Dunia Pasti Sepi Jika Tanpa Wanita, Jadi Tak Perlu Tunggu Kalau Nak Menghargainya

Wanita dicipta dengan penuh keistimewaan dan mampu melakukan tugas multifungsi. Menggalas tugas sebagai pekerja atau majikan sekali gus isteri dan ibu bukan suatu tugas yang mudah. Tidak pernah mengharapkan balasan segunung intan pertama cukup hanya ucapan terima kasih sebagai penghargaan.

Pengiktirafan terhadap wanita telah diangkat pada Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun. Bersempena untuk menghargai wanita yang begitu berjasa majalah Mingguan Wanita dengan didokong oleh Nona, Hijabista dan Pa & Ma mengambil inisiatif untuk mengembalikan keriangan, keceriaan dan sens of humor yang telah hilang itu.

Pada Sabtu lalu telah berlangsung majlis gilang-gemilang SHOWCASE AMAL RAIKAN WANITA di Sime Darby Convection Centre bermula jam 2 petang hingga 5.30 petang dengan dihadiri lebih daripada 400 orang penonton.

Majlis telah diserikan dengan kehadiran YAM Cik Puan Temenggong Perlis, Datin Seri Diraja Farinawati Datuk Mohd Din, YAM Tengku Sharif Temenggog Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Ybhg Pn Masdiana Muhamad, isteri Menteri Besar Selangor dan Ybhg Pn Datin Seri Shamsidar binti Taharin, isteri kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia selaku tetamu VIP.

Selama lebih 2 jam penonton dihiburkan dengan lawak jenaka daripada Harith Iskandar, Mark Adam, Zero dan Elly Mazlein. Nabil Ahmad selaku pengacara juga tidak ketinggalan dengan lawak santai yang dibawakan semasa mengacarakan showcase ini.

Sambil menjamu selera para penonton turut dihiburkan dengan nyanyian daripada penyanyi wanita bersuara lunak, Dayang Nurfaizah yang membawakan 2 buah lagu. Mark Adam dan Elly Mazlein juga tidak ketinggalan menghiburkan para penonton dengan membuat persembahan nyanyian istimewa.

Menurut Penerbit Eksekutif, Farah Hussamuddin Showcase Amal Raikan Wanita adalah buah tangan dari Nu Ideaktiv Sdn Bhd, untuk meraikan wanita dari pelbagai bidang. Tambahnya, “Tema ‘Dunia Tanpa Wanita’ ini didedikasikan khas untuk insan teristimewa di sekeliling anda. Kita bersama raikan sumbangan, peranan, jasa dan budi wanita. Ia pastinya suatu yang sangat bererti buat semua wanita.

Apa yang kami harapkan ialah, showcase ini dapat sedikit sebanyak menghilangkan tekanan yang ramai wanita alami. Bergelak ketawalah sambil menikmati minum petang yang disajikan,” katanya.

Pada hari itu juga, dua buah Rumah Kebajikan terpilih iaitu RUMAH KITA dan RAUDATUL SAKINAH turut menerima sumbangan daripada Mingguan Wanita atas hasil jualan meja yang dibeli oleh para penonton.

Beberapa orang selebriti juga turut hadir menyaksikan showcase ini. Antara selebriti yang hadir ialah Diana Amir, Lisdawati serta pemenang Pencarian Hos Mingguan Wanita, Syakirin Husnal.

Share
Published by
Hamizatul Maizan