Siapa kata berkahwin pada usia muda tak menjamin masa depan. Kalau dipandang dari sudut positif, pasangan dapat merancang masa depan keluarga lebih awal seterusnya menjadikan seseorang itu lebih bertanggungjawab dan matang.
Tengku Norhanim Tengku Othman dan suami, Faiz Hussamuddin berjaya membuktikan berkahwin pada usia muda banyak hikmahnya. Apa yang penting masing-masing perlu saling menghormati dan sabar dalam melayari bahtera rumantangga. Maklumlah, masing-masing ada egonya yang tersendiri.
Bagi Tengku Norhanim sepanjang tujuh tahun perkahwinan telah menjadikan dirinya seorang wanita yang matang termasuklah lebih menghargai pengorbanan suami yang sentiasa ada di sisi di kala susah mahupun senang.
SALING MENGALAH
“Alhamdulillah walaupun berkahwin pada usia muda namun perkahwinan kami masih bertahan hingga ke saat ini. Tak dinafikan, berkahwin pada usia muda banyak dugaannya. Tahun ni genaplah tujuh tahun usia perkahwinan kami. Saya yakin suami adalah insan terbaik buat saya dan anak-anak.
Bergaduh dan salah faham tu perkara biasa. Masing-masing ada ego. Yang penting salah seorang perlu mengalah. Kami cuba elak bermasam muka lebih daripada sehari. Biasanya kami akan tunggu keadaan kembali reda kemudian barulah berbincang. Saya kagum dengan suami kerana memiliki tahap kesabaran yang tinggi. Ketenangannya menyejukkan jiwa.
Kalau saya ada berbuat silap atau sedang buntu, suamilah teman paling rapat dengan saya. Setiap teguran atau nasihat yang diberikan saya terima dengan positif. Saya juga tak pernah menyesal atau merungut dengan apa yang ditakdirkan kerana sedar kami saling melengkapi. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan,” kongsi ibu kepada dua orang anak ini.
SUAMI SEDIAKAN PEMBANTU RUMAH
Tengku Norhanim merupakan pengasas produk, Crispy Choco Jar dan memiliki syarikatnya sendiri iaitu Adeliciousz yang diusahakan bersama suami. Dengan komitmen yang ditunjukkan, produknya kini semakin terkenal sekaligus menjadikan anak jati Kelantan ini tak menang tangan. Jadual hariannya juga sentiasa padat dengan agenda bisnes.
“Saya dan suami sering keluar untuk menghantar produk-produk yang ditempah oleh pelanggan. Suami amat memahami dengan kesibukan saya menguruskan bisnes. Sebab itulah jika saya tak sempat untuk memasak, suami tak pernah memaksa. Sebaliknya, suami menyediakan pembantu rumah bagi meringankan beban saya,” ungkap Tengku Nohanim.
DIDIKAN ANAK-ANAK
“Saya mengambil inspirasi bagaimana cara ibu saya dan ibu mertua mendidik anak-anak. Keluarga saya sendiri cukup menitikberatkan soal agama. Latar belakang agama sangat kuat kerana ibu saya seorang ustazah.
Saya jadikannya sebagai panduan dalam mendidik anak-anak,” jelas Tengku Norhanim yang tidak memaksa anak-anaknya untuk bergelar usahawan kelak sebaliknya menyerahkan kepada minat masing-masing.
Kredit: Instagram Tengku Norhanim Tengku Othman
This website uses cookies.