja,” tutur isteri kepada pelakon, Zain Saidin ini.
Mempunyai keluarga yang besar tentu mempunyai impak terutama apabila masing-masing sudah berkahwin dengan pilihan hati. Jika ketika bujang semua boleh berkumpul semua sekali namun, apabila sudah mendirikan rumah tangga tentu sukar untuk berkumpul di hari raya. “Keluarga kami tidak begitu. Walaupun masing-masing sudah berkahwin dan mempunyai keluarga mentua kami tetap balik beraya ke kediaman ibu di Alor Star.
Dalam tujuh orang adik beradik, hanya saya, Kak Rahimah dan Ayu sahaja yang berkahwin dengan orang jauh. Adik-beradik yang lain semua berkahwin dengan orang Kedah. Jadi macam Jaja dan Ruby memang tiap-tiap tahun mereka akan pulang ke Alor Star sebab mak mentua mereka orang sana.
Biasanya apa yang adik-beradik saya praktik apabila tiba giliran beraya bersama keluarga suami, hari raya kedua kami akan balik ke Alor Star dan kami adik-beradik akan berkumpul bersama-sama. Memang setiap tahun begitu, jadi tiada istilah tak balik kampung. Mak pun tak kisah dan beliau dah faham apabila anak-anak yang sudah berkahwin dan mempunyai giliran beraya di rumah mak mentua terlebih dahulu.” Walaupun tahun ini, 2020 tidak kesampaian hajat untuk pulang beraya di Alor Setar.
Seronok melihat kelima-lima adik-beradik ini begitu akrab dan saling memerlukan. “Adik-beradik saya tujuh orang, kami lima orang perempuan dan dua lagi lelaki. Perbezaan umur yang tidak begitu ketara membuat hubungan kami begitu akrab. Antara hobi yang sering dikongsi adalah bersolek bersama-sama. Kalau orang tengok macam pertandingan solekan, kami adik-beradik.
Lepas itu kami adik-beradik suka jahit manik untuk baju raya. Dahulu sebelum masing-masing kahwin selepas buka puasa dan selepas terawih, tiga minggu pertama memang masa untuk jahit manik di atas baju masing-masing. Lepas tu pilih, baju siapa yang paling cantik. Seminggu yang terakhir itu kami akan sibuk buat kuih raya ramai-ramai. Saya rasa itu adalah aktiviti yang saya paling miss the most.
Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika menyambut Syawal bersama adik-beradik apabila suatu pagi raya itu, kakak saya gosok baju anak dia terkoyak habis lengannya. Ayu pula hantar baju pergi dry clean dan apabila pagi raya nak pakai tengok-tengok seluar suaminya, Zaquan dah jadi pendek sampai ke lutut. Pagi itu riuh rendah rumah mak, kalau difikirkan kembali kelakar pun ada,” bicara Che Ta sambil tertawa.
Menurut pelakon drama Kiah Pekasam ini, tradisi ketika menyambut Aidilfitri yang masih diamalkan sejak kecil sehingga kini adalah bersalam-salaman dengan seluruh ahli keluarga sambil menghulurkan duit raya.
“Makanan yang wajib ada ketika beraya bersama keluarga sudah semestinya ketupat daun palas sebab ketupat ini kalau bukan hari raya susah nak dapat. Ada juga orang jual ketupat palas ini tetapi, tak sedap. Mak memang akan buat ketupat palas makan dengan gulai daging. Macam keluarga kami orang Alor Star suka makan ketupat palas dengan susu pekat. Itu memang makanan wajib setiap kali Syawal,” ujar Che Ta.
Sebagai selebriti terkenal pula adakah penting untuk menjaga imej ketika menghadiri rumah terbuka? “Kalau menghadiri majlis rumah terbuka saya mesti pakai baju yang paling glamor sebab kan raya. Kalau raya saya memang jenis yang all out. Saya akan pakai baju yang paling meletup macam nak pergi majlis anugerah. So kalau pergi open house bergantung la. Kalau open house tu buat kat rumah mungkin pakai biasa-biasa aja. Tapi kalau open house tu kat hotel kita pakai lah meletup sikit,” kata ibu kepada Ammar Effendy dan Aniq Ezzra ini.
