EKSKLUSIF! Raja Permaisuri Agong Turut Puji Kejelitaan Che Puan Sofie Sebagai Penghias NONA Oktober 2020.

Khabar gembira yang dikongsi dari Istana Kelantan bersama rakyat jelata mengenai Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra dan Yang Berbahagia Che Puan Sofie Louise Johansson disambut penuh rasa syukur di kalangan rakyat jelata kira-kira setahun yang lalu.

Aura keterujaan bukan sahaja dapat dirasai oleh rakyat negeri Kelantan, bahkan ia turut dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Tanggal 19 April 2019 menjadi saksi majlis perkahwinan pasangan diraja telah berlangsung secara sederhana namun tetap meriah. Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan menjadi saksi pasangan diraja ini disatukan sebagai suami isteri.

Semenjak berita perkahwinan pasangan ini, penampilan Che Puan Sofie sering mencuri tumpuan di kalangan rakyat jelata. Mana tidaknya, Che Puan Sofie sering tampil manis dalam persalinan baju tradisional iaitu baju kurung. Diserikan lagi dengan lilitan selendang di atas kepala menyempurnakan penampilan anggun penuh sopan serta pujian setiap mata yang memandang.

Majalah Nona secara eksklusif bertemu dengan Che Puan Sofie di Istana Kota Lama, Kota Bharu Kelantan untuk sesi temu bual bersama wanita kelahiran Rystad, Linköping, Östergötland, Sweden yang menjadi permaisuri di hati Tengku Mahkota Kelantan ini.

Sekalung penghargaan buat kakitangan Pejabat Sultan Kelantan yang telah bertungkus-lumus memastikan sesi fotografi ulung Che Puan Sofie dengan pihak media ini berjalan lancar. Malah Che Puan Sofie turut memberikan kerjasama terbaik sepanjang sesi fotografi berjalan bagi memastikan potret yang diambil memenuhi cita rasa.

Bukan mudah sebenarnya mengatur pertemuan eksklusif ini memandangkan beberapakekangan dan protokol yang harus dipatuhi. Namun begitu, kerjasama dari kedua belah pihak telah berjaya memudahkan sesi fotografi ini dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Walaupun pada awalnya sesi fotografi ini dijadualkan pada penghujung Mac, namun pihak majalah NONA dan pihak Istana Kelantan terpaksa akur apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di seluruh negara. Berkat kesabaran dan kerjasama tanpa mengenal erti jemu, akhirnya tarikh baharu sesi fotografi diperolehi dan krew majalah NONA diundang ke Istana Kota Lama, Kota Bharu Kelantan.

Sebelum edisi cetakan berada di pasaran, edisi digital majalah NONA sudah boleh diperolehi di Aplikasi eMall Karangkraf.Lebih mengujakan, hantaran cover Che Puan Sofie di laman Instagram miliknya turut mendapat maklumbalas dari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj di mana baginda memuji kejelitaan Che Puan Sofie. Junjung kasih Tuanku.

Sikap lemah lembut dan sopan-santun Che Puan Sofie yang diuar-uarkan oleh masyarakat di Kelantan begitu terserlah semasa sesi fotografi dijalankan baru-baru ini. Sentiasa mengukir senyuman manis, menerima kehadiran kami dengan penuh mesra juga benar-benar memikat dan mudah untuk didekati.

Tidak hairanlah mengapa dalam tempoh kurang setahun, kehadiran Che Puan Sofie amat disenangi oleh rakyat Kelantan. Kini setelah hampir setahun menjadi suri di hati Tengku Mahkota Kelantan itu, Che Puan Sofie semakin serasi menjalani kehidupan sebagai isteri Tengku Mahkota Kelantan.

Malah, Che Puan Sofie tidak langsung kelihatan kekok menemani Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota menyantuni rakyat jelata mahupun ke acara rasmi kerajaan. Memahami kepentingan hubungan di antara raja dan rakyat jelata, Che Puan Sofie telah mengambil inisiatif untuk mendalami ilmu agama dan mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu.

