Pendatang baharu industri muzik tanah air, Nuha Sakinah Saiful Bahrin atau lebih dikenali sebagai Nuha Bahrin menggenggam Sarjana Muda Pemasaran (Kepujian) pada Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU) 2022 di Cyberjaya baru-baru ini.
Kegembiraan berganda buat penyanyi Nuha Bahrin abapbila berpeluang membuat persembahan di Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia Malaysia (MMU) selain turut menerima skrol Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pemasaran baru-baru ini.
Tidak hanya mendapat sambutan baik dari[ada rakan-rakan pada majlis tersebut, Nuha, 22 juga berbesar hati apabila rakan duetnya, Naufal Azrin turut bersetuju membuat penampilan bersamanya di atas pentas menyanyikan lagu popular mereka, Casablanca.
“Memanglah saya sangat gembira. Selama ini selalu dijemput untuk menyanyi di majlis konvokesyen dan kali ini dapat buat persembahan di hari yang amat bersejarah buat saya.
“Ia telah dirancang sejak awal lagi dan saya terharu apabila Naufal juga setuju untuk tampil bersama di atas pentas. Ini adalah sesuatu yang saya mahu buat untuk universiti,”
Mengakui mempunyai jadual seni yang sibuk, Nuha berjaya memperoleh kelas pertama dalam pengajian merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan buat dirinya.
“Syukur sasaran saya untuk dapat kelas pertama tercapai. Saya amat gembira apabila dapat membuatkan kedua ibu bapa bangga dengan pencapaian ini.
Bukan mudah untuk menguruskan kerjaya seni dan pelajaran dalam masa yang sama. Namun segala penat lelah selama ini berbaloi.
Wanita manis berusia 22 tahun itu memberitahu, resipi kejayaannya adalah membuat sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas dan jangan sesekali menyerah kalah.
Dia yang terkenal dengan lagu duet Casablanca bersama Naufal Azrin itu, memberitahu, perlu mengimbangi masa pengajian dan sebagai anak seni.
“Bagaimanapun, jika kita minat sesuatu perkara dan memberi tumpuan serta mencuba sebaik mungkin tiada yang mustahil untuk dikecapi dalam kehidupan.
“Pengalaman sepanjang hampir empat tahun pengajian, terdapat beberapa ketika saya akan mengulang kaji pelajaran dan menduduki peperiksaan di kafe berikutan terdapat rakaman ataupun sidang media,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia memberitahu, perancangan selepas menamatkan pengajian adalah memberi tumpuan kepada kerjaya seni.
“Saya ingin melihat sejauh mana saya boleh pergi dalam industri ini. Selain itu, saya berhasrat memiliki jenama pakaian sendiri dan jika diberi peluang ingin berkolaborasi dengan jenama-jenama terkenal tanah air,” katanya.
Menutup bicara, Nuha Bahrin memberitahu, impian tidak boleh dicapai tanpa minat dan keikhlasan. Penyanyi ini juga berharap dapat memanfaatkan ilmu di universiti untuk membina empayar perniagaannya sendiri suatu hari nanti. Nuha juga menunjukkan minat dalam bidang fesyen dan bercita-cita memiliki jenamanya sendiri kelak.