RUBYTAH CHE WAN
Memang wanita ini tidak seperti kakaknya, Rozita Che Wan dan adik perempuannya, Ayu Raudhah yang terjun dalam dunia seni. Namun, apabila Rubytah Che Wan ini mengahwini pelawak popular Lan Pet Pet sedikit sebanyak limpahan lampu glamor menjurus kepadanya. Kebahagiaan pasangan ini jelas terpancar apabila melihat Lan Pet Pet sering mengusik isterinya yang turut hadir ketika penggambaran sedang berlangsung.
“Memang orang akan melihat ke mana sahaja kami berdua kerana saya turut menjadi Manager kepada suami. Saya menguruskan perjalanan seni Lan Pet Pet, sebab itu orang akan melihat ke mana sahaja Lan pergi saya akan turut serta. Bulan Ramadan dan Syawal juga jadual Lan agak ketat kerana banyak program dan acara yang melibatkannya sebagai pengacara majlis dan membuat penampilan istimewa.
Bagi saya kehadiran bulan puasa bagai suatu yang dinanti. Peluang meraih keberkatan amalan yang dijanjikan pahala berlipat kali ganda bagai ditunggu-tunggu oleh setiap umat Islam. Namun, saya tiada persiapan yang ketara menempuh Ramadan kerana sudah membiasakan diri dengan amalan berpuasa di bulan Syaaban dan Rejab. Apabila, sudah terbiasa berpuasa jadi tiada lagi istilah penat atau perut meragam. Cuma ketika bulan Ramadan ditambah pula dengan amalan solat sunat terawih,” tutur anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik ini.
Melihat penampilan Muslimah sejati yang tersarung di tubuhnya, tertanya-tanya bagaimana wanita yang mesra di sapa Ruby ini melakukan penghijrahan. “Saya melakukan transformasi diri dengan melabuhkan sedikit tudung selepas pulang daripada mengerjakan haji 2017 lalu. Perubahan ini berlaku apabila saya terfikir sudah beberapa kali mengerjakan umrah namun apabila tiba masa mahu meninggalkan tanah suci timbul rasa tidak seronok.
Apabila saya berada di tanah suci dan kembali ke Malaysia umpama berada dalam dua dunia yang berbeza. Sepatutnya ke mana sahaja kita berada amalan dan pakaian kita adalah sama. Oleh itu sejurus pulang daripada mengerjakan haji tahun lalu saya nekad untuk mengubah penampilan. Penghijrahan ini bukan untuk menunjuk alim dan sebagainya tetapi mahu menyarung pakaian yang boleh di bawa solat tidak kira masa dan tidak kira tempat,” terang ibu kepada empat orang anak ini.
Tambah wanita yang mudah mesra ini, setiap kali menemani suami menghadiri majlis tertentu ramai wanita yang bertanya tentang pakaian yang tersarung di tubuhnya. “Memang baju dan tudung yang saya pakai sekarang tidak ada dijual di mana-mana. Rekaannya saya buat sendiri dan jahit sendiri. Dahulu saya memang tidak suka menjahit dan hanya tahu mereka pakaian sahaja. Akibat takut tukang jahit tidak faham keinginan saya justeru saya jahit sendiri. Benar kata orang jika kita buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh pasti akan berjaya,” bicara Ruby yang belum terfikir untuk memasarkan baju rekaannya itu.
Menurut Ruby persediaan baju raya tahun ini berbeza sedikit daripada tahun-tahun yang sebelumnya. Baju raya tetap ada tetapi lebih sederhana dan yang penting adalah keselesaan ketika memakainya.
