Ezan & Sarah Sahabat Dunia Akhirat. Isteri MARK ADAM Terkenang Momen Terakhir Di Mekah Bersama Sarah

Pemergian Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin pada 9 Ogos 2021 akibat wabak COVID-19 cukup memberi kesan dan dianggap sebagai kematian yang dicemburui. Satu pengakhiran terindah dalam keadaan husnul khatimah.

Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin.

Memetik kata-kata daripada pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun menerusi hantaran video yang dimuat naik dalam Instagram miliknya:

Ustazah Asma Harun.

“Subhanallah, ada beberapa tanda husnu khatimah pada kematian Sarah. Antaranya kematian kerana wabak dan melahirkan anak. Masya-Allah. Ia merupakan kematian yang baik (husnu khatimah).”

Selepas pemergian arwah, satu persatu kebaikannya didedah sama ada dari insan yang dikenali mahupun tidak. Namanya ‘harum’ sampai ke kota Mekah kerana turut didoakan serta diadakan solat ghaib buat arwah di Masjidil Haram. Benarlah, pemergiannya sangat dicemburui. Allah SWT mengatur perjalanan ke destinasi terakhirnya cukup indah. Masya-Allah.

Allahyarhamah Siti Sarah bidadari syurga Shuib.

PERSAHABATAN EZAN & SARAH

Kita sedia maklum, Shuib dan Sarah sangat rapat dengan penyanyi Mark Adam dan isterinya, Norazah Redzuan (Ezan). Hubungan yang pada mulanya sekadar sebagai peminat dan artis, akhirnya bertukar menjadi sahabat yang sangat akrab. Bukan sekadar dalam industri bahkan dalam kehidupan peribadi, mereka umpama adik beradik.

Ezan dan Sarah sahabat dunia akhirat.
Norizan atau Ezan isteri Mark Adam.

Gambaran keakraban ini telah dikongsi oleh Ezan (isteri Mark Adam) tentang sikap dan kebaikan Sarah sepanjang mereka bergelar sahabat. Menurut Ezan, arwah Sarah yang paling gembira bila dirinya mula berhijab. Dapat disimpulkan, persahabatan mereka lebih kepada sahabat dunia akhirat. Menurut Ezan, tanah suci Mekah menjadi saksi kenangan terindah mereka. Inilah sahabat dunia akhirat, buat kebaikan sama-sama dan susah senang pun bersama.

Kenangan mengerjakan umrah bersama beberapa tahun lalu.

“Banyak sebenarnya kalau nak dikongsikan, mungkin boleh buta mata ni menangis. Tapi bila tengok ramai sangat yang post pasal arwah, yang berkongsi pengalaman mereka dengan Sarah..happy sangat. Kenangan di Mekah itu lagi tak boleh lupa. Itu saya akan kenang sampai mati.

Dialah yang paling excited sebenarnya yang nak bawa kami ke Mekah. Cerita nak pergi ke umrah ni macam magik. Kalau Allah tak jentik kita untuk pergi ke sana kita tak akan pergi. Kebetulan waktu tu saving kami belum cukup untuk ke sana. Kami cakap pada Shuib, kalau ada rezeki kita pergi. Tuhan nak permudahkan kami, last minute lepas. Pasport, visa dan medical check-up semua lepas. Itulah momen paling happy. Bersukur sangat-sangat.

Di sana (Mekah) kami buat derma sama-sama. Sarah cakap, kalau ada duit lebih sikit dekat sini (Mekah) belilah roti banyak-banyak, kita sedekah kat orang sini. Kami beli banyak berplastik-plastik. Ada 4 plastik kalau tak silap. Semua orang yang kami jumpa kami bagi roti-roti tu.

Esoknya kami plan lagi. Sarah cakap nak beli Quran nak wakafkan di masjid sini (Mekah). Pergi pula cari Quran, benda ni kami buat sama-sama. Saya beli dalam 20 naskhah, Sarah pun beli. Setiap orang kami berikan Quran tu. Momen tu memang susah nak lupa. Lepas balik dari umrah Sarah ada suarakan hasrat untuk datang lagi dan kali ni nak bawa anak-anak. Tapi tak sempat nak pergi. Sayang pada Sarah lebih daripada seorang kawan.

PESANAN BUAT SHUIB

Semoga Shuib tabah menghadapi hari-hari yang mendatang. Jadilah seoarang Daddy dan ibu kepada anak-anak sebaik mungkin. Macam mana Shuib sayangkan Sarah, macam tu jugalah dia sayangkan anak-anak. Insha-Allah lepas habis MCO ni saya dan Mark akan datang ke rumah mereka. Anak-anaknya rajin juga voicenote kami minta datang ke rumah.”

Selain amalan Sarah yang gemar bersedekah, Ezan turut terinspirasi dengan sikap arwah sebagai seorang isteri yang baik dan taat. Ini nasihat Ezan buat buat wanita-wanita di luar sana untuk menjadi isteri yang baik.

“Sayangilah keluarga suami kerana bila kita sayang keluarganya kitalah wanita yang paling dia (suami) sayang.”

Kredit Foto: Instagram @ezzpowers

 

 

 

Share
Published by
Amy Mohd