#FABULOUSMUA Minat Make Up, Dorong Zukif Cabar Kemampuan Diri Sertai Fabulous MUA!

Penampilan menarik, bergaya bagai model! Itu adalah persepsi awal penulis tatkala melihat penampilan peserta Fabulous MUA NONAXFCC menghadiri sesi briefing awal peserta baru-baru ini. Muhammad Zulkifli Naim Mohd Daud, merupakan peserta termuda Fabulous MUA yang terpilih menyertai rancangan realiti digital anjuran majalah NONA yang julung kali diadakan.

Sebagai peserta termuda di antara sembilan peserta yang lain, pastinya pengalaman dirinya masih ‘hijau’ berbanding peserta-peserta lain yang  mempunyai pengalaman dalam bidang solekan.

Namun itu tidak pernah menjadikan Zukif tidak yakin dan rendah diri untuk meneruskan persaingan dalam rancangan realiti digital bagi menimba pengalaman bukan sahaja dari para peserta, malah para juri yang bakal mengadili hasil seninya itu. Bagi Zukif, ini merupakan platform dan peluang terbaik buat dirinya menimba ilmu untuk digunakan dalam kerjaya hariannya.

Segalanya bermula dari minat terhadap alat solekan menjadi titik permulaan untuk Zukif mencari keserasian dalam dunia solekan yang menjadi sebahagian rutin seorang wanita. Bagi dirinya, melihat wanita tampil cantik dengan bantuan alat solekan menjadi salah satu sebab mengapa dia meminati make up.

“Pada mulanya saya tidak tefikir untuk menjadi MUA. Tetapi, lama-kelamaan apabila saya mula bereksperimen dengan alat solekan dan menggunakan wajah kakak saya sebagai model solekan, lama-kelamaan saya belajar mengenai teknik solekan melalui pemerhatian, latihan dan You Tube.  Itu antara sejarah awal bagaimana saya bermula dalam bidang solekan ini sejak tahun 2016,” ujar Zukif yang mempunyai perwatakan