Enggan Ikut ‘Jejak Langkah’ Bapa Terjun Ke Dunia Politik, Najwa Mahiaddin Lebih Selesa Bergelar Anak Seni!

Anak kepada bekas perdana menteri Malaysia yang ke-8, Najwa Mahiaddin yang melebarkan sayap sebagai penyanyi, mendedahkan bahawa dia tidak mempunyai hasrat mengikuti jejak langkah bapanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menceburi arena politik negara.

“Saya tak reti nak berpolitik. Secara peribadi, jiwa saya memang lebih tertumpu kepada bidang seni,” katanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu ‘Got To Go’ ini turut menjelaskan, meskipun lahir dalam keluarga ahli politik, namun, Najwa tidak pernah rasa tertekan untuk melakukan perkara yang disukainya.

“Saya tak rasa sebegitu kerana keluarga saya memang sangat faham yang saya memang tidak mempunyai minat ke arah politik. Mereka memang menyokong kerjaya seni saya sejak awal lagi.

“Mereka tahu saya sukakan bidang seni. Bila saya masuk ke universiti pun saya belajar mengenai muzik.

“Jadi, saya tidak pernah rasa tertekan dan keluarga pun tak pernah memaksa saya untuk menceburi sesuatu bidang itu kerana mereka tahu saya sudah ada pilihan sendiri,” ujarnya lagi.

Najwa berkata demikian ketika ditemui pada di majlis tayangan perdana filem Rahsia yang berlangsung di GSC Cinema, Mid Valley, Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu.

Masih Mencari Keseimbangan Anatara Keluarga Dan Kerjaya

Menjawab kepada karier seni yang dilihat agak perlahan berbanding rakan artis lain, Najwa memaklumkan bahawa status ibu sedikit sebanyak membataskan dirinya bergiat aktif dalam bidang seni

“Buat masa sekarang, saya masih lagi mencari keseimbangan diantara kerja dan keluarga. Kalau saya terpaksa keluar bekerja, ibu saya yang akan menjaga anak saya kerana saya tiada pembantu dan segalanya saya buat sendiri.

“Adik-beradik lain pun ada membantu juga. Jadi sementara anak masih kecil ini, saya mahu gunakan kesempatan itu untuk lebih dekat dengan anak saya. Sekarang pun dia sudah faham bila saya harus keluar bekerja,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Najwa turut berharap agar single terbaharunya yang berjudul Alunan Lara yang menjadi lagu runut bunyi bagi filem Rahsia dapat membuka peluang-peluang baharu untuk mengatur semula kerjaya seninya.

“Ketika fasa pandemik, saya pula mengandung. Memang waktu rehat itu agak lama. Namun, saya tetap mempunyai kerja seni di belakang tabir yang tidak memerlukan saya untuk ke hadapan.

“Mungkin baru sekarang pihak media dan peminat dapat melihat saya kembali. Saya juga banyak melakukan kerja-kerja di studio yang bakal keluar tidak lama lagi

“Disebabkan fokus untuk membersar anak, saya kini masih merancang untuk menghasilkan lagu baru. Jadi, saya harap lagu Alunan Lara yang menjadi OST untuk filem Rahsia dapat membuka peluang-peluang baharu untuk saya,” akhirinya.

Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan

Share
Published by
Haifa Nasir