Gaya Hidup

Ego Lelaki Mudah Tergadai, Inilah Perkara Yang Wanita 40-an MESTI BELAJAR Daripada Lelaki

“Issh! Tak faham aku dengan perangai lelaki ni…” rungut Julia. Bila ditanya mengapa, Julia jawab dengan pantas, “I ni tak cukup cantik lagi ke? Yang dia nak kahwin lagi satu!”

Dalam hati saya berbisik sendiri, ‘You’re perfect, yes it’s true! Cantik macam seorang ratu tetapi mesti ada sebab mengapa suami you buat begitu.’

Bukan saya tidak bersimpati dengan keadaan Julia tetapi seperti saya tahu, biar pun beliau tidak bekerja tetapi sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti sosial bersama rakan-rakannya. Jarang sekali melekat di rumah!

Nah… usah terlalu mencari salah lelaki, menyindir mereka dengan sindiran pedas sedangkan diri sendiri perlu diberi cermin hikayat sakti.

Wanita sering melemparkan kata-kata seperti; lelaki gatal, lelaki pantang tengok perempuan berdahi licin dan seksi, lelaki tidak jujur dalam perhubungan, tidak setia pada cinta, kuat kelentong, tidak tepati janji, playboy

dan sebagainya lagi yang buruk-buruk belaka.

Kenyataannya adakah anda telah memahami insan bernama LELAKI terutama yang ingin dijadikan sebagai calon suami. Anda mungkin tidak mampu mengubah sikap lelaki. Untuk itu anda harus bersedia untuk menerima dirinya!

Mendekati LELAKI sepertinya berumah di tepi pantai, diri sentiasa terdedah dengan lambungan ombak.

Cuba kita membuka laluan untuk mengenali dan menghargai lelaki. Wahai wanita marilah kita merenung sejenak kisah hidup lelaki, adakah mereka ini terlalu sukar untuk difahami.

Bukan bertujuan untuk menuding jari mencari salah sesiapa. Sekadar renungan dan memperbaiki kelemahan yang ada. Kita harus terima secara terbuka, give and take!

Ada yang berkata, lelaki sebenarnya tidak kompleks. Jika kita bijak menjaga mereka, mengemas rumah, menyediakan makan minum dengan baik dan melakukan hubungan kelamin secara kerap dengannya, wanita harus percaya bahawa itulah yang lelaki tersebut mahukan. Ini bukan bererti lelaki berfikir secara primitif tetapi lelaki memang sedemikian. Hakikatnya lelaki adalah mudah.

Bersetuju tak dengan kenyataan tersebut? Lelaki lebih mudah cara hidupnya berbanding wanita. Wanita suka berkias dan berharap lelaki akan faham tetapi lelaki lebih suka jika dijelaskan dengan bahasa yang mudah, jelas dan tidak dramatik melayan emosi.

Maka lebih baik wanita memahami lelaki dari tindakannya berbanding apa yang dikatakannya kerana lelaki tidak pandai melahirkan rasa hati dalam bentuk kata-kata puitis atau berkias.

Lelaki tidak suka didesak untuk mendedahkan perasaannya. Jika terlalu didesak mungkin lelaki akan mendedahkan sesuatu yang wanita tidak suka mendengarnya. Maka adalah lebih jangan bertanya dan menyelidik ke akar umbi.

Bacalah bahasa badan lelaki, matanya atau perubahan mendadak dalam corak perlakuannya. Suami isteri yang telah lama tidur sebantal dan menghidu udara yang sama, tentu sahaja kata hati boleh dibaca jika ada sebarang perubahan.

Namun, ada juga yang telah bertahun-tahun kahwin tetapi masih belum memahami sifat atau perangai suaminya!

Lelaki kaya dengan EGONYA. Itulah yang sering menjadi rungutan wanita. Saya tidak nafikan perkara tersebut kerana itulah mereka ditakdirkan untuk menjadi ketua.

Namun saya percaya, setinggi mana ego seorang lelaki akhirnya tergadai juga dengan kelembutan dan kebijaksanaan kaum wanita. Anda hanya perlu bijak mendekati dan memahami mereka. Tetapi awas jika anda berbicara soal sensitif!

Wanita sememangnya lebih bersifat terbuka kala berbicara tentang menopaus. Hakikatnya lelaki juga bakal mengalami masalah ‘menopaus’ iaitu detik-detik andropaus apabila mencecah usia 40-an.

Namun kerana sikap angkuh dan ego, lelaki sukar menerima hakikat mereka juga akan mengalami ‘menopaus’. Lelaki punya ego yang jauh lebih tinggi dan bijak mengambil langkah untuk menangani masalah ini.

Lelaki melarikan diri daripada tekanan atau dikongkong dengan gejala andropaus. Disebabkan itu ada lelaki yang telah mencecah usia 40 tahun sepertinya kehidupan baru bermula.

Mencari taktik dengan kebosanan hidup berkeluarga, jemu melihat wanita yang sama setiap hari atau mencari satu jalan untuk lari daripada tanggungjawab. Bermulanya keinginan untuk keluar dan mendampingi wanita jauh lebih muda daripada usianya dan melakukan hobi yang lebih cergas seperti orang muda.

Keadaan ini membuatkan mereka lupakan tekanan yang disebabkan simptom andropaus dan seolah-olah tidak dijengah kekuatan. Lelaki bijak menyembunyikan perasaan dan menangkis ke bimbingan, berbanding wanita yang mengalami keadaan menopaus yang lebih suka terperuk di dalam rumah dan mengira sisa kehidupan!

Emm… Kaum wanita bangkitlah daripada kejutan! Belajar sesuatu daripada kaum Adam. KR

Share
Published by
Norzalina