Tiada manusia mahu berkahwin demi penceraian. Rumah tangga yang dibina atas dasar cinta pasti ingin dipertahankan waima masalahnya setinggi gunung mencakar awan. Baik pasangan muda mahupun dewasa, perkahwinan semestinya medan menguji kesetiaan dan keutuhan kasih sayang.
Perkahwinan juga mengajar manusia untuk mengunci nafsu terhadap banyak perkara yang tidak mampu kita lakukan secara bersendiri. Bagi yang memandang ujian itu suatu tusukan positif dalam diri, pasti melihat perkahwinan sebagai platform melengkapi di antara satu sama lain. Anehnya, kepincangan tetap juga berlaku. Puluhan tahun sekalipun perkahwinan itu dibina, manusia sering tewas dengan percaturan hidup sendiri. Jika sudah tersurat olehNya perpisahan, maka yang bermula dengan keindahan, akan ternoktah jua.
Melalui detik penuh duka tatkala diceraikan, Intan Liana Saleh tidak pernah menyalahkan takdir di atas ketentuan jodoh yang tertulis untuk dirinya. Malah, ibu kepada dua cahayamata ini melihat takdir ini sebagai ketentuan Illahi dan mempunyai kenikmatan yang tersendiri tanpa disedari.
PAHIT NAMUN ADA KEMANISAN
Hampir setahun bergelar ibu tunggal, Intan tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit dan meneruskan hidup demi dua cahayamata yang memerlukan perhatian dan kasih sayang darinya. Bagi Intan, tidak ramai yang mampu menghadapi perceraian dengan hikmah, sebaliknya dianggap azab dan musibah. Setiap perceraian pasti membuatkan seseorang itu terluka dan sedih dengan kejadian yang menimpanya.
“ Saya anggap kegagalan menghadapi perceraian dengan hikmah adalah lebih merugikan. Kebanyakan wanita takut kepada perceraian. Ada kalanya perceraian itu menjadi wajib kerana memberi maslahat dan keperluan buat pasangan terbabit bagi membina sebuah kehidupan baru atau sebagai satu proses pemulihan serta peluang untuk memperbaiki diri,” ujar Intan yang memperoleh segala kekuatan melalui dua cahayamatanya.
Walaupun terpaksa melalui pelbagai liku dan kata-kata netizen yang kadang-kala menguris hati dan perasaan, ternyata Intan sudah melupakan episod duka dan bangkit membina keyakinan diri untuk terus mengorak langkah membina kerjaya dan kehidupan yang lebih positif bersama anak-anak.
Malah rezeki Intan dalam bidang peragaan juga tidak kurang hebatnya apabila terpilih menjadi model untuk beberapa jenama fesyen sepanjang kempen Aidilfitri tahun lalu. Memiliki rupa paras yang cantik dengan figura wajah Melayu asli, menjadi salah satu kelebihan buat Intan untuk dijadikan model pilihan untuk jenama fesyen.
“Alhamdulillah ada hikmah di sebalik episod duka yang Intan lalui. Jika sebelum ini Intan hanyalah merupakan seorang suri rumahtangga yang duduk di rumah dan menjaga anak-anak, kini Intan sudah keluar dari ‘kepompong’ dan belajar hidup berdikari. Intan bukan sahaja dapat mencari sumber pendapatan untuk menyara keluarga, malah apa yang lebih penting, Intan sudah perolehi self esteem untuk berhadapan dengan pelbagai situasi.
Ia merupakan pelajaran dan pengajaran yang mematangkan Intan,” ujar Intan Liana yang sanggup melakukan apa sahaja untuk meneruskan kelangsungan hidup demi permata hatinya.
Fahami matlamat hidup itu sebagai ibadat kepada ALLAH. Jika tidak difahami, maka jiwa dan akal dibutakan nafsu serta keghairahan untuk bergembira tanpa batasan dalam dunia yang sementara ini. Kefahaman ini hanya diberi oleh ALLAH terhadap mereka yang memiliki keikhlasan dan berusaha menuju matlamat ubudiyah kepada-NYA,”sambung Intan lagi.
Tambah Intan lagi, dia melihat kehidupan kini dalam perspektif yang pelbagai ragam dan cerita yang mampu memberi kebahagiaan dan menumpahkan air mata. Saya berdoa mudah-mudahan semua pasangan yang berkahwin dijauhkan daripada cabaran berumah tangga sehingga membawa kepada penceraian. Kita masih boleh belajar dan ambil iktibar daripada berita-berita yang terpapar di akhbar mahupun di media elektronik,” ujar Intan lagi yang menjadikan kisah kegagalannya sebagai pencetus menguatkan emosi dan keyakinan diri buatnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, wanita berusia lewat 20an ini menzahirkan hasrat untuk menstabilkan hidup dari segi kewangan demi meneruskan kelangsungan hidup bersama anak-anak.
“Insyaallah tahun ini Intan merancang untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan terutamanya berkaitan kecantikan. Sebagai ibu tunggal, Intan perlu mempunyai rancangan kewangan yang kukuh dan perniagaan adalah jalan terbaik untuk Intan memastikan sumber kewangan yang lebih terjamin. Namun segalanya masih dalam perancangan. Intan masih akan meneruskan kerjaya sebagai model sambilan dan ingin memajukan diri dalam pelbagai aspek. Intan yakin Allah sebaik-baik perancang dan Intan akan laksanakan untuk kebaikan anak-anak,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
This website uses cookies.