Makin lama makin ‘panas’ tengok program realiti digital pertama pencarian makeup artist Fabulous MUA. Memasuki episod ketiga, bahang dan tekanan merebut gelaran juara kian terasa dalam kalangan para peserta dengan masing-masing mula tunjuk ‘taring’ demi menarik perhatian juri selain enggan tersingkir. Namun, nasib tidak menyebelahi Suzana Zainan dan El Manda Suhairy dalam episod kali ini kerana kedua-duanya berada di kedudukan dua terbawah!
Mengetengahkan tema solekan Quick Makeup, peserta hanya diberi masa 30 minit untuk menyiapkan tugasan kali ini. Dalam keadaan masih terpinga-pinga menerima cabaran tersebut, peserta sekali lagi dikejutkan dengan satu lagi ujian… iaitu hanya dibekalkan 10 produk Farmasi Color Cosmetics (FCC) sahaja!
Aduh, sudahlah kena cepat. Cuma guna 10 barang mekap pula tu. Memang menguji kemampuan. Patutlah emosi peserta terganggu dan salah seorang yang paling tercalar emosinya ialah Suzana Zainan!
Mana tidaknya, orang lain dapat sekotak barangan mekap FCC yang lengkap dengan 10 produk. Tetapi Suzana atau lebih dikenali sebagai Ana pula, dapat kurang daripada jumlah itu. Semuanya gara-gara kesilapan Ana sendiri yang tidak membawa kesemua barangan kosmetik FCC yang telah diberikan kepada setiap peserta. Sebaik menyedari kekurangan tersebut, air mata Ana mengalir laju dan berkali-kali ayat ‘Aku tak boleh buat’ terpacul dari bibirnya sambil menghentak-hentak kotak mekap yang ada di atas meja sebagai tanda kesal.
Melihat keadaan Ana yang sedang berang, para peserta dan model datang menenangkan ibu empat anak ini dengan kata-kata semangat. Kata Ana, “Dengan rasa tak sedap hatinya, saya tengok dekat meja saya tu hanya ada powder, ada eyeliner, eyebrow dan maskara set. Saya terus cakap, ‘Apa ni… Aku tak boleh buat, aku tak boleh perform benda ni. Takkan benda ni je ke aku nak bagi makanan untuk family aku.’
It’s very hard, very frustrated… makeup ni my passion. Nak berkarya memang sepenuh jiwalah. Ia bukan sebab kita nak buat benda-benda ini untuk glamor. No! Saya ada strong reason tak bawa full kotak mekap FCC.”
Situasi tegang itu berlarutan selama hampir 15 minit sebelum Ana kembali tenang dan mula menata rias wajah model yang juga rakan karibnya sejak kecil. Disangkakan ‘derita’ Ana sudah berakhir, rupanya ia kembali hangat sebaik jurusolek terkemuka iaitu Nurul Shukor datang memantau solekan peserta. Terkejut dengan barang mekap Ana yang sangat terhad, Nurul Shukor atau selesa digelar Babah menyapa dengan penuh tanda tanya.
“Kenapa jadi macam ni? Dengar khabar mereka bagi satu box, kan? Ini pertandingan, I don’t care. Aku cabar kau, Ana… aku cabar kau betul-betul sekarang. Aku nak dalam masa dan produk ni kau boleh buat mekap terbaik daripada mereka. Jangan tunjuk kau nak menangis, aku nak tengok kau buat betul-betul,” tegas Nurul Shukor.
Dek kerana kreativiti Ana terhad akibat kekurangan barang mekap, dia berada di kedudukan tercorot bersama seorang lagi peserta, Manda yang akhirnya disingkirkan daripada Fabulous MUA.
Sementara Ummi Kay yang pernah dikritik hebat juri dalam episod pertama disebabkan solekannya seperti ‘perempuan kampung’… kembali bangkit membuktikan kemampuan diri. Dalam episod kali ini, konsep ‘the eye upside down’ yang dipertaruhkan berjaya menarik perhatian para juri dan disifatkan sangat urban, chic dan fresh. Sekaligus dinobatkan sebagai pemenang bagi episod ketiga setanding pemenang episod terdahulu iaitu Shahzard Duo dan Arda Dhia.
Kini hanya tinggal enam sahaja peserta yang masih bertanding untuk memenangi gelaran juara Fabulous MUA yang turut bakal membawa pulang trofi, wang tunai, barangan kemas Habib Jewels, penginapan dua hari satu malam di hotel Sunway Group, produk penjagaan wajah Nafura, produk kosmetik FCC dan Bag O Bag. Episod ketiga ini turut menampilkan Nurul Shukor, Sheila Mohamed dan Kilafairy sebagai juri jemputan. Manakala Kiffy Razak dan Ili Zawani kekal sebagai juri tetap.
Saksikan episod seterusnya Fabulous MUA pada Jumaat, 8 November ini jam 8 malam di saluran Youtube, Facebook dan laman web Majalah Nona.
This website uses cookies.