Dalam kehidupan ini, ramai insan yang tersilap faham tentang maksud Qada’ dan Qadar. Kita sering mengeluh dan menyalahkan takdir apabila sesuatu yang dipohon tidak ditunaikan-Nya. Inilah juga yang pernah dilalui usahawan pelaburan, Intan Diana Yunus sewaktu bekerja sebagai pengawal keselamatan dulu.
“Dulu saya hanyalah seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Dengan pendapatan yang sekadar cukup makan, saya menggalas tanggungjawab membesarkan anak seorang diri.
Kehidupan yang susah pernah memaksa saya menebalkan muka, meminjam wang di sana sini untuk perbelanjaan harian dan keperluan anak kerana gaji tidak mencukupi.
Masa tu saya sangat sedih memikirkan nasib anak yang dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan. Kerap juga saya pendamkan rasa lapar dan perut yang berkeroncong demi anak. Hari-hari air mata tumpah memikirkan tentang masa depannya jika terus-terusan hidup begini,” kongsi Intan Diana yang berasal dari Temerloh, Pahang.
Wanita berusia 35 tahun itu nyata tidak mahu mengalah dengan keadaan. “Dalam masa saya berdoa, mintak pada Yang Esa moga diberikan jalan untuk keluar dari kesusahan ini, saya terjumpa iklan di dalam laman sosial (wechat) tentang peluang jana pendapatan sampingan.
Saya cuba bertanya tentang peluang yang diiklankan. Malangnya bila beliau beritahu yang perniagaan ini memerlukan modal untuk bermula, saya jadi sedih sebab saya memang tiada simpanan langsung. Yang ada cumalah barang kemas, itu pun nilainya sangat sedikit.
Tapi disebabkan niat mahu ubah nasib hidup saya dan anak, saya gadaikan barang kemas yang ada. Di situlah bermulanya saya dalam perniagaan ini.
Saya memilih untuk berniaga dan membuat keputusan untuk berhenti kerja kerana perniagaan ini memberi saya banyak masa bersama anak dan keluarga. Tidak perlu lagi saya bekerja hari-hari tanpa cuti sehingga tiada sangat masa bersama keluarga seperti sebelum ini,” akuinya yang turut aktif menulis blog di dianadina907.wordpress.com.
UJIAN HIDUP
Tambah Intan Diana lagi, ada banyak cabaran yang ditempuhinya untuk memajukan perniagaan. “Saya juga pernah diuji dengan satu kemalangan. Kemalangan tu menyebabkan dahi saya luka besar dan terpaksa menerima 14 jahitan.
Tapi disebabkan tekad yang kuat dan anak yang perlu dibesarkan, saya tabah dan sabar dengan ujian ini.. Saya bangkit dan tekad untuk bantu orang lain juga. Alhamdulillah pengorbanan ini berhasil.
Dalam situasi pandemik COVID-19 ini juga memberi kesan kerana ramai yang tidak berani mengambil peluang sebab kewangan banyak terjejas. “Nasihat saya untuk wanita yang pernah melalui dugaan seperti saya, bangkitlah demi masa depan keluarga.
Jangan cepat merasa diri kalah kerana Allah sentiasa ada bagi mereka yang berusaha walau sesusah mana pun.
Jadilah wanita yang kuat dan tabah. Saya boleh anda juga boleh,” pesan Intan Diana yang menjadikan mentor bisnesnya, Mohamad Azmi Mohd Noor sebagai idola.
INSPIRASI
Sempat juga Intan Diana berkongsi cerita tentang idola beliau yang membakar semangatnya untuk berusaha memajukan diri. “Beliau juga seperti saya, berasal dari keluarga yang susah. Hanya anak kampung tanpa pendidikan tinggi tapi mahu keluar dari kepompong kemiskinan.
Teringat ceritanya, rumah keluarga tempat beliau berteduh berdindingkan lebihan-lebihan papan dan kayu terbuang saja. Maka dengan niat mahu membahagiakan ibu bapa, Mohamad Azmi melangkah mencari ilmu perniagaan sambil memasang azam mahu membawa ibu bapanya ke Tanah Suci.
Tapi kini keadaan sudah berubah. Berkat doa ibu bapa dan keikhlasan berniaga dalam bidang pelaburan, rezeki yang dinikmati melimpah ruah. Beliau berjaya mengubah kehidupan ramai orang yang senasib, malah memberi peluang untuk kami hidup senang tanpa hutang,” akhirinya.