“Secara jujurnya, rakyat Kelantan telah memenangi hati saya dalam pelbagai cara. Mereka bukan sahaja kaya dengan sopan santun budaya Timur, malah kaya dari pelbagai aspek kehidupan. Saya merasa amat bertuah diterima sebagai isteri kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan,” ujar Che Puan Sofie.

Walaupun kini sudah bermastautin jauh dari negara kelahirannya, namun Che Puan Sofie tidak sesekali melupakan adat serta tradisi yang banyak membentuk keperibadiannya kini.

“Di Sweden, kami mempunyai satu tradisi dikenali sebagai ‘Jäntelagen’ atau the law of Jante, yang bermaksud anda tidak boleh percaya anda lebih baik atau sebaliknya dari orang lain. Kata-kata tersebut saya pegang sehingga kini sebagai azimat untuk diri saya tatkala melalui fasa terkini dalam kehidupan,” ujar Che Puan Sofie merendah diri tatkala penulis mengajukan persoalan mengenai perubahan status buat dirinya dari orang kebanyakan ke istana.

Apa yang pasti, Che Puan Sofie bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik semata-mata. Lebih istimewa, Che Puan Sofie juga gemar memasak seperti yang sering dikongsi di laman media sosialnya @ljo_. Memasak sememangnya menjadi kegemarannya sejak zaman remaja lagi. Tambahan pula, mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga sudah menjadi salah satu subjek kegemaran Che Puan Sofie ketika menuntut di bangku sekolah.

“Bukan itu sahaja, saya juga membesar dalam keluarga yang gemar memasak. Ibu dan nenek juga sering berkongsi resipi turun-temurun keluarga dengan saya. Sebaik mendirikan rumah tangga dengan Tengku Mahkota, saya bertuah kerana bonda mentua, YMM Raja Perempuan Tengku Anis binti Almarhum Tengku Abdul Hamid menghantar salah seorang cef istana untuk mengajar saya memasak beberapa hidangan tradisi Kelantan.

Tahun lalu semasa di Sweden, saya dan keluarga berpeluang untuk mempelajari cara menyediakan Kuzi Ayam, antara hidangan tradisi negeri Cik Siti Wan Kembang melalui buku masakan Resepi Warisan CIK SITI WAN KEMBANG Kelantan Malaysia.

Menu tersebut menjadi kegemaran kami. Saya juga berminat untuk mempelajari pelbagai menu pencuci mulut popular Kelantan. Pada April lalu, saya telah diberi tunjuk ajar oleh cef istana untuk menyediakan kuih kegemaran saya iaitu Seri Muka.

Saya seronok dapat menyediakan juadah istimewa untuk santapan dan mendapat pujian dari Tuanku. Malah ketika Ramadan yang lalu, saya menyediakan kuih tradisi Nasi Kaya Pulut atau Pulut Sekaya untuk sajian berbuka puasa. Kini, kuih tersebut sudah menjadi salah satu menu kegemaran saya, ” ujar Che Puan Sofie yang berhasrat mempelajari menu warisan Kelantan yang lain pula.

Ditanya mengenai menu kegemaran Tengku Mahkota Kelantan, Che Puan turut berkongsi menu kegemaran Tengku Mahkota Kelantan itu. Nak tahu menu apakah yang menjadi kegemaran Tengku Mahkota dan disediakan sendiri oleh Che Puan Sofie, dapatkan Majalah NONA Oktober 2020 atau melalui Aplikasi eMall Karangkraf!

NOTA PENTING: Majalah NONA versi cetakan sudah berada di pasaran tetapi amat terhad.Untuk mengelakkan kekecewaan untuk mendapatkan edisi istimewa ini, anda boleh mendapatkannya dalam versi digital.Muat turun Aplikasi eMall sekarang!

Share
Published by
Rosmah Idayu