
Lumrah duduk di rumah, selera makan tiba-tiba bertambah dan mulut asyik nak mengunyah. Tambah lagi sekarang musim cuti sekolah dan ramai yang work from home, pasti ada yang suka fast food sebagai alas perut.
Baru-baru ini, Nona didatangi tiga hidangan spageti sejuk beku yang mudah disediakan. Rasanya sedap macam hidangan di kafe dan paling menarik, sangat cepat dan mudah dimakan. Ketiga-tiga spageti Ayam Brand ini juga lazat serta diperakui halal oleh JAKIM.



5 KELEBIHAN
- Hidangan untuk seorang yang seimbang dan menggabungkan karbohidrat, protein dan lemak untuk hidangan yang enak, mengenyangkan dan rendah kalori bagi membekalkan tenaga dan nutrisi yang anda perlukan untuk menghadapi cabaran bekerja atau belajar dari rumah.
- Mempunyai sekurang-kurangnya 4g serat pemakanan setiap hidangan supaya anda kenyang.
- Tidak mengandungi lemak trans untuk hidangan yang lebih sihat.
- Makanan cepat, sihat dan mudah untuk memastikan kita mendapat makanan sempurna walau sesibuk mana sekalipun – kurang 330 kalori setiap hidangan!
- Dibuat daripada makanan sebenar yang tidak diproses termasuk ikan kembung, ikan tuna, udang dan sayur-sayuran serta pasta yang disahkan organik. Tanpa MSG, perisa tiruan atau bahan pengawet, hanya rasa yang kaya dan semula jadi. Dimasak sehingga cukup sempurna kemudian dibeku segera di atas pasta organik bagi mengekalkan rasa, tekstur dan kualiti tanpa bahan pengawet.
Hanya lima minit diperlukan dengan empat langkah mudah. Buang sarung, buka penutup dan tutup semula secara tidak rapat, letakkan di dalam ketuhar gelombang mikro pada kepanasan tinggi untuk 4 minit 30 saat, dan makan. Lebih cepat dari pesan makanan segera, malah menyihatkan!
Selamat mencuba.
5 Makanan Tradisi Orang Selangor Wajib Cuba, Sedap Dan Menggiurkan!

Selangor dan segala kehidupan yang bernafas di dalamnya. Bagi mereka yang tinggal di Selangor, bumi bertuah ini bukan saja menjadi tempat bermastautin, tapi rumah keluarga membesar dan lubuk rezeki yang melimpah-ruah.
Disebabkan faktor migrasi dan kemasukan pekerja asing yang telah berpindah mencari peluang pekerjaan, negeri Selangor berkembang dengan kepelbagaian budaya dan makanannya.
Bagi penduduk negeri lain, inilah lima makanan tradisional Negeri Selangor yang menyelerakan. Selain berkhasiat dan lazat, ia juga mudah dibuat sebagai variasi santapan keluarga anda nanti. Cubalah!
(1) Pecal

Pecal sayur yang sangat lazat ini juga dikenali sebagai Salad Jawa. Ia dihidangkan dengan sos kacang dan aneka sayur-sayuran segar. Persediaan untuk membuat pecal ini adalah sangat mudah dan boleh dicuba di rumah pada bila-bila masa! Antara ramuan pentingnya adalah kacang tanah untuk menghasilkan kuah kacang, tauhu, taugeh, kacang hijau dan timun.
(2) Nasi Ambeng

Sudah menjadi tradisi untuk menghidang Nasi Ambeng dalam satu pinggan yang boleh dikongsi beramai-ramai di antara empat hingga ke lima orang! Semasa menyiapkan menu Jawa-Melayu ini, anda tidak boleh melupakan ramuan utama seperti nasi putih, ayam, mi goreng, kacang panjang, sambal tempe dan daun pisang!
(3) Sambal Taun

Makanan tradisional yang berasal dari Jawa ini kerap dimasak pedas dengan penggunaan cili yang banyak semasa penyediaannya. Sering kali di Selangor, kulit lembu akan dijadikan sebagai protein utama sajian ini, akan tetapi ia boleh digantikan dengan kerang, paru lembu atau ikan bilis. Bahan-bahan lain yang diperlukan pula adalah bawang merah, bawang putih, belacan, santan kelapa, minyak, asam jawa, gara dan gula.
(4) Wadai Kipeng

Dalam perkataan Banjar, ‘Wadai’ bermaksud ‘Kuih’, sementara ‘Kipeng’ pula merujuk kepada potongan. Sejak dulu lagi, telah menjadi tradisi masyarakat Banjar untuk menyajikan Wadai Kipeng semasa majlis kesyukuran mereka! Satu perkara yang perlu anda ketahui, ia adalah sangat mustahil untuk menyediakan menu yang enak ini tanpa enam ramuan iaitu tepung beras, kelapa muda, gula melaka, gula pasir dan daun pandan!
(5) Bahulu Kemboja

