Nama Che Nom bukan lagi asing dalam kalangan YouTuber popular tanah air. Sinonim dengan pelbagai video masakan menarik dan menyelerakan, Che Nom atau nama sebenarnya Norma Bakar bijak menggunakan teknologi digital masa kini dalam menerbitkan video kreatif yang memenuhi ‘selera’ warga maya.
Meniti usia 41 tahun, anak kelahiran Kedah ini mencipta pengaruh tersendiri apabila kebanyakan video masakan yang dikongsikan meraih sehingga jutaan tontonan.
Sehingga ke hari ini, Che Nom mempunyai hampir 2 juta subscribers di YouTube dan menerima Gold Play Button pada tahun 2021. Luar biasa!
Pada tahun 2022, Che Nom menerusi Instagram mendedahkan pencapaian pihaknya menerima 10 juta tontonan dengan 38 juta minit tontonan keseluruhan.
Tidak hairanlah, personaliti dunia kulinari ini pernah tersenarai sebagai calon kategori YouTuber popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2021.
Khabarnya Che Nom mula menceburi YouTube pada tahun 2012 selepas berhenti kerjaya jurutera di sebuah syarikat rangkaian telekomunikasi selepas 13 tahun bertugas di sana. Keputusan itu diambil kerana dia mahu menjadi YouTuber sepenuh masa.
Berkongsi aneka resipi hidangan dengan langkah yang mudah dan berkesan, Che Nom dikatakan meminati bidang masakan sejak zaman universiti dan serius berkecimpung dalam dunia tersebut selepas kelahiran anak kedua.
Baru-baru ini kenyataan di platform media sosial yang mendedahkan pendapatan purata seorang YouTuber mencecah sehingga RM360,000 sebulan nyata menarik perhatian individu hebat ini.
“0.01 peratus saja YouTubers yang boleh dapat income macam ni, kalau operate sebagai company, kena ada sekurang-kurangnya tujuh video seminggu dan purata views 300,000 ke atas setiap video.
Yang sebenarnya purata income YouTubers di bawah paras kemiskinan. Bila ekonomi merosot, syarikat akan kurangkan iklan, RPM jatuh, CPM jatuh, jadi pendapatan Youtubers secara tak langsung akan berkurang.
Tahun ni semua jatuh mendadak, CEO Youtube, Susan Wojcicki pening kepala kot sampai letak jawatan.
Nak hasilkan satu video perlukan tiga hingga empat hari, research resipi, masak dan shooting, voice over dan editing, final editing, render dan upload.
Semua ni nak kena hire orang, kalau buat sendiri memang tergolek dog, semua ini kos. Hidup tak ada life, Sabtu dan Ahad kalau tak kerja video tak siap, bak kata Syahmi Shazli 24 jam memikirkan content,
Mr Beast pon tidur kat opis aja.”Che Nom memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengkomputeran Matematik dan berkahwin dengan Syed Ridzuan serta dikurniakan tiga cahaya mata.
Suaminya merupakan orang kuat dalam pembikinan video masakan Che Nom yang menjadi jurugambar dan penyunting.
This website uses cookies.