Sebaris ayat, cinta kepada bangsa dan negara Malaysia, saya sanggup mati untuknya… hampir membuatkan jantung penulis luruh ke kaki. Terasa besarnya hati wanita itu, dan alangkah kecilnya jiwa penulis di depan tokoh yang banyak berjasa ini.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 ini, yang jatuhnya pada tahun penuh dugaan, dengan pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonominya, ayuh kita bangkitkan semangat patriotisme dan rasa cintakan negara sehebat mungkin.

Ads

Siapa lagi yang lebih layak mengimbau besarnya nilai kemerdekaan di negara kita, jika bukan mereka yang pernah melalui sendiri peritnya kehidupan pada zaman penjajahan.

Ya, saban kali tibanya tanggal 31 Ogos, nostalgia berbual mesra di kediaman Tan Sri Datin Paduka Seri Zaleha Ismail, sampai sekarang masih meninggalkan rasa rindu mahu membalik masa.

Kalau perlu dikumpulkan semua sumbangan mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu, rasanya tidak cukup sehari. Wanita bijak lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) dari Universiti Malaya ini memegang portfolio kerjaya yang begitu impresif sejak remaja.

Erti Merdeka, Kekejaman Penjajah Pernah Buat Tan Sri Zaleha Ismail Menyorok Dalam Hutan!

Sambil membiarkan penulis ralit meneliti album-album gambar lama, kotak kenangan Tan Sri Zaleha sebagai anak pra-merdeka pun mula terbuka.

Layar nostalgia hitam putih bagai berputar menceritakan kisah keperitan hidup, termasuk yang dilalui sendiri oleh beliau sekeluarga. Paling sukar dilupakan, tentu sekali sewaktu anak jati Kuala Langat itu membesar pada zaman pemerintahan Jepun.

Penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 menandakan satu detik perubahan antara pemerintahan orang Inggeris kepada Jepun. Tan Sri Zaleha yang baru memasuki Sekolah Melayu Sg. Pelek pada ketika itu turut menerima tempiasnya.

“Setiap pagi kami dipaksa berbaris, berdiri menghadap matahari terbit sambil menyanyikan lagu kebangsaan Jepun, Kimi Ga Yo. Hari-hari menyanyi, sampaikan sekarang pun saya hafal liriknya… Kimigayo wa… Chiyo ni, yachiyo ni…” nyanyi Tan Sri Zaleha sambil merenung jauh.

Erti Merdeka, Kekejaman Penjajah Pernah Buat Tan Sri Zaleha Ismail Menyorok Dalam Hutan!

“Di kampung kami, ada seorang budak lelaki yang tugasnya memberi signal jika askar Jepun datang. Setiap kali signal berbunyi, kami semua akan bertempiaran lari ke hutan dan bersembunyi.

Kami akan menyorok di celah-celah perdu pokok sehinggalah suasana kembali selamat. Bimbang jika dijumpai, nyawa akan melayang. Yang gadis akan diperk0sa, kanak-kanak dihambat dengan benet. Orang lelaki atau warga tua pula akan dipukul tanpa belas kasihan.

Pada ketika itu, arwah bapa saya bertugas sebagai penghulu kampung. Namun kerana tak sanggup melihatkan kekejaman askar Jepun, dia tekad meletak jawatan. Bayangkan kalau mereka datang ke kampung, habis rumah-rumah penduduk digeledah.

Bukan itu saja, kami juga pernah menyaksikan bom meletup di depan rumah. Bayangkan betapa takut dan cemasnya pada waktu itu. Mujurlah tiada sesiapa yang tercedera,” imbau Tan Sri Zaleha.

SEKOLAH INGGERIS

Sekitar tahun 1945, setepatnya selepas Perang Dunia Kedua berakhir, beliau sekeluarga pun berpindah ke Bagan Lalang. Cerita Tan Sri Zaleha, di sekolah ada seorang guru bernama Cikgu Atan yang tiba-tiba bertanya, ‘Ada sesiapa yang nak masuk ke sekolah Inggeris?’ kepada semua anak murid.

Maka dia pun cepat-cepat mengangkat tangan, tekad mengambil peperiksaan dan akhirnya diterima masuk ke High School Kajang.

“Pernah saya disindir oleh datuk saudara yang sangat skeptikal terhadap sistem pembelajaran Inggeris. Katanya pelajar Melayu di sekolah Inggeris pasti tak tahu mengucap nanti. Tapi saya keraskan hati. Saya belajar bersungguh-sungguh, lulus ujian dan berpindah lagi ke Methodist Girl School di Kuala Lumpur.

Persepsi negatif orang dulu-dulu terbukti salah kerana pelajar Muslim sebenarnya tidak perlu pun mengikuti kelas agama Kristian sewaktu belajar.

Kebetulan waktu itu, ayah saya menyambung tugas sebagai penghulu kampung di Seputeh, seterusnya ke Sungai Penchala. Saya masih ingat, hari-hari ayah akan mengayuh basikal tuanya untuk menghantar saya ke sekolah.

Perjalanan kami agak jauh, namun masa itulah saya yang membonceng basikal ayah dapat memeluk erat pinggangnya.

Ads

Tidak lama kemudian, ayah ditukarkan ke Salak Tinggi. Di situlah bermulanya fasa berdikari yang sebenar apabila saya terpaksa menumpang di rumah bapa saudara di Kampung Baru.

Berbekalkan duit tambang bas 10 sen, dapatlah saya berulang-alik ke sekolah dengan selesa setiap hari. Dan satu perkara hebat yang saya pelajari sewaktu di Methodist Girl School adalah tentang selflessness. Tentang memberi, dan bukan menerima semata-mata.”