KEMERIAHAN SYAWAL
Ruby beruntung kerana berkahwin dengan orang satu negeri. Oleh itu, setiap tahun pasangan ini akan menyambut kehadiran Syawal di negeri Jelapang Padi. “Memang benar setiap tahun saya akan balik Kedah. Kedua-dua mak dan mak mentua ada di sana. Cuma setiap tahun saya akan beraya di rumah Lan terlebih dahulu dan selepas solat sunat Aidilfitri baharu saya akan pulang ke rumah mak di Alor Star.
Juadah hari raya biasanya mak mentua yang akan sediakan segala-galanya. Walaupun mak mentua sudah berusia tetapi dia masih kuat lagi. Mak mentua jenis yang suka masak dan tak bagi orang lain masuk dapurnya. Antara hidangan istimewa air tangan mak mentua sudah pasti ketupat dan gulai daging. Manakala laksa pula menjadi hidangan kegemaran anak bongsu dan satu-satunya lelaki iaitu Lan Pet Pet,” gurau Ruby kepada suaminya yang dikenali sejak di bangku sekolah lagi.
DATIN ROHAIZA CHE WAN
Datin Rohaiza Che Wan atau mesra di sapa Datin Jaja ini tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya, walaupun sudah mempunyai enam orang anak.
“Sebenarnya saya tidak mempunyai rahsia kecantikan yang khusus. Namun, apa yang boleh saya kongsi adalah amalan ketika berpantang selepas melahirkan anak. Saya jenis seorang yang kuat berpantang selepas melahirkan anak. Lebih-lebih lagi apabila jarak umur anak-anak saya sangat rapat. Oleh itu penjagaan amalan berpantang sangat penting.
Saya mahu kelihatan cantik dan bertenaga seperti mak. Saya patuh semua pantang larang yang mak ajar ketika berpantang. Pemakanan sangat penting ketika berpantang, saya cuma amalkan makan nasi panas dan halba serta ulam. Di samping itu saya juga banyak makan pegaga untuk memperbanyakkan aliran susu sebab saya menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun. Mungkin menyusukan anak ini merupakan ‘perancang keluarga’ saya sementelah saya tidak mengamalkan apa-apa jenis perancang keluarga.
Jika ada yang bertanya bagaimana saya menguruskan masa dengan mempunyai anak-anak yang masih kecil, bagi saya tiada sebarang cabaran. Ini kerana apabila umur mereka rapat rutin harian saya tidak berubah. Sejak melahirkan anak pertama sehingga anak kelima saya sudah terbiasa untuk bangun malam menyusukan anak atau menukar lampin mereka. Bagi saya cabaran datang apabila kita sudah lama tidak mempunyai anak kecil dan sudah terbiasa tidak bangun malam untuk menyusukan anak tetapi tiba-tiba mempunyai anak baru lahir. Ketika itu rutin harian sudah lari dan pasti menimbulkan masalah.”
Menyingkap tentang persiapan hari raya Datin Jaja yang mempunyai anak-anak masih kecil, ucapnya, “Walaupun anak-anak masih kecil bagi saya semua tidak menjadi masalah. Biasanya saya sudah menyediakan segala-gala kelengkapan raya sebelum menjelang bulan Ramadan lagi. Persiapan last minute akan membuat kita sering tersasar daripada keperluan wajib hari raya.
Sebelum puasa saya sudah menyediakan 3 pasang baju untuk setiap anak-anak. Lagi pun bulan Ramadan saya sangat sibuk untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Biasanya tiap-tiap tahun sejak berkahwin suami akan mengadakan majlis berbuka puasa di rumah. Suami akan menjemput rakan sekerja, rakan-rakan, anak-anak tahfiz dan tetamu yang lain untuk berbuka puasa di rumah daripada hari Isnin hingga Jumaat selama sebulan. Selepas berbuka kami akan menunaikan solat maghrib, isyak dan terawih bersama-sama.
