Untuk berjaya di dalam dunia perniagaan fesyen bukanlah semudah yang disangka. Pelbagai rintangan dan halangan perlu ditempuhi untuk menjadikan sesebuah jenama tersebut mendapat perhatian ramai. Seperti duo pereka ini yang bersatu di bawah lembayung nama Amazé, mereka bermula dari bawah dan setelah hampir empat tahun beroperasi, kini mereka mula menjadi pilihan golongan kenamaan, kerabat diraja dan juga pencinta fesyen tanah air.
BAGAIMANA ANDA BERDUA BOLEH BEKECIMPUNG DI DALAM DUNIA PERNIAGAAN FESYEN? Kami sebenarnya kenal ketika masih belajar di UiTM Shah Alam dan selepas masing-masing tamat pengajian, Amar bekerja di butik Altelia Amani manakala Zeed pula bekerja di butik Azamoff. Selepas menimba pengalaman dan belajar bagaimana mengendalikan bisnes fesyen kami berdua mula berfikir untuk bekerjasama dan membentuk satu jenama. Maka lahirlah Amazé yang merupakan gabungan nama kami berdua.
APAKAH ESTETIK FESYEN AMAZE? Boleh dikatakan mewah bertemu moden. Pembuatan busana di Amazé sangat intricate dengan setiap perincian diberikan perhatian mendalam. Kami juga banyak bermain dengan perincian yang menarik seperti lace dan juga manik. Satu kelebihan bagi jenama ini kami menerapkan elemen ‘tambour beading’ yang mana setiap jahitan manik dan labuci dilakukan sendiri oleh pekerja kami. Jadi pelanggan yang mengenakan busana Amazé tidak akan sama antara satu sama lain. Masing-masing akan mendapat corak perincian yang berbeza.
SIAPAKAH IKON/JENAMA FESYEN YANG ANDA SANJUNGI? Semestinya Valentino. Kami sangat suka rekaannya yang cukup mewah namun moden dalam masa yang sama. Jenama ini tidak terlalu mencuba untuk kelihatan current, mereka kekal dengan DNA jenama yang dikenali ramai.
KINI SESIAPA SAHAJA BOLEH MEMBUKA BISNES FESYEN WALAUPUN TIADA PENGALAMAN MAHUPUN PENDIDIKAN TENTANG FESYEN. APAKAH PENDAPAT ANDA MENGENAI ISU INI? Mula-mula kalau hendak difikirkan memang agak menjengkelkan kerana terlalu banyak individu yang secara tiba-tiba menggelar diri mereka pereka fesyen biarpun tidak memiliki pendidikan dalam bidang fesyen apatah lagi untuk memotong dan menjahit sendiri sehelai busana. Mungkin mereka memiliki kuasa wang yang banyak jadi untuk menubuhkan sesebuah jenama bukan satu masalah, hanya upah sahaja orang. Namun tidak perlulah kita menjadi negatif, kami ambil perkara dari sudut positif. Mungkin kehadiran mereka ini memeriahkan industri dan menjadikan pereka fesyen lain lebih bersungguh-sungguh dan bekerja keras untuk berjaya. Kita bersaing secara sihat.
APAKAH NASIHAT ANDA KEPADA MEREKA YANG BARU BERJINAK-JINAK DI DALAM BIDANG INI? Sebaik sahaja tamat belajar, jangan terburu-buru untuk memiliki jenama sendiri. Tetapi bekerja dahulu dengan pereka-pereka fesyen yang lebih senior ataupun butik-butik untuk mencedok pengalaman. Pengalaman bekerja dengan orang lain sebelum ini bukan sahaja mengajar kami bagaimana untuk bekerja dengan sistematik bahkan ia merangkumi bagaimana untuk menguruskan pasukan yang menghasilkan baju serta bagaimana untuk berkomunikasi dan melayan pelanggan. Ini adalah ilmu-ilmu yang kita tidak boleh timba di universiti, hanya di alam pekerjaan sahaja.
BERBALIK KEPADA JENAMA AMAZE, APAKAH PERANAN ANDA BERDUA SECARA SPESIFIK MEMANDANGKAN ANDA BERDUA MERUPAKAN PEREKA FESYEN? Kami membahagi-bahagikan tugas mengikut kepakaran masing-masing. Zeed lebih kepada bahagian rekaan dan kreatif seperti menyiapkan perincian-perincian busana manakala Amar pula menjaga bahagian penghasilan busana. Kami bekerjasama dengan baik, sebagai contoh apabila menerima sesuatu tempahan busana Zeed akan membuat lakaran paten baju dan Amar pula akan memotongnya. Dalam mencari klien kami masing-masing bertanggungjawab, ada yang menghubungi Amar dan ada yang menghubungi Zeed, jadi kami akan menjaga klien masing-masing dan apabila sesi konsultasi selesai barulah kami akan duduk bersama dan berbincang bagaimana boleh menjadikan rekaan tersebut lebih istimewa dan menarik untuk klien lihat.
LIMA TAHUN AKAN DATANG DIMANAKAH JENAMA INI AKAN BERADA? Dalam masa lima tahun kami ingin mengukuhkan jenama ini dengan memiliki koleksi bridal ready to wear di samping mengukuhkan bisnes made to measure. Setiap satunya akan diberi perhatian dengan teliti agar jenama ini mampu berdiri hebat dengan jenama-jenama fesyen popular yang lain. Jika mahu melihat hasil kerja kami dengan lebih dekat, ikuti kami di laman instagram @amazecreations