EYRA HAZALI Cetus Inspirasi Anak Muda, Hadiahkan Ibu & Bapa Kereta Proton X70 Baru

Memang benar, usia bukan suatu penghalang kepada apa sahaja yang ingin dilakukan. Melihat personaliti cantik ini menghadiahkan ibu dan bapanya sebuah kereta baharu timbul rasa kagum melihatnya. Walaupun baharu sahaja berusia 22 tahun, namun Eyra Hazali atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina binti Hazali ini sudah menunjukkan contoh terbaik sebagai seorang anak.

Foto: Instagram @eyra.hazali
Foto: Instagram @eyra.hazali

“Alhamdulillah syukur, selalu tertanya-tanya bila dapat belikan mummy dan ayah kereta yang lebih selesa. Hadiah ini tak sebesar jasa mummy dan ayah besarkan kami 7 beradik. Selagi ada kudrat, Eyra akan buat apa saja untuk senangkan mummy dan ayah,” tulisnya di laman media sosialnya.

Foto: Koleksi Majalah Nona

Mengimbau pertemuan bersama ibu kepada seorang anak ini yang ketika itu masih lagi menjadi tunangan kepada suaminya sekarang, penjaga gol Malaysia, Muhammad Haziq Nadzli. Ketika itu ralit mendengar wanita kelahiran Kuala Lumpur ini bercerita tentang penghijrahannya dahulu.

“Mungkin ramai tak tahu cerita sebenar di sebalik penghijrahan saya. Rata-rata mengatakan saya berhijab kerana tunang saya dan pelbagai sebab yang tidak logik. Sebenarnya, ia mengambil masa setahun untuk saya buat keputusan untuk pakai tudung. Sebelum ini saya fikir, jika saya berhijab, tentu susah untuk dapatkan job. Begitu juga dengan artis bila sudah berkahwin. Seolah-olah rezeki kita terhenti di situ. Semua itu salah sama sekali.

Foto: Koleksi Majalah Nona

Kini industri seni semakin terbuka dan banyak watak-watak wanita berhijab mendapat tempat dalam drama mahupun filem. Tidak kiralah sama ada watak baik mahupun jahat. Watak wanita bertudung semakin diterima ramai. Walau bagaimanapun, saya serahkan rezeki pada Allah dan alhamdulillah selepas saya pakai tudung, rezeki saya semakin luas. Tiada istilah jika bertudung, job tersekat atau berkurangan. Sesungguhnya rezeki itu semua datang dari Allah.

Hidayah datang ketika penggambaran drama Mr. Grey sebenarnya. 95 peratus scene dalam drama itu memerlukan saya untuk memakai tudung. Bila tiba waktu rehat, sebenarnya saya boleh saja buka tudung, tapi saya tetap pakai kerana rasa lebih selesa bertudung. Dari situlah, saya yakin ia adalah satu petunjuk dan hidayah Allah nak berikan pada saya.

Foto: Koleksi Majalah Nona

Saya akui sebelum ini, solat saya tidak terurus dan tunggang-langgang. Bermulanya penggambaran drama Mr. Grey, perasaan untuk menjaga solat itu jadi sangat kuat dan dari situ saya berhasrat untuk menjadi Muslimah yang lebih baik. Setahun kemudian, saya rasa sudah bersedia untuk memakai hijab. Saya masih ingat, ketika bangun untuk menunaikan solah Subuh, saya terus nekad untuk menutup aurat sepenuhnya. Penampilan saya waktu itu juga drastik dan mengejutkan ramai pihak termasuk peminat-peminat saya,” kata Eyra yang mula berhijab ketika usianya 20 tahun.

Share
Published by
Hamizatul Maizan Binti Mohamed