Saya akan masak sendiri setiap juadah berbuka dan rasa seronok apabila melihat orang setiap hari orang dapat berbuka puasa dengan air tangan sendiri. Hanya Sabtu dan Ahad sahaja masa untuk saya berbuka puasa dengan keluarga dan adik-beradik yang lain,” bicara isteri kepada Datuk Haji Muhammad Faizal Haji Zainul ini penuh ceria.
Kenangan malam raya adalah antara kenangan yang diperkatakan oleh kelima-lima adik-beradik jelita ini. “Semasa kami semua belum berkahwin dahulu kenangan malam raya adalah suatu yang sukar dilupakan. Masing-masing sudah ditetapkan tugas, saya dan Che Ta biasanya akan ditugaskan untuk menghias rumah. Pagi raya pula kami akan menyusun kuih raya di atas meja.
Paling istimewa apabila setiap kali tiba pagi raya kami adik-beradik akan bergaya sakan ibarat sebuah fashion show. Masing-masing tidak mahu kalah dalam bergaya dengan taburan labuci dan manik yang dijahit sendiri di atas baju raya. Momen begini sangat indah untuk dikenang. Usai mengerjakan solat sunat Aidilfitri kami semua akan bersalam-salaman dan bermaaf-maafan bersama adik-beradik dan mak,” ujar Datin Jaja yang pernah menjadi pramugari dan model sambilan suatu ketika dahulu.
Datin Jaja juga beruntung kerana berkahwin dengan orang satu negeri. Oleh itu tiada istilah berbalah untuk balik kampung beraya. Namun wanita yang pandai bergaya ini sudah serik untuk balik kampung dekat-dekat nak raya. “Saya memang sudah serik untuk balik kampung dekat-dekat nak raya kerana pernah terkena melekat di atas jalan raya lebih daripada 10 jam. Tambah pula anak-anak masih kecil, memang huru-hara jadinya. Setiap tahun kami akan pulang awal ke kampung dan mengambil peluang berbuka bersama-sama mak dan mak mentua,” jelas Datin Jaja.
RAUDHAH CHE WAN
Raudhah Che Wan atau lebih popular disapa Ayu Raudhah dibayangi kelibat kakak tersayangnya namun, sedikit demi sedikit bakat semula jadi yang mengalir dalam dirinya telah diterima oleh pencinta seni tempatan. Berbekalkan rupa paras yang cantik dan bakat membuat Ayu masih mendapat tawaran berlakon sehingga kini.
“Kalau Raya tumpuan saya lebih untuk dekorasi moden glam atau klasik yang gelap dan cosy. Alhamdulillah saya mempunyai cita rasa yang sama dengan Zaquan. Biasanya jika ada masa terluang kami berdua akan keluar bersama-sama untuk membeli barang kelengkapan rumah. Zaquan ini jenis orang yang suka duduk di rumah oleh itu saya perlu pastikan dekorasi rumah umpama kawasan rehat yang sedap untuk dihinggapi,” terang Ayu.
“Memang tiap-tiap tahun saya tidak pernah miss beraya bersama keluarga di Kedah. Apabila berkumpul semua, memang suasana rumah mak akan jadi riuh rendah. Cuba bayangkan kami tujuh beradik dicampurkan pula dengan mak dan tok di rumah. Ditambah pula dengan pasangan masing-masing dan juga anak-anak. Memang macam-macam cerita yang akan keluar. Kami juga suka mengenakan warna tema setiap pagi Syawal,” bicara Ayu penuh ceria.
Ayu bukan sahaja dilahirkan dengan rupa paras yang cantik malah cekap memasak di dapur. Lebih istimewa apabila selebriti ini cekap memasak untuk bilangan yang ramai. “Biasanya kami akan bergotong-royong masak. Makanan wajib ketika menyambut Syawal di Kedah sudah semestinya Gulai daging dan nasi daging,” ujar Ayu.