Dulu Suri Rumah, Kini Usahawan Jelita CUBRE MI Ini Raih Jualan 7 Angka!

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Siapa sangka, wanita berjiwa cekal yang dahulunya seorang suri rumah dan tiada pendapatan kini bergelar usahawan kosmetik berjaya. Lebih membanggakan, Afzalizah Nizam Azizan bukan hanya menjadi sumber inspirasi wanita   bahkan dia juga meraih keuntungan mencecah tujuh angka!

Bermodalkan RM10,000 hasil wang pencen arwah bapa sebagai pesara polis yang dipinjam daripada ibu tersayang menjadi titik permulaan empayar kosmetik Cubre Mi. Menyedari ‘nilai’ wang berkenaan cukup bermakna bagi ibunya yang hilang tempat bergantung, anak sulung daripada empat beradik ini nekad mengemudi Cubre Mi dengan sepenuh hati.

“Nama Cubre Mi sebenarnya berasal dari perkataan Sepanyol yang bermaksud ‘cover me’. Istilah itu sesuai dengan produk kami sebab salah satu fungsi mekap juga adalah untuk melindungi cela di wajah dan memberi keyakinan kepada pemakai. Jadi, produk pertama yang kami hasilkan pada tahun 2017 ialah Cubre Mi Matte Full Coverage Foundation

yang merupakan pencetus utama populariti Cubre Mi.

Atas sokongan rakan niaga dan pembeli setia, Cubre Mi berjaya menambah produk keluarannya saban tahun.  Dikenali sebagai produk yang bertemakan warna ceria dan lembut, ia amat sesuai untuk golongan remaja dan dewasa yang suka kelihatan sweet and adorable.

Sebelum mengusahakan Cubre Mi saya tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Tapi demi mahu membantu suami dan jana duit sendiri, saya berusaha mempelajari cara pengurusan perniagaan dan kewangan. Sedikit demi sedikit Cubre Mi telah mencuri perhatian ramai pelanggan dan rakan niaga.

Permintaan yang tinggi dari pelanggan juga telah mengubah dan menambah pendapatan rakan niaga saya, terutamanya suri rumah sepenuh masa. Saya melihat suri rumah yang dahulunya bermula dengan dropship kini lebih berkeyakinan dan sesetengahnya telah upgrade menjadi ejen dan stokis Cubre Mi.

Awal bisnes dahulu saya bermula dengan sejumlah minimum foundation menggunakan duit arwah ayah sebagai modal. Sekarang, alhamdulillah jualan semakin meningkat. Untuk Cubre Mi dikenali dalam industri, saya boleh katakan ia tak terlalu cepat dan juga tak terlalu lambat. Namun dalam masa setahun kami berjaya raih pulangan tujuh angka. Tahun lalu menyaksikan jenama Cubre Mi melonjak naik dan untuk mengekalkan momentum itu pastinya saya memerlukan perancangan rapi,” jelas ibu kepada tiga anak ini.

Bercerita mengenai keistimewaan Cubre Mi berbanding lambakan kosmetik yang ada di pasaran, Afzalizah meluahkan keyakinan tinggi terhadap produk yang dihasilkan. Ujarnya, “Saya memahami kesukaran yang dialami para suri rumah untuk membeli barang kosmetik yang kebanyakannya dijual dengan harga mahal. Disebabkan itu misi dan visi utama saya mengusahakan Cubre Mi adalah untuk menghasilkan produk mampu milik yang berkualiti antarabangsa.

Semua rangkaian produk kami dijual dengan harga bawah 50 ringgit. Walau kos tinggi tapi seboleh-bolehkan kami jual dengan harga tidak melebihi amaun tersebut. Selain harga, saya juga akan memastikan kualiti terjaga. Saya amat teliti dalam pengunaan bahan kandungan Cubre Mi.

Sebelum produk dipasarkan saya akan pastikan pihak chemist menjalankan penyelidikan terhadap bahan dan produk. Menerusi penyelidikan ini, produk yang akan dipasarkan perlu selamat digunakan dan mengeluarkan tekstur yang sempurna dan pilihan warna yang diminati ramai,” ungkapnya yang selamat melahirkan anak ketiga pada 22 November lepas.

Sepanjang tiga tahun berada di pasaran, Cubre Mi sudah menghasilkan lima produk iaitu bedak asas, penggaris kening, lip matte, pemerah pipi dan terbaharu, pembayang mata. Daripada kelima-lima produk tersebut, jualan paling laris ialah bedak asas dan penggaris kening.

Mengulas lanjut matlamat utama Cubre Mi, Afzalizah berkata dia mahu melihat lebih ramai wanita khususnya suri rumah menjana pendapatan sendiri. Di samping berhasrat membuka cawangan Cubre Mi di setiap negeri di Malaysia. Buat masa ini Ibu Pejabat Cubre Mi terletak di Sungai Petani, Kedah.

 

 

 

 

 

 

 

Share
Published by
Suzi