Bukan mudah bagi seorang ibu yang sudah mempunyai tiga anak untuk kekal sihat dan cantik. Lebih-lebih lagi apabila mempunyai anak kecil yang memerlukan sepenuh perhatian. Rutin harian sudah tentu lebih tertumpu kepada si kecil berbanding diri sendiri. Namun selebriti cantik, Fiza Abdul Halim berjaya membuktikan tanpa berbelanja besar pun dia masih mampu tampil menawan.
Tidak dinafikan, sebagai wanita… penulis juga cemburu tengok kemulusan kulit wajah Fiza. Macam porselin, satu jerawat pun tidak kelihatan di wajahnya. Saat diajukan pertanyaan tentang rejim kecantikan yang diamalkan, bekas penyanyi kumpulan Elite ini ketika dihubungi tertawa kecil. Ujarnya, tiada penjagaan khusus yang dipraktikkan kerana dia seorang wanita yang ringkas.
“MashaAllah, tip cantik? Saya inilah orang yang paling simple. Mungkin sebab saya tak suka mekap kot. Jadi kulit saya tak ada masalah sangat. Petua saya cuma satu je, saya tak suka minum air sejuk dan hanya minum air suam atau air panas. Bab kesihatan badan pula saya ni suka vaccum
dan mop rumah hari-hari. Bagi saya itulah exercise saya untuk bersenam sebab kalau nak pergi gim bagai memang tak bolehlah dengan si kecil lagi.Biasanya kalau duduk di rumah, saya akan cari apa saja kerja yang boleh saya buat walaupun semua dah tersusun dan kemas. Siapa yang kenal saya, tahulah saya ni macam mana. Petua turun-temurun tak ada cuma saya lebih berhati-hati dengan keadaan badan dan kesihatan diri sendiri. Pendek kata, memang saya pantau sendiri.
Kalau agak-agak badan tu dah naik kalau timbang, saya akan diet sedikit. Kalau bila timbang macam ringan dari selalu, saya akan makan lebih sedikit. Sebab saya ni kalau kurus, muka kurus dulu. Cengkung sangat tak elok pula nanti nampak haggard. Apa-apa pun elak minum ais ya!”
Jika kebanyakan wanita gemar merawat dan membelai tubuh di spa kecantikan, berbeza pula bagi ibu tiga anak ini. Katanya, “Saya tak suka ke spa sebab tak suka tunggu lama-lama dan saya tak pernah pergi. Kalau di rumah pun, saya tak buat macam orang lain, ada rutin harian yang wajib. Habis kuat pun saya akan buat skrub dan mask
muka. Itu pun boleh kira berapa kali. Agak-agak muka macam kusam, baru saya akan buat. Kalau tak, memang tak buatlah.”Fiza yang merupakan isteri juruterbang, Aizat Al-Jefri Al Kudus selamat melahirkan cahaya mata ketiganya, Siti Aleena Adra atau panggilan manjanya Baby Aleena pada 24 September 2018. Sejak kehadiran Baby Aleena, Fiza lebih selesa berada di rumah untuk memberi tumpuan penuh kepada keluarga selain membesarkan puteri bongsunya itu.
“Tawaran (berlakon) tu ada, memang banyak. Tapi saya terpaksa tolak sebab saya lebih pentingkan Aleena, kasihan dia masih lagi kecil dan tak ada orang nak jaga dia. Lagi pula dia memang attach sangat dengan saya. Dari kecil saya tak pernah tinggal dia walau seminit pun. Setakat ini saya bukanlah duta mana-mana produk tapi kalau ada, saya amatlah berbesar hati. Tentang produk sendiri… semua dalam perancangan, InshaAllah nanti kalau ada pasti saya akan beritahu. Mungkin produk baby.”
Tambahnya lagi, memandangkan dia kini bergelar suri rumah tangga sepenuh masa Fiza memanfaatkan masa yang ada dengan sebaik mungkin. “Sama seperti keluarga lain di luar sana, aktiviti apa lagi yang boleh saya buat selain memasak 24/7. Tapi saya tak terasa bosan atau sebagainya duduk di rumah sebab saya memang jenis yang kemas rumah dan jaga anak sendiri tanpa maid. Semua kerja saya lakukan sendiri.”
Bahagia meniti bulan penuh keberkatan, bulan Ramadan di samping keluarga tersayang Fiza bagaimana pun mengakui dia tidak terlalu selektif dalam soal juadah berbuka. “Saya ni jenis orang yang tak banyak makan dan saya tak gemar makan makanan yang macam-macam. Saya lebih suka makan satu meal untuk sendiri je disertakan dengan air panas, kopi atau teh atau air suam tambah kurma. Saya tak pernah ada juadah kegemaran. Apa saja saya makan tapi saya tak gemar makan banyak.”
This website uses cookies.