Dulu Ratu Skuasy Kini Pengulas Sukan, Ulasan Fasih Bahasa Melayu SHARON WEE Tambat Hati Penonton!

Inilah pengulas sukan yang suara emasnya sering kedengaran sepanjang Sukan Olimpik Tokyo 2020. Walau sekadar mendengar komentarnya ke udara tanpa melihat wajah tatkala memberi ulasan tentang acara yang dipertandingkan di temasya sukan terbesar dunia itu namun aura Sharon Wee cukup ‘melekat’ dalam kalangan peminat sukan tanah air.

Kalau tak tengok muka dan mendengar suara saja pasti ramai yang menyangka personaliti ini berbangsa Melayu. Kefasihan Sharon bertutur dalam bahasa kebangsaan membuatkan ramai yang kagum ditambah pula dengan ulasannya yang padat, bernas, natural dan terang. Ternyata wanita ini komited dengan tugas dan buat ‘homework’ sebelum mengulas. Good job!

Sepanjang berlangsungnya Olimpik Tokyo, Sharon mengulas beberapa acara penting antaranya Achery Recurve (Men’ Individual), Badminton Women’s Singles, Badminton Mixed Doubles, Badminton Men’s Double, Diving Women 3m Springboard dan Artistic Gymnastics.

Menelusuri latar belakang Sharon, pemilik nama Sharon Wee Ee Lin ini berasal dari Melaka yang dilahirkan pada 5 Oktober 1977. Dia yang kini meniti usia 44 tahun sebenarnya bekas ratu skuasy negara. Sharon dilaporkan mewakili negara selama 20 tahun sejak berumur 13 tahun lagi dan memutuskan untuk bersara selepas Kejohanan Berpasukan Skuasy Wanita Dunia 2010 di New Zealand.

Sejak bergelar atlet, Sharon pernah bergandingan dengan Datuk Nicol David, Low Wee Wern dan Delia Arnold. Dia juga pernah bawa pulang pingat emas di Sukan Asia dan Kejohanan Skuasy Asia. Malah memenangi tempat ketiga sebanyak dua kali berturut-turut dalam Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia pada 2008 dan 2010.

Sepanjang pembabitannya dalam arena sukan, Sharon mewakili negara di 4 edisi Sukan Komanwel, 3 edisi Sukan Asia dan 5 edisi Sukan SEA. Paling membanggakan, dia juga merupakan pemain nombor satu skuasy wanita negara dan mendapat gelaran ke-18 di dunia!

Masih berhubung rapat dengan bekas rakan sepasukan, Datuk Nicol David
Ketika memenangi pingat bersama Datuk Nicol David pada 2010
Ketika beraksi di gelanggang

Tidak mahu mempersia-siakan bakat dalam bidang sukan, Sharon kini aktif sebagai personaliti TV, pengulas sukan, usahawan dan bergelar pengasas akademi Sharon Wee Squash Pro. Moga kerja keras dan sumbangan Sharon kepada negara menjadi suntikan semangat buat para wanita untuk terus berjaya.

 

Kredit foto: Instagram Sharon Wee

 

Share
Published by
Suzi