Isteri mana yang tak senyum meleret bila suami masih ingat tarikh hari jadi walaupun sudah lama berkahwin. Lebih buat tak tidur malam bila suami membuat kejutan bagi hadiah yang memang sangat-sangat diidamkan.
Ads
Bertuah Pemilik dan Pengasas Bawal Exclusive Sdn Bhd, apabila menerima kejutan daripada suami tercinta dengan hadaih yang tak disangka-sangka sempena ulang tahun kelahiran yang ke-42.
Haliza Maysuri, menzahirkan rasa syukur dan terujanya apabila suami secara diam-diam telah merancang untuk menghadiahkan sebuah kereta mewah BMW 8 Series limited edition dengan harga bernilai RM1,088,800.00.
Kongsi ahli perniagaan wanita dari Pahang ini, “Selama 21 tahun hidup bersama Abang Haji, tidak pernah sekalipun buat surprise. Ya Allah, hadiah paling bermakna dan paling mahal pernah saya dapat dari suami,” tulis isteri kepada Rosli Awang ini.
Tambahnya lagi, “Sesungguhnya, kereta ini memang idaman saya sejak pertama kali melihat waktu lawatan kerja di #SwarovskiNamufaktur Austria, tapi tengok harga lebih dari 1 Juta, hanya mampu telan air liur.
Lagi pula Abang Haji tidak minat dengan kereta, bab kereta ni selagi boleh jalan pakai sajalah.
Rasa macam bermimpi, rupanya beliau beli kereta ini untuk hadiahkan pada saya, patutlah dah dua bulan kereta ini sampai sudah pun dibayar tapi Abang Haji tak ambil-ambil, saja dipamerkan dulu di Glenmarie Shah Alam sebab di Malaysia hanya ada 6 buah saja katanya.
Lagi pula no plate tak ada lagi yang sesuai alasannya. Apapun syukur Alhamdulillah. Saya akan sentiasa bersama ketika susah mahupun senang. Walaupun kita sentiasa diuji, tapi percayalah dengan kekuatan cinta kita mampu menempuhi segalanya.
Ads
Ini bukan sekadar hadiah tetapi ini adalah perjalanan hidup kita. Perkahwinan kita dan juga perjalanan business kita. Semoga perniagaan kita akan lebih maju jaya dan hidup kita akan dilimpahi kebahagiaan dalam rahmatNya, Amin,” kongsi wanita cantik ini.
Haliza Maysuri sempat mengimbau kenangan ketika di awal perkahwinan dahulu menerusi coretannya, “Teringat semasa mula kahwin dulu, naik motor kapcai je.
Bukan niat hendak bermegah, tetapi untuk inspirasi kepada semua. Hidup ini harus ada impian. Kalau hendakkan sesuatu tetapi rasa susah nak capai, insyaAllah dengan restu suami semua akan Alah permudahkan,” kata wanita yang sememangnya menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk berjaya dalam dunia perniagaan.
Ads
Bercerita tentang hadiah yang diterimanya, “Kereta BMW 8 Series ini memang idaman saya kerana ia berkolaborasi dengan swarovski,” tuturnya. Mungkin dalam kereta ini ada blink-blink batuan swarovski agaknya.
Selaras dengan peningkatan usia, Haliza Maysuri mula menukar arah perjalanan hidupnya. “Sempena hari jadi ke 42 ini tiba masanya untuk saya berfikir tentang saham akhirat.
Insyaallah saya akan membuka sebuah kedai yang menjual telekung mewah yang lain dari yang lain di Malaysia. Mungkin saya ‘mendapat’ sedikit pahala apabila pemilik telekung nanti bersolat. Saya sudahpun mempunyai lokasi kedai tersebut dan doakan agar saya berjaya dalam misi kejar saham akhirat pula,” terang wanita ini.
Bercerita pula tentang perniagaan tudung bawalnya, “Saya sedang berusaha menyiapkan tempahan tudung yang bernilai RM70,000. Ia merupakan suatu cabaran sebab bukan senang nak buat tudung dengan harga begini.
Pelanggan ini minta saya merealisasikan impiannya untuk memiliki tudung bertatahkan batu swarovski bermotifkan kehidupan dasar laut dalam dan berwarna biru lembut,” tuturnya lembut.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pagi bersejarah itu jantung penulis Norzalina seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan nan suci.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Penulis dan usahawan bertaraf antarabangsa, Zunita Ramli yang kini menetap di Jepun sejak 2016 patinya tidak asing lagi di kalangan warga maya. Popular dengan penulisannya dalam ‘Catatan Zunita Di Jepun’ yang mengumpulkan pelbagai kisah dan fakta menarik berkaitan Jepun sangat memberi inspirasi.
Siapa sangka, Zunita tekad meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera sebaik menamatkan pengajian di University of Melbourne, Australia demi meneruskan empayar perniagaannya, Tokyo Organic HQ yang kian berkembag. Kebetulan ketika itu, permintaan tehadap produk kosmetik menerima sambutan luar biasa secara dalam talian.
Pada mulanya wanita kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang berusia 35 tahun ini memulakan langkahnya dalam perniagaan dengan menjadi pengedar sah produk kosmetik Meiko Cosmetics bagi pasaran Malaysia. Zunita kemudiannya mengorak langah mewujudkan label sendiri iaitu Tokyo Organic HQ.
Selain bergelar pengasas, Zunita juga merupakan Pengarah UIrusan Zaineeta Global PLT. Zunita turut menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat di Jepun termasuk pertubuhan masyarakat serta sering tampil di pelbagai media.
Ternyata, bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah serta graduan University of Melbourne ini berjaya membuktikan bahawa kejayaan memerlukan usaha dan keberanian yang tinggi.
