Gaya Hidup

Elak Minuman Berkarbonat Jika Enggan Gigi Rompong Sebelum Usia!

Sebut sahaja air berkarbonat  pasti kita semua  tidak kira sama ada dewasa mahupun  kanak-kanak akan teruja dan tidak sabar untuk membasahkan tekak dengannya. Walaupun sudah acap kali dilaungkan pada umum akan kandungan yang terdapat di dalamnya bakal membawa kesan negatif, namun masih ada yang memandang enteng mengenai isu ini.

Sememangnya mulut mengandungi bakteria semula jadi dan bakteria ini akan memakan gula serta membentuk asid yang boleh membahayakan gigi.  Jadi, pengambilan minuman berkarbonat yang mengandungi kandungan gula yang agak tinggi akan menyumbang kepada obesiti sekali gus mendedahkan pengguna kepada kerosakan gigi yang serius.

Untuk rekod, minuman berkarbonat juga mengandungi asid fosforik, asid sitrik atau asid karbonik yang boleh menghakis enamel gigi.  Walaupun kalsium dalam air liur berfungsi untuk menguatkan kembali permukaan gigi selepas terdedah kepada sejumlah kecil asid yang menghakis, tetapi dengan peningkatan minuman berkarbonat, hakisan pada permukaan gigi tetap akan berlaku.

Antara penyakit lain yang memudaratkan hasil pengambilan air berkarbonat ialah penyakit gastroesopaheal reflux atau lebih dikenali sebagai pedih ulu hati. Kebiasaannya ia akan menyerang pada waktu malam. Jangan tidak tahu, ginjal anda juga mungkin akan mengalami kerosakan seterusnya mengurangkan kekuatan tulang, menyebabkan sakit pada rongga hidung dan sinus serta kerosakan gigi seperti karies gigi dan erosi pada permukaan gigi.

Kerosakan gigi akibat daripada minuman berkarbonat akan bertambah teruk jika ia tidak dirawat dengan segera. Kanak-kanak dengan masalah karies teruk biasanya mempunyai berat badan yang kurang dari ideal, dan selepas rawatan gigi reput terdapat pertambahan berat badan lebih cepat dan peningkatan dalam kualiti hidup mereka lebih ketara. Ini mungkin disebabkan oleh pengurangan pengambilan makanan kerana sakit dan menjejaskan kuantiti dan kepelbagaian makanan yang dimakan .Karies gigi juga menyebabkan keradangan kronik pada pulpa gigi dan menyebabkan abses. Ini diketahui akan menyekat pertumbuhan melalui laluan metabolik dan mengurangkan hemoglobin.

Tip Amalan Penjagaan Gigi Yang Boleh Diamalkan:

  • Gosok Gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari.(Masa terbaik untuk memberus gigi adalah selepas makan. Pilih berus gigi yang mempunyai kepala kecil untuk akses yang lebih baik untuk gigi belakang)
  • Gunakan ubat gigi berfluorida. (Fluorida membantu menguatkan enamel gigi dan mengurangkan risiko kerosakan)
  • Flos gigi setiap hari.(Gunakan gerakan menggergaji dengan perlahan dan lembut sehingga flos masuk ke celah gigi.
  • Hadkan minuman berasid seperti minuman ringan, kordial dan jus buah-buahan.
  • Elakkan daripada menggunakan gigi anda untuk apa-apa selain daripada mengunyah makanan. Jika anda menggunakan mereka untuk memecahkan kacang, keluarkan penutup botol atau merobek pembungkusan terbuka, anda berisiko untuk memecahkan gigi anda.ROSMAHIDAYUABUSAMAH
IKLAN
Share