Bahulu Kemboja boleh dihidangkan pada bila-bila masa, sama ada untuk sarapan mahupun semasa waktu minum petang. Walaupun kuih ini sering dijual di pasaran tetapi untuk mencari keasliannya seperti hasil air tangan orang Selangor amatlah sukar untuk dicari. Untuk mengekalkan keenakan dan keunikannya, bahan terpenting yang diperlukan adalah air pandan asli hasil tapisan daun pandan, tepung gandum, tepung beras, susu kelapa, telur, bijan dan sudah pasti, gula dan garam untuk perasa!
Dengan pelbagai pilihan makanan tradisional di negeri ini, tidak hairanlah Selangor terpilih sebagai pusat gastronomi di Malaysia. Sama ada hidangan istimewa seperti lauk-pauk, ataupun kuih-muih yang enak, resipi tradisional seperti yang disertakan dalam senarai ini tentunya harus anda cuba sediakan!
Sumber: Tourism Selangor
Mencari SYURGA Makanan Laut? Just Seafood Boleh Buat Anda Jadi Ketagih!

Makanan berasaskan makanan laut sememangnya sering menjadi pilihan untuk dinikmati bersama seisi keluarga. Malah ada yang menjadikan menu berasaskan makanan laut sebagai pilihan utama untuk majlis keraian keluarga. Ditambah pula dengan kegilaan masyarakat kini dengan fenomena makan ala shell out yang berkonsepkan menikmati hidangan makanan laut yang diletakkan di tengah-tengah sehelai kertas yang boleh dikongsi beramai-ramai.
Kini penggemar hidangan berasaskan makanan laut boleh melepaskan keinginan menikmati hidangan makanan laut yang segar di Just Seafood yang terletak di Sunway Giza, Kota Damansara. Menurut pemilik Just Seafood,Terence Ham, restoran yang dibuka sejak penghujung tahun 2014 ini menyajikan hidangan makanan laut yang segar dan berbeza jika dibandingkan dengan beberapa restoran yang mempunyai konsep yang sama.
“Just Seafood mempunyai motto dan memegang pada prinsip menghidangkan hidangan makanan laut yang segar dan berkualiti untuk para pelanggan. Jadi, kami sentiasa memastikan makanan laut yang disajikan adalah dari kualiti terbaik bagi mengekalkan rasa segar dan keenakannya apabila dimasak bersama sos istimewa kami,” ujar Terrence sambil menghidangkan pelbagai makanan laut yang dimasak menggunakan tiga jenis sos istimewanya iaitu Louisiana Cajun, Butter Milk dan Creamy Peanut.
TIGA SOS ISTMEWA
Tambah Terrence lagi, Just Seafood mengetengahkan tiga jenis sos istimewa yang mana setiap sos pastinya menepati citarasa masyarakat Malaysia yang semakin bijak memilih hidangan yang enak dan berkualiti untuk dinikmati.
“Kami menggunakan tiga jenis sos istimewa iaitu Lousiana Cajun, Butter Milk dan Creamy Peanut untuk dimasak bersama hidangan makanan laut yang terdiri daripada aneka kerang-kerangan, ketam dan udang. Di samping itu, hidangan tersebut turut disertakan dengan aneka sayur-sayuran yang bersesuaian antaranya termasuklah lobak merah, jagung dan ubi kentang. Pelanggan boleh menikmati hidangan ini sama ada memesan nasi atau roti bawang putih,” ujar Terrence yang sememangnya menjalankan penyelidikan yang berterusan untuk memastikan kualiti sos yang dihasilkan menepati citarasa pelanggan.
Menyentuh mengenai penyelidikan dan pembangunan sebelum sos tersebut diperkenalkan kepada para pelanggan, menurut Terrence lagi dia dan rakan kongsi mengambil masa selama beberapa bulan untuk mencuba sos seperti Lousiana Cajun bagi mendapatkan konsistensi yang sama di samping menepati citarasa masyarakat Malaysia. Sos yang dihasilkan mendapat inspirasi dari pelbagai citarasa antaranya termasuklah Amerika Syarikat, Vietnam dan citarasa tempatan. Sos Lousiana Cajun popular di kalangan masyarakat Vietnam di Lousiana, Amerika Syarikat.
“Saya dan rakan kongsi mengambil masa kira-kira dua bulan untuk makan hidangan yang sama setiap hari untuk memastikan rasa yang sama untuk sos tersebut. Kami mahukan yang terbaik untuk para pelanggan. Jadi, kami sanggup melakukan beberapa perubahan untuk mendapatkan rasa yang terbaik untuk para pelanggan. Malah sos Creamy Peanut diinspirasikan dari kuah sate yang sememangnya popular di kalangan masyarakat Malaysia,” ujar Terrence yang amat mementingkan kualiti terhadap setiap hidangan yang disediakan di Just Seafood.
PILIHAN SET HIDANGAN
Jika anda datang menikmati makanan laut di sini, anda boleh memilih set makanan laut untuk satu hingga dua orang, tiga atau empat orang dan lima hingga tujuh orang. Setiap set mengandungi makanan laut seperti ketam bersaiz besar, udang, udang bersaiz besar, aneka kerang-kerangan, sotong, ubi kentang, lobak merah dan jagung yang dimakan bersama pilihan nasi atau roti bawang putih.
Tambah Terrence lagi, dia mendapat inspirasi membuka restoran ini selepas ingin beralih angin dari pekerjaannya yang terdahulu yang mengusahakan perniagaan berasaskan pinggan mangkuk Chinaware. Ingin lari dari kebiasaan dan formal menikmati hidangan menggunakan kutleri dan peralatan kaca dan pinggan mangkuk, dia tertarik untuk cuba menikmati hidangan dengan cara yang berbeza. Dengan cara itu, ia dapat merubah persepsi menikmati makanan dengan lebih fokus terhadap makanan dan menikmati hidangan dalam suasana santai dan lebih kasual.
Konsep dapur terbuka di Just Seafood juga merupakan antara tarikan yang mendapat pujian di kalangan pelanggan setianya. Mana tidaknya, sambil menunggu hidangan disajikan di meja, pelanggan dapat melihat sendiri proses memasak hidangan tersebut. Konsep dapur terbuka ini amat baik bagi memastikan pihak penyedia makanan menjaga tahap kebersihan dan memastikan hidangan yang dihasilkan memenuhi standard piawaian hidangan. Selain itu, konsep restoran yang terbuka juga amat menarik untuk menikmati hidangan makanan laut secara berkeluarga dan berkumpulan. Anda boleh memilih untuk menikmati hidangan di tingkat bawah dan tin gkat atas yang boleh memuatkan sehingga 200 pelanggan pada satu masa.
Jadi, jika anda penggemar hidangan makanan laut, jangan lupa mencuba hidangan yang disajikan di Just Seafood. Selain hidangan yang segar, kualiti hidangan yang tiada kompromi menjadikan ianya salah sebuah restoran yang sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga!
Moyang Pernah Kerja Di Dapur Istana Pahang, Datin Seri Emylia Kongsi Resipi ACAR BUAH

Siapa sangka ketika zaman kanak-kanak sering mengikut moyangnya yang bekerja di dapur istana membuat Datin Seri Emylia cekap memasak di dapur. Air tangan moyangnya sering mendapat pujian Almarhum Sultan Abu Bakar dan keluarga.
“Dulu-dulu masa sekolah rendah saya rajin ikut arwah moyang memasak di dapur istana. Bahan-bahan semua sudah disusun pembantu. Saya suka tengok gaya arwah memasak dan perhati bahan-bahan yang digunakan. Dari situ saya dah mula tahu macam mana nak masak dan bila sekolah menengah saya dah boleh memasak.
Di antara amalan masak arwah moyang adalah membuat rempah ratus yang diproses dan dikisar sendiri. Hingga kini saya amalkannya dan saya tak pernah beli rempah yang sudah diproses dalam peket. Aromanya lebih wangi dan rasanya lebih berperisa. Saya juga buat sendiri pes cili kering dan tidak sekali-kali menggunakan cili boh,” kongsi beliau mengenai ilmu masakan yang diwarisi dari moyangnya dan turut berkongsi resipi acar buah.
ACAR BUAH
Bahan-Bahan :Bahan A (bahan tumis):
1 1/3 cawan minyak untuk menumis (Lebihkan sedikit kerana buah akan menyerap minyak)
1 sudu makan biji sawi (ditumbuk atau kisar tanpa air)
4 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
2.5cm halia
Bahan B (rempah tumis)
3 sudu makan rempah kari
8-10 tangkai cili kering (dibuang biji ,rebus dan kisar. Disangai dan dikisar halus
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh Jintan Putih biji
1 camca teh Jintan Manis biji
Bahan C
4 sudu makan gula merah
2 sudu makan sos cili
Garam secukup rasa
2 sudu makan perahan lemon
Bahan D
Disangai:
1/4 cawan bijan
1/3 cawan biji sawi
Bahan E (Buah-buahan)
50-150 gram setiap jenis buah buahan | kering atau jeruk (limau jeruk dibelah 12 ikut saiz)
2 labu bawang putih | dibelah dua jika bersaiz besar
12-15 ulas bawang merah | dibelah dua Cili Padi secukupnya
* Kalau buah yang berbiji atau besar seperti prune lebihkan sedikit timbangan, dipotong dua atau empat atau biarkan sebiji-biji.
CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dalam periuk.
2. Tumiskan bahan A sehingga garing.
3. Masukkan bahan B, kacau jangan biar hangit dan terus masukkan bahan C.
4. Biarkan sampai mendidih dan sedikit kering (berbuih-buih air gula).
5. Masukkan bahan E dan akhir sekali bahan D dan digaul sedikit supaya bercampur.
6. Usah dikacau terlalu lama kerana buah akan hancur.
7. Bila mendidih terus padamkan api (Jangan masak terlalu lama kerana buah akan kecut).
Sumber: Majalah RASA