Eksklusifnya Rumah TYA ARIFIN, Nampak Tenang & Selesa Walau Tanpa Khidmat Interior Designer!

Luas, cerah dan menenangkan! Itu yang dapat digambarkan bila mengamati dekorasi kediaman mewah milik selebriti kelahiran Indonesia, Tya Arifin. Pemilihan rona putih berjaya menjadikan ruang rumah Tya kelihatan lebih luas.

Ditambah susun atur perabot moden serba minimalis, cukup sesuai didiami Tya sekeluarga apatah lagi dengan kehadiran dua anak kecilnya.

Garapan tema natural menjadi pilihan isteri Ashraf Khalid ini dalam menghias kediaman banglo tiga tingkat miliknya yang terletak di Tropicana Indah. Apa yang menarik adalah usahawan Mutyara tersebut langsung tidak menggunakan khidmat pereka dalaman untuk menghias.

Sebaliknya segala dekorasi rumah ini adalah ilham dan ‘air tangan’ Tya sendiri. Hebat! Bukan saja bijak berniaga, menghias pun pandai.

Dedah Tya, “Suami beri kepercayaan sepenuhnya kepada Tya untuk menghias kediaman ini. Tempoh keseluruhan waktu yang digunakan untuk menghias adalah satu minggu. Namun disebabkan kesibukan kerja, urusan menghias dilakukan perlahan dalam tempoh dua minggu.”

Memandangkan pasangan ini sibuk dengan urusan perniagaan, sudah pasti kembali dari kesibukan kerja… mereka mendambakan suasana rumah yang tenang dan santai. Tambahan pula, dekorasi berkonsepkan paduan rona natural memenuhi cita rasa mereka.

“Ruang kegemaran Tya adalah dapur. Namun cetusan konsep dan ronanya berbeza daripada ruang tamu dan ruang makan untuk memberi kepelbagaian kepada dekorasi kediaman.”

Menjengah dekorasi kamar tidur, penghuni kediaman eksklusif ini turut mengetengahkan elemen sama yang bereksperimentasi dengan warna-warna natural.

Untuk bilik tetamu pula, Tya menerapkan konsep rustik dengan padanan kemasan lembut pastel. Ia berjaya membuatkan kamar tetamu ini kelihatan seperti butik hotel.

Walau dekorasi kediaman Tya dan Ashraf tidak menggunakan khidmat perunding hiasan dalaman, konsep yang ditampilkan tetap kelihatan sempurna dan menenangkan.

Share
Published by
Suzi