Aura dan pesona Baginda jelas terpancar! Masih cantik dan berkaliber sama seperti dulu. Kemunculan istimewa Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menyampaikan Berita Perdana jam 8 malam di RTM semalam amat dinanti-nantikan. Pastinya, kehadiran Baginda mengubat kerinduan rakyat dan penonton setia RTM untuk melihat kembali bekas personaliti tersohor ini di kaca televisyen.
Bersempena sambutan Hari Ulang Tahun RTM ke-75, DYMM Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli menerima undangan istimewa daripada Bilik Berita RTM untuk menyampaikan berita secara langsung dalam slot Berita Perdana di Studio Wisma Berita, Angkasapuri.
Ini adalah kemunculan julung-julung kali Baginda di saluran RTM sebagai penyampai berita setelah kali terakhir ke udara lima tahun lalu pada 31 Ogos 2016. Untuk rekod, DYMM Tengku Permaisuri Norashikin pernah bertugas sebagai Penyampai Berita TV di RTM selama 2 dekad sejak tahun 1996.
Sepanjang tempoh itu, Baginda pernah diiktiraf sebagai Penyampai Berita TV Terbaik sebanyak dua kali di Anugerah Seri Angkasa iaitu pada tahun 2001 dan 2005.
Cukup bersahaja dan tenang menyampaikan berita semalam, Tengku Permaisuri Norashikin kelihatan anggun dengan blazer merah jambu. Keanggunan Baginda amat terserlah dan membuatkan penonton tidak berganjak dari kaca televisyen.
Sementara itu, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menzahirkan ucapan syabas dan tahniah di atas sambutan ulang tahun ke-75 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 April 2021.
Baginda berharap agar RTM terus menjadi wadah penyebar maklumat dan informasi yang tepat dan telus kepada rakyat jelata, serta terus relevan sebagai sumber media utama yang sahih dan berkaliber.
Kredit: Portal Rasmi Selangor Royal Office
This website uses cookies.