KEMERDEKAAN

Erti Merdeka, Kekejaman Penjajah Pernah Buat Tan Sri Zaleha Ismail Menyorok Dalam Hutan!

Kenangan menyambut hari kemerdekaan, tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sehingga kini masih basah di fikiran Tan Sri Zaleha. “Ketika itu saya masih menuntut di Tingkatan 6.

Awal pagi jam 4, saya sudah keluar rumah di Kampung Baru menuju ke stadium. Dalam cuaca yang agak mendung dan hujan renyai-renyai, saya dan tunang sanggup berpayung semata-mata ingin menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.

Sampai di Stadium Merdeka, saya lihat ramai yang sudah tiba lebih awal daripada kami. Selain masyarakat yang berbilang bangsa, ramai juga menteri dan pemimpin yang hadir. Upacara yang sepatutnya berlangsung jam 8 pagi, ditunda ke pukul 9 kerana hujan lebat.

Saya ingat lagi, sambil saya menanti dengan perut yang berkeriut belum bersarapan, baju yang basah tadi pun sempat kering. Kemudian tibalah saat yang dinanti-nantikan. Detik Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan lafaz keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka! jantung saya bagai ditiup semangat berkobar-kobar.”

Ads

Bezanya anak muda dahulu dan sekarang, sambung Tan Sri Zaleha, adalah pada jati diri yang semakin hilang. “Dulu kami sanggup berhujan dan berpanas, berjalan beramai-ramai dengan satu tujuan untuk menyelesaikan sesuatu isu.

Mungkin sejak kecil telah didendangkan dengan semangat agar menuntut kemerdekaan, kami jadi ‘agresif’ dan berjiwa patriotik.

Anak-anak pasca merdeka pula seharusnya merasa bertuah kerana dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan negara tanpa perlu bersusah payah. Golongan muda sekarang dapat membesar dengan selesa, tak seperti pada zaman saya dulu. Namun jangan sesekali dilupa bahawa pencapaian kita hari ini, harus dipertahankan dari generasi ke generasi.

Ingat, bukan mudah meraih berkat ‘kebebasan’. Jika kita hanyut dibawa arus budaya luar, tak mustahil jika suatu hari nanti ia hilang semula,” pesan Tan Sri Zaleha sambil menekankan pentingnya mengekalkan identiti bangsa Melayu sejati dalam setiap jiwa anak muda.

EVOLUSI

Kesempatan meniti tahun demi tahun dan melihat sendiri evolusi yang berlaku di Malaysia, membuatkan Tan Sri Zaleha percaya tentang kuasa pendidikan. “Selepas kemerdekaan, banyak peningkatan yang berlaku terhadap kehidupan rakyat secara progresif. Saya sendiri berevolusi. Contohnya daripada terpaksa berjalan ke sekolah sejauh 10km, bertukar naik basikal, kemudian naik bas dan akhir sekali naik kereta milik ibu bapa.

Evolusi sebenarnya berkait rapat dengan ilmu. Saya yakin jika kita tidak menuntut ilmu, kita sukar menyumbang bakti secara direct kepada negara. Dengan pengetahuan yang dimiliki juga, kita bukan sahaja dapat menjana ekonomi dan membantu keluarga, malah dapat berjasa melalui sektor yang diceburi.

Erti Merdeka, Kekejaman Penjajah Pernah Buat Tan Sri Zaleha Ismail Menyorok Dalam Hutan!
Foto: LPPKN

Sebagai contoh, saya sendiri merupakan seorang anak kampung yang susah. Namun usaha belajar tanpa jemu akhirnya meletakkan diri saya sebaris di barisan Kabinet Malaysia. Percayalah, peluang itu selalu ada bagi mereka yang berusaha.

Kesempatan melalui pelbagai zaman yang berkembang pesat, selalu membuatkan saya bersyukur ke hadrat Ilahi. Saya bangga kerana dari semasa ke semasa, negara kita mampu menyediakan pelbagai prasarana yang diperlukan rakyat.

Kemudahan pendidikan dan peluang pekerjaan melimpah ruah, maka terpulanglah bagaimana kita harus memanfaatkannya. Sebab itu berulang-ulang saya tekankan, orang perempuan mesti belajar bersungguh-sungguh supaya kita senang mendapat pekerjaan yang baik,” ulas wanita yang menjadikan tokoh Indra Gandhi dan almarhumah Tan Sri Aishah Ghani itu sebagai idola terhebat.

Satu perkara yang penulis kagum tentang Tan Sri Zaleha, adalah fokus beliau terhadap sesuatu yang sedang dibuat. Masakan tidak, di saat sembang kami meleret ke cerita lain, beliau tiba-tiba akan kembali bertanya tentang soalan sebenar yang ditanyakan penulis. Begitulah sikap wanita pintar ini, orangnya tidak mudah melencong.

“Ya, begitu juga jati diri kita. Sayangilah tanah air ini dan martabatkan semula bangsa Melayu. Saya tidak bercakap soal racism, tetapi realiti sejarah pernah mencatatkan bahawa bangsa kita adalah bangsa yang amat gagah dan berani.

Berbanggalah dengan identiti nenek moyang kita, sepertimana bangsa keturunan Red Indian atau puak asli Afrika pada asal-usul mereka. Saya ingin melihat kegemilangan bangsa Melayu yang terbilang, tak kira dari rumpun apa pun, kita harus bersatu-padu,” akhiri beliau.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI