‘Lembut’ dan tak ada masa depan. Itu antara dilema yang terpaksa ditempuh makeup artist lelaki apabila mereka menceburi bidang solekan. Apatah lagi persepsi negatif ini timbul dek kerana pemikiran kebanyakan masyarakat yang beranggapan dunia kecantikan, kosmetik dan solekan lebih sesuai untuk golongan wanita.
Bercerita mengenai isu ini, teringat insiden yang berlaku semasa ujibakat Fabulous MUA pada 14 dan 15 September lalu. Kehadiran seorang lelaki bergaya maskulin yang turut ditemani isterinya yang hamil ketika itu nyata mencuri perhatian ramai. Disangkakan sang isteri yang mahu menyertai pertandingan… namun sebaliknya pula berlaku. Suami, dikenali sebagai Syamil Tiyat tanpa rasa malu dan segan mengakui mahu menjadi salah seorang peserta.
Ditanya penerimaan ibu bapa terhadap minat tersebut, Syamil yang bertugas sebagai Aircraft Engineering berkata, “Mula-mula bila keluarga tahu saya buat mekap, agak terkejut juga. Tapi sekarang family dah tahu. Begitu juga isteri yang boleh terima minat saya ni termasuk keluarga mentua. Awal dulu memang ada ‘perception’ orang yang tak sedap didengar.
Lepas kenal dengan isteri, saya pernah tanya pandangan dia… macam mana kalau saya hendak belajar lebih dalam lagi tentang mekap ni. Masuk kelas dan sebagainya. Alhamdulillah, isteri sokong dan beri green light. Masa tu family saya tak tahu lagi. Ikutkan, mak saya dulu pun pernah mekap orang juga. Jadi mak andam tapi kejap je. Saya buat mekap secara senyap-senyap je dulu pada awalnya.”
Berkesempatan menemu bual isteri Syamil, jawapan yang diberikan wanita yang bernama Ika Shazana ini sangat mengagumkan dan pastinya dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap makeup artist lelaki. “Saya tahu yang dia dari kecil suka melukis… suka coloring. Saya memang tahu dia ada bakat tu dan saya sokong. Sebab itu saya suruh dia masuk pertandingan ini. Untuk tunjukkan kepada masyarakat yang walau kerja dalam bidang kejuruteraan pesawat tapi dia juga boleh buat kerja mekap ni. Supaya dapat buka mata dan pandangan masyarakat, jangan kita ni fikiran terlalu negatif sangat dekat orang yang suka mekap.
Ditanya tidakkah dia rasa cemburu apabila suami mekap perempuan lain, ini jawapan padu Ika. “Kita kenal suami kita. Sebab dia pun kerja dalam Air Asia jumpa pramugari dan sebagainya. Jadi, sebagai isteri kena ada kepercayaan.”
Sementara itu, mengulas tanggapan sama… salah seorang peserta Top 9 Fabulous MUA, Nik Aswat bersyukur kerana sehingga kini dia tidak pernah lagi di sindir pihak tertentu yang berasa kurang senang dengan kerjayanya sebagai makeup artist. “Alhamdulillah, setakat ini belum pernah lagi saya di sindir atau kena perli. Cuma pernah sekali, saya terpaksa menggantikan seorang makeup artist wanita yang cancel tempahan mekap wedding last minute.
Awal-awal tu memang ada adegan tak best berlaku. Sebaik masuk je rumah pengantin perempuan untuk dimekap, keluarga pengantin tadi tanya siapa saya. Bila dijelaskan yang saya datang untuk mekap pengantin, mak dia terus jeling dan bapa dia pula marah kerana ambil makeup artist lelaki. Mujur saya jenis ‘hati kering’. Saya tak pedulikan pun apa yang mereka cakap dan terus buat kerja. Lepas siap mekap semua… barulah mereka datang dan tegur saya elok-elok.”
