Gaya Hidup

Erin Malek Buktikan BERCUTI Ke Luar Negara Dengan ANAK KECIL Bukan Lagi Halangan, Cuma Praktikkan 4 Tip Ini!

Memang best bila dapat pergi melancong ke luar negara. Lagi-lagi kalau bawa anak-anak sekali. Walaupun anak masih kecil, tetap mahu ‘angkut’ mereka bersama. Iyalah, hendak ditinggalkan bersama keluarga mentua atau ibu bapa takut nanti terkenang-kenang pula telatah si comel.

Bawa anak yang masih kecil pergi bercuti ke luar negara sememangnya mencabar. Tambahan pula, destinasi yang bakal anda kunjungi adalah negara yang mempunyai empat musim. Banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum tarikh percutian tiba. Antaranya jenis pakaian, stok makanan, ubat-ubatan dan permainan si kecil.

Sekiranya anda rasa percutian bersama anak-anak kecil itu susah, intai percutian selebriti Erin Malek dan Farriz Fauzy bersama dua anak kecil mereka baru-baru ini. Biarpun anak sulung, Mohamed Faliq; dua tahun dan Nur Aisha baru berusia lapan bulan, Erin tetap ceria menikmati percutian di Australia di samping suami tersayang.

Difahamkan bulan Oktober merupakan bulan romantis buat pasangan ini kerana meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga sejak mendirikan rumah tangga pada tanggal 10 Oktober 2014. Selain itu, bulan istimewa ini juga merupakan bulan kelahiran Faliq pada 1 Oktober lepas.

Menerusi foto-foto yang dimuat naik Erin dalam laman Instagramnya, ibu muda berusia 23 tahun ini mengunjungi lokasi tarikan seperti Elizabeth Quay, AQWA The Aquarium of Western Australia, Hillarys Boat Harbour dan Caversham Wildlife Park. Hendak bercuti dengan anak-anak kecil ke luar negara akan jadi lebih mudah jika pasangan tahu tanggungjawab masing-masing dan saling bertolak-ansur.

Bergilir-gilirlah mendukung dan melayan ragam anak-anak. Pasti anda sekeluarga akan lebih menghargai momen indah ini bersama-sama tanpa ada rasa susah.

Tip Rujukan Semasa Melancong Bersama Anak Kecil

  • Waktu makan & tidur

Apabila mengembara ke negara orang, waktu harian di sana pastinya berbeza daripada tanah air. Persiapkan fizikal dan mental anda untuk berdepan apa jua ragam anak-anak. Apa yang boleh anda jangkakan, si kecil akan tidur dan berasa lapar mengikut waktu Malaysia. Untuk mengelak anak-anak daripada meragam, sediakan segala keperluan mereka ke mana-mana saja. Misalnya makanan, alat permainan atau bantal kecil supaya mereka berasa selesa.

  • Kesihatan

Selain perbezaan waktu, aspek cuaca di negara yang anda lawati juga harus diteliti terlebih dahulu. Jika sedang berada pada musim sejuk, sediakan baju yang tebal, stoking dan sebagainya. Juga, losen atau pelembap kulit supaya kesihatan kulit mereka terjaga. Pastikan ubat-ubatan turut dibawa bersama sepanjang perjalanan.

  • Rancang perjalanan

Seelok-eloknya pilih lokasi dan tempat percutian yang tidak terlalu sejuk atau panas selain menarik minat anak-anak. Ketahui laluan yang bakal ditempuh dan pengangkutan yang bakal dinaiki agar tidak sesat.

  • Stroller & baby carrier

Sekiranya anak-anak masih kecil dan belum boleh berjalan, jangan lupa bawa stroller. Bawa stroller yang mudah dibawa ke mana-mana saja dan tidak berat. Begitu juga penggunaan baby carrier. SUZIANA ABU DAUD

Share
Published by
Suzi