Keadaan ekonomi yang tidak stabil ketika ini telah mengakibatkan banyak implikasi antaranya terhadap sektor perniagaan. Rata-rata para usahawan berusaha gigih demi mengekalkan kelangsungan empayar perniagaan masing-masing.
Dalam kegusaran pemilik perniagaan berdepan dengan kesan krisis ekonomi negara, jenama tekstil terkemuka AL FARO yakin perniagaan yang dijalani masih berada di landasan yang betul.
Menurut Pengarah Pemasaran AL FARO, Muhammad Irfan, pihaknya sentiasa merangka dan mengubah strategi mengikut trend dan situasi ekonomi semasa agar jenamanya mampu bertahan lebih lama dan kukuh.
“Pihak kami sentiasa peka dengan isu semasa dan bersiap sedia jika ada penurunan jualan. Sebagai contoh, jika terdapat penurunan jualan, kami akan terus merangka strategi tertentu agar perniagaan kembali berjalan lancar.
“Untuk merangka strategi perniagaan juga tidak mudah. Kami perlu kaji sosioekonomi negara, kemudian menghasilkan produk mengikut kemampuan masyarakat.
“Maksudnya, kami menghasilkan pakaian untuk semua golongan daripada yang biasa-biasa sehingga golongan kaya. Saya percaya, jika kita membuat rekaan mengikut kuasa belian pelanggan, dan harga pula berpatutan, secara tidak langsung, jenama ini masih boleh mengekalkan jualan yang stabil,” katanya.
Tambah Muhammad Irfan, strategi itu juga membuatkan AL FARO terpilih sebagai pemenang Asia Pacific Enterprise Awards 2023 dalam kategori Fast Enterprise Award di One World Hotel baru-baru ini.
Ia adalah kejayaan kedua selepas meraih Anugerah Pensijilan Pengguna Top 500 Consumer Certification Trusty Brand Award anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) tahun lalu.
Muhammad Irfan turut memaklumkan, jenama tersebut akan terus meletakkan sasaran akan meraih jualan sehingga mencecah RM25 juta. Di samping, bakal melancarkan pakaian khas bagi golongan elit atau yang sukakan kemewahan.
Menurutnya, walaupun harga yang bakal diletakkan agak mahal namun rekaan dan kualiti pakaian yang dilancarkan itu jauh lebih berbaloi.
“Moto kami, pakaian yang sangat berkualiti dijual pada harga yang berbaloi. Jadi biarlah ada beribu pesaing sekalipun, kami yakin pelanggan akan setia denga jenama ini kerana kesungguhan kami untuk memuaskan hati pelanggan dengan kadar harga berbaloi.”
Sementara itu, kehadiran aktres Fasha Sandha sebagai duta AL FARO memberi lebih impak dalam perniagaan mereka.
“Fasha Sandha seorang aktres yang memberi pengaruh sangat besar kepada masyarakat tempatan. Secara tidak langsung, jenama ini pantas diperkenalkan dengan lebih meluas.
“Ini adalah jalinan pertama kami tetapi Fasha sudah memberi impak yang kuat terhadap jenama Al Faro.
Selain boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web www.alfaro.com.my, koleksi baju Al Faro juga boleh didapati di Jalan Tunaku Abdul Rahman Kuala Lumpur.
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.