Isu gaji penyampai radio atau DJ yang dikatakan mencecah hingga ratusan ribu ringgit sebulan menjadi topik hangat di media sosial beberapa hari ini. Salah seorang penyampai radio senior iaitu Linda Onn turut terpalit dengan isu itu dan didakwa meraih pendapatan lebih RM40,000.
Terkejut dengan khabar tersebut, Linda atau nama sebenarnya Rozlindah Onn tampil memberi penjelasan. Sebagai antara penyampai radio popular tanah air, Linda sendiri tidak pasti dengan hakikat gaji yang diperoleh seorang DJ hari ini.
“Haish… Pandai-pandai je awak cakap gitu. Bestnyalah hai kalau betul dapat gaji gitu. Mana Linda pernah dapat gitu. Sampai ke sudah pun tak pernah dapat tinggi gitu.
Dulu menang award pun nama tengah gah pun gaji tak adalah sampai 10k. Bertuah penyampai radio zaman sekarang sampai jejak 50k – 100k-150k sebulan. Kalaulah bakatku dihargai dulu sampai dapat sebegitu. Bestnya.”
Pun begitu, Linda tidak menolak kemungkinan tersebut memandangkan perubahan zaman dan kehendak pendengar masa kini berbanding ketika era kegemilangannya suatu ketika dulu.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/reunion-25-tahun-era-terpegun-tengok-wajah-cantik-linda-onn-usia-45/
“Maybe penyampai zaman sekarang kualitinya berbeza, approachnya berbeza, kehendak pendengar berbeza, kehendak station pun berbeza berbanding dengan zaman Linda dulu. Tambahan pula orang yang dah ada nama dipanggil jadi penyampai radio. Lagilah berharga.
Dulu nak dapat naik gaji pun kena lalui appraisal, tengok KPI, tengok performance sebagai penyampai dan tengok komitmen kita untuk on ground event bagi station tu. Bukan senang eh.
Yelah, back to
zaman dulu lain. Maybe juga zaman dulu ada yang dapat 40k – 100k. Tapi nope, Linda tak dapat. Kita terima jelah. Mungkin standard Linda tak sampai tahap tu.”Bagaimana pun, pengusaha restoran My Mom’s Chicken Rice ini menzahirkan rasa syukur dan gembira jika ada di antara rakan sejawatannya menerima bayaran lumayan seperti yang diuar-uarkan.
“Happy juga dengar gaji penyampai dah ratus ribu sekarang. Wow, masyaAllah banyaknya!! Kadang terfikir kenapa dulu Linda tak dapat gitu eh? Haa, itu maknanya sudah tertulis rezekiku sebegitu saja. Kepada penyampai sekarang yang dapat gaji sebulan 50k – 100k -150k, tahniah!”
Berpengalaman lebih 20 tahun sebagai DJ, Linda pernah berkhidmat di stesen radio Kool FM, Era FM, Sinar FM dan Suria FM.
Berkongsi minatnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Linda menerusi media sosial mendedahkan dia mula berjinak-jinak mendalami pembuatan minyak wangi.
Siapa sangka bermula dengan hobi dan niat mengisi masa terluang waktu PKP telah membuka peluang kepada usahawan berusia 45 tahun ini untuk menceburi bisnes minyak wangi berasaskan kayu gaharu atau lebih dikenali sebagai Oud.
Linda mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja Johor iaitu Ungku Azhar Ungku Maznan pada 27 Disember 2013. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Ungku Zara.
This website uses cookies.