Setiap kegigihan dan ketekunan itu pasti akan berbayar. Selagi kita punya usaha yang tinggi untuk memperbaiki diri, InsyaAllah akan berhasil dengan rezeki sempurna. Namun setelah sukses digenggam, fokus kita cuma satu untuk menjadi seorang yang bernilai di dunia serta akhirat.
Roslinda binti Muhamad Yusof, 34 tahun, seorang ibu tunggal yang gigih mencari rezeki untuk membesarkan dua orang anaknya, Lisa Amanda, 9 tahun dan Rayyan Isaac, 8 tahun. Impiannya kini tercapai bila berjaya membuka spa kecantikan.
“Saya akui dalam keadaan pandemik sebelum ini, bisnes banyak terjejas terutamanya dalam bidang spa facial. Sepanjang COVID melanda, kami diarahkan tutup sehingga kes menurun. Namun sewa kedai tetap berjalan dan perlu dibayar seperti biasa. Banyak benda yang terpaksa dikawal termasuk perbelanjaan harian untuk menyara kedua-dua anak saya serta komitmen yang lain,” jelas Roslinda tenang.
Terus bercerita tentang pengalaman berniaga, Roslinda senang berkongsi kisah yang dilaluinya, “Pada tahun 2015 saya mula berniaga dengan membuka jualan carboot di pasar raya. Saya menjual pelbagai pakaian fesyen wanita selama 2 tahun. Inilah cara saya mula bertapak berniaga secara kecil-kecilan, demi mencari rezeki yang halal. Untung tak banyak tapi cukup untuk kami anak-beranak.
Sehinggalah pada tahun 2017, saya diperkenalkan dengan perniagaan mobile spa networking oleh seorang rakan. Kerana minat yang mendalam terhadap bidang kecantikan, saya belajar ilmu tentang penjagaan kulit dan wajah.
Maka bermulalah perjalanan saya membuat rawatan wajah dari rumah ke rumah, alhamdulillah permintaan sentiasa ada dan ramai yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Sehinggalah saya mencipta kejayaan dalam bidang tersebut sehingga diberi peluang melancong ke luar negara secara percuma oleh pihak syarikat produk kecantikan yang saya gunakan.
Saya sering dilantik menjadi speaker tentang ilmu kecantikan dan berjaya membimbing hampir 100 orang pemilik spa Malaysia di bawah saya.
Pada tahun 2019, saya pernah cuba untuk membuat produk sendiri, tetapi sayangnya bukan rezeki saya. Perniagaan tersebut mampu bertahan selama setahun sahaja. Mungkin disebabkan kekurangan ilmu dalam menguruskan perniagaan yang betul menyebabkan saya gagal.
Namun, saya tidak sama sekali berputus asa. Dengan pengalaman dan rintangan kehidupan peribadi yang saya lalui, kini saya telah memiliki spa kecantikan sendiri atas hasil usaha saya selama ini. Setiap kali memandang kedua-dua wajah anak saya, mereka adalah sumber kekuatan untuk saya bangkit dan terus berusaha tanpa berputus-asa,” ujar Roslinda.
Kala mengimbas kenangan lalu, terlalu banyak pengalaman air mata yang dilalui untuk diceritakan. “Saya teringat suatu ketika dulu sewaktu mengumpul modal untuk berniaga, setiap hari saya menabung demi mengambil stok pakaian untuk dijual di carboot.
Ada satu ketika dalam keadaan cuaca yang tidak baik, hujat lebat-selebatnya. Saya tak sempat untuk menyimpan pakaian tersebut dengan selamat, lalu semua pakaian itu telah rosak dan tidak dapat dijual.
Saya mengalami kerugian dan terpaksa berhenti niaga kerana telah kehabisan modal untuk membeli stok baru. Namun apa yang menyuntik kembali semangat buat saya apabila melihat kedua-dua anak yang menaruh harapan besar kepada saya sebagai seorang ibu untuk membesarkan mereka dengan sempurna. Saya terus bangkit berusaha tanpa menoleh ke belakang lagi.”
Dugaan itu adalah proses untuk mencapai kejayaan, “Bagi saya setiap ujian yang datang pasti ada hikmahnya. Apa yang perlu dan seharusnya kita lakukan adalah bersabar dan tetap berusaha untuk mencapai apa yang diimpikan.
Kita perlu berada dalam circle kawan-kawan yang positif supaya mereka dapat memberi aura yang positif dan selalu meniup rasa semangat untuk majukan diri kita sendiri. Yang membezakan kegagalan dan kejayaan adalah TINDAKAN. Tindakan yang tidak pernah habis dan sentiasa menggali ilmu baru, insyaAllah akan ada sinar menanti,” ujar Roslinda.
Harapan Roslinda kini untuk menjadi seorang ibu dan individu yang lebih baik daripada dulu dan hasratnya untuk memperluaskan lagi cawangan spa yang dimiliki ke Kuantan.