Melangkahkan kaki ke alam pekerjaan perlukan kekuatan fizikal dan mental dan tidak bersandarkan kepada kelayakan akademik semata-mata. Dunia pekerjaan yang serba mencabar bakal menanti tidak boleh dikutip ketika di universiti dan menempuh pelbagai rintangan dan cabaran yang tidak terduga dek akal.
Bidang pemasaran dikatakan ‘lubuk’ untuk mengutip pelbagai ilmu alam pekerjaan kerana bidang ini mampu meningkatkan semangat jati diri dalam ruang pekerjaan. Dr Deborah Chong yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam dunia pemasaran turut mengakuinya.
“Daripada seorang kerani pentadbiran saya mencabar diri menyertai dunia pemasaran dan jualan. Ketika itu saya telah diarahkan untuk membuat jualan dan penyewaan ruang pejabat serta dan service apartment
oleh Ascott International of Singapore.Banyak pengalaman yang saya peroleh bekerja di sana dan telah membuka mata saya untuk terus mara melangkah ke depan. Mula menceburkan diri dalam bidang Pelaburan Unit Amanah dan kekal sehingga kini dan mencapai pangkat tertinggi sebagai Pengurus Agensi (Agency Manager) di Kenanga Investment Bank.
Sebagai wanita yang telah menghabiskan lebih separuh hayatnya dalam bidang jualan dan pemasaran, istilah penolakan atau rejection sudah tidak timbul lagi. Ibarat pepatah ‘Benih yang baik kalau di campak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau’, begitu juga dengan saya. Apa sahaja bidang yang tidak saya ceburi, dari industri hospitaliti dan pelaburan unit amanah kepada pemasaran bioteknologi.
Apa yang saya pelajari dalam bidang jualan dan pemasaran ini adalah bagaimana anda membina hubungan dengan pelanggan dan menyuntik rasa percaya yang tidak berbelah-bagi serta ditambah pula dengan rasa hormat.
Saya tidak pernah menjual produk dengan menyenaraikan kebaikan produk malah saya adalah ‘produk’ tersebut,” ucap Dr Deborah yang bakal bertanding dalam pertandingan World Championship for Pro Qualifiers in International Federation of Body Building (IFBB) Federation bulan Ogos nanti di Vietnam.
Menurut ibu tunggal kepada seorang anak lelaki ini, walaupun dia bukan merupakan graduan bidang jualan dan pemasaran namun rezeki ini lebih memihak kepadanya. “Walaupun saya mempunyai kelayakan dalam bidang komputer tetapi rezeki saya lebih terbuka luas dalam bidang jualan dan pemasaran,” terang wanita yang mempunyai Sarjana Muda dalam Sains Komputer dari University of Southen Queenland Australia dan Doctor of Philosophy (PhD) in Healthcare Management and Marketing Management ini.
Malah wanita yang berusia 43 tahun ini telah mengorak langkah dalam hidupnya dengan mencuba bidang baharu sehingga berjaya meraih gelaran Certified Financial Planner, Certified Fitness Instructor dan Certified Nutritionist.
This website uses cookies.