Hakikatnya, kejayaan Zunita hari ini pasti tak mudah untuk dicapai. Pasti ada saat-saat jatuh bangunnya. Bagi Zunita, 2022 adalah tahun penuh suka duka. Memetik perkongsian Zunita di Instagram peribadinya baru-baru ini: –
“I dont know where to start, but 2022 definitely gave me a lot. Saya diterima masuk ke salah sebuah universiti di Jepun untuk sambung Master (MBA) dengan full scholarship dari Jepun.
“Kenapa sambung Master? Sebab saya ada misi sendiri dengan Tokyo Organic HQ. I need to learn proper and professional way to do it. Banyak sebenarnya episod jatuh bangun saya dengan Tokyo Organic ni but for the time being, let just keep that to myself.”
Zunita turut berkongsi momen terindah apabila disenaraikan sebagai salah seorang dari 10 wanita ASEAN yang memberi inspirasi.
“Tahun ni (2022) juga saya disenaraikan sebagai salah seorang dari 10 wanita ASEAN yang memberi inspirasi mengejar cita-cita di Jepun oleh Asean-Japan Center dan saya juga banyak terima projek kolaborasi dengan syarikat dan juga agensi kerajaan Jepun alhamdulillah.
“Buku sulung tulisan saya, Catatan Zunita Di Jepun juga diterbitkan tahun ni. Buku ni adalah kompilasi artikel tulisan saya sepanjang beberapa tahun menulis di media sosial.”
Tak ketinggalan, Zunita turut berpesan agar percaya kepada diri sendiri sepenuhnya dan berwaspada dengan sesiapa saja yang kita percayai.
“Dalam pada itu, saya belajar bahawa “trust only yourself 100%”. Tak semua orang betul-betul gembira dengan kejayaan kita dan tak semua orang betul-betul sedih dengan kegagalan kita.
“Be careful of who you trust. Be very careful. I said this twice, cuz I really meant this.
“Saya akan terus menulis, biar pun suatu hari nanti hanya saya saja yang membaca tulisan saya.. Biarlah tulisan ini berbicara dan memberi manfaat sebanyaknya walaupun saya dah tak ada di sini nanti.
“Saya juga belajar, health is wealth. Sebanyak mana pun duit kita dalam dunia ni takkan bernilai kalau kita sakit. Jaga kesihatan sebaiknya, sebab itu amanah Allah.
“Bila sihat, lebih mudah kita beribadah, kan? Sebab ironinya, mati itu pasti. What made you think you will live forever?
“Apa pun, saya sangat berterima kasih pada semua yang menyokong saya dari dulu sampai sekarang.”
Ini pesan Zunita di akhir posting: –
“Nonetheless, live life to the fullest. Life is too short to worry about stupid things. Work hard, play harder.”
Kredit Foto: Instagram Oh Dayang
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terpikat dengan aura dan raut wajah penuh kelembutan milik adinda Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Muhammad V, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Amalin A’ishah Putri ini. Anggun berhijab dan senyuman yang lekang terukir di bibir, keperibadian YAM Tengku Amalin A’ishah Putri sentiasa menjadi inspirasi kepada ramai kaum wanita.
26 Jun lalu, YAM Tengku Amalin menyambut ulang tahun keputeraan ke-38. Tengku Amalin diputerikan di Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kelantan pada hari Selasa, tanggal 26 Jun 1984.
Beliau merupakan cahaya mata bongsu dan satu-satunya puteri kepada KDYMM Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Kelantan ketika itu, KDYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dan DYMM Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid.
YAM Tengku Amalin juga satu-satunya anakanda yang diputerikan ketika KDYMM Tuanku Ismail Petra ditabal sebagai Sultan Kelantan. Beliau dikurniakan tiga orang kekanda iaitu KDYMM Sultan Muhammad V, Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan YAM Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Ketibaan bulan Jun saban tahun memberi sejuta makna buat YAM Tengku Amalin kerana selain menyambut hari ulang tahun keputeraan, bulan ini juga genap lapan tahun beliau melayari bahtera perkahwinan di samping suami tercinta iaitu YAM Pengiran Muda Abdul Qawi Ibni DYTM Pengiran Haji Mohamed Bolkiah.
Mengimbas kembali detik penyatuan jiwa di antara Tengku Amalin dan Pengiran Muda Abdul Qawi, pasangan diraja Kelantan Darul Naim dan Brunei Darussalam ini selamat diijab kabulkan pada sebelah malam, hari Khamis 27 Jun 2013 di Istana Mahkota, Kubang Kerian.
Hasil perkongsian hidup selama lapan tahun, YAM Tengku Amalin dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi dikurniakan tiga orang puteri. Puteri sulung, YAM Pengiran Anak Tengku Afeefah Musyafa’ah Bolkiah Puteri diputerikan pada 13 April 2014 di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.
Sementara puteri kedua iaitu YAM Pengiran Anak Tengku Azzahra Iffatul Bolkiah Putri pula pada Jun 2016. Manakala puteri ketiga, YAM Pengiran Anak Tengku Zaafirah Muizzah Bolkiah Puteri diputerikan di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab ll, Kota Bharu, Kelantan pada 12 Februari 2020.
Bersyukur dengan kurniaan keluarga bahagia, Tengku Amalin dilaporkan pernah berkhidmat dalam bidang perundangan selama beberapa tahun. Beliau mempunyai kelulusan dalam bidang undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah bertugas sebagai Majistret di salah sebuah mahkamah di Kota Bharu sekitar pertengahan tahun 2006 hingga 2009.
YAM Tengku Amalin dikhabarkan berpindah ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur dengan jawatan sebagai Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah dan memegang jawatan Timbalan Pendaftar sebelum kembali menyambung pengajian peringkat Master dalam bidang undang-undang di Universiti Melbourne, Australia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...