Masak dan makan di rumah sudah tentu lebih bersih, sihat dan jimat. Walaupun ia memerlukan tenaga yang lebih ketika memasak tetapi berbaloi. Namun, ada yang memilih untuk memasak sekali saja iaitu untuk makan tengahari dan bakinya disimpan untuk makan malam. Tinggal untuk dipanaskan semula saja di sebelah petang.
Kalau ada lagi bakinya lagi terus disimpan ke peti sejuk dan dipanaskan semula pada keesokannya pula. Cara ini nampak praktikal tetapi tanpa kita sedar kebiasaan ini boleh mendatangkan risiko terhadap kesihatan kerana tidak semua jenis makanan boleh dipanas berulang kali. Kesannya mungkin bukan sekarang tetapi di kemudian hari jika tabiat ini masih diteruskan.
8 makanan ini sebaiknya tidak dipanaskan berulang kali.
TELUR
Sumber protein yang tinggi kandungan vitamin A, kalsium, vitamin B6, vitamin B12 dan fosfor. Hindari memanaskan telur kerana boleh menyebabkan munculnya kandungan racun di bahagian kuning telur seterusnya mengganggu sistem pencernaan.
AYAM
Memiliki kandungan protein yang tinggi dan rendah lemak. Jika daging ayam dimasak semula atau dipanaskan, kandungan proteinnya akan berubah dan menyebabkan masalah pencernaan.
NASI
Disebabkan kandungan gula dan kolesterolnya tinggi, ketika dipanaskan semula kolesterol jahat di dalam nasi akan bertambah dan akan menjejaskan kesihatan. Nilai kalorinya juga akan meningkat sehingga berisiko untuk menghidap masalah jantung atau tekanan darah.
BAYAM
Pernahkah anda melihat setelah beberapa jam bayam dimasak ia bertukar menjadi kehitaman? Ini kerana kandungan zat besi selain vitamin dan serat yang tinggi di dalam bayam. Jika dipanaskan berulang kali, kandungan nitrat di dalam bayam berubah menjadi nitrit dan memungkinkan munculnya zat pencetus sel kanser.
BROKOLI
Kandungan sayur ini sangat baik untuk badan di mana ia kaya dengan vitamin A dan C. Tetapi, brokoli mengandungi nitrat yang akan berubah menjadi nitrit jika dipanaskan berulang kali sehingga berisiko diserang kanser.
KENTANG
Banyak mengandungi zat besi yang sangat baik untuk kesihatan otak. Kentang juga mengandungi karbohidrat yang mudah dicerna. Namun jika ia dipanaskan berulang kali boleh mengeluarkan zat beracun.
SADERI
Tidak bagus jika dipanaskan berulang kali. Saderi mengandungi nitrat yang berisiko menjadi pencetus kanser serta gangguan hemoglobin.
SANTAN
Tahukah anda, masakan yang menggunakan santan seeloknya tidak dipanaskan berulang kali kerana lemak yang terkandung dalam santan jika melalui proses pemanasan boleh berubah menjadi lemak jahat dan berisiko timbulnya kolesterol. AMY MOHD