Menganggap ia adalah perkara biasa dan cabaran yang harus ditempuh untuk bergelar makeup artist
, Nik bagaimana pun menegaskan dia cukup peka dengan isu aurat dan batas di antara lelaki dan wanita. “Selalunya kalau klien perempuan, saya memang akan pakai sarung tangan. Iyalah, kita pun tak mahu perkara-perkara seperti itu dijadikan halangan. Maaf saya katakan, bagi saya lelaki yang masuk bidang solekan ini adalah mereka yang hebat. Pemikiran mereka sangat jauh ke depan dan kreatif. Kami juga mampu buat bermacam-macam kerja solekan dan dandanan. Tak ada batas,” ujarnya.Seorang lagi peserta iaitu Albin Hassan, mengutarakan pandangan senada. “So far, alhamdulillah zaman sekarang ni dah ramai yang boleh terima makeup artist lelaki. Kerjaya makeup artist ni bukan untuk wanita sahaja. It’s all about art. So seni tu tak kira lelaki atau wanita, yang penting kena ada minat. Kecaman netizen tu mesti ada. Cuma tengok macam mana je kita handle dengan segala kecaman.”
Seperti sudah boleh menghidu tanggapan khalayak yang lebih cenderung ke arah negatif, satu-satunya peserta duo dalam Fabulous MUA ini terpanggil untuk berkongsi pendapat. Kata Shahrul Aznan Ishak dan Muhammad Rohaizat Bahanan atau lebih dikenali dengan gelaran Shahzard Duo, “Yes, memang betul kami tak boleh lari dari stigma sedemikian kerana pandangan orang ramai terhadap bidang ni lebih kepada feminin dan kami juga pernah alami.
Tapi sebagai seorang lelaki yang dikurniakan bakat ini, kami cuma perlu jadi diri sendiri dan tidak menghiraukan fasal kritikan masyarakat. As long as kami tak langgar hukum agama dan budaya kita. Tambahan pula bila kami buat duo mekap, chemistry yang kami ada ni pernah dianggap kami ‘sesuatu’ dan dipandang serong. Bagi kami, mekap ni tak semestinya untuk kaum wanita sahaja sebab bakat ni boleh ada pada sesiapa saja tanpa mengira jantina.”
Bagi peserta wanita dan senior Top 9 Fabulous MUA, Suzana Zainan pula terbuka berkongsi pandangan berhubung perkara tersebut. Tidak mengiyakan mahupun menafikan apa yang berlaku dalam industri solekan, dia bagaimanapun melihat situasi ini secara positif. “Pada pandangan saya, kewujudan makeup artist
lelaki ni tak jadi masalah pun. Setiap MUA tak kira lelaki atau perempuan memang ada sentuhan yang tersendiri.Jadi ibaratnya, ia universal. Yang paling penting bagi makeup artist ialah attitude. Attitude itulah yang sebenarnya membezakan di antara makeup artist ni. Contohnya macam etika kerja. Itu yang membezakan kebanyakan makeup artist … tak kisahlah lelaki ke perempuan kena mengutamakan soal punctuality, kebersihan, dan profesionalisme.
Saya tak nampak ada persaingan di situ. Sebab saya tahu makeup artist perempuan pun tidak kurang hebatnya. Bergantung kepada cita rasa pelanggan. Ada yang lebih selesa dengan makeup artist perempuan dan ada juga sebaliknya.”
Tambah ibu kepada empat anak ini lagi, “Saya tak kisah lelaki masuk bidang ni. Khidmat mereka juga diperlukan lagi-lagi bila melibatkan mekap drama atau filem, waktu masa panjang dan tak menentu… so kewujudan lelaki sebagai makeup artist sangat membantu. Dunia mekap ni terlalu luas. Mereka yang berkecimpung dalam bidang mekap amat beruntung. Tapi make sure kekalkan profesionalisme kalau nak kekal lama.”
This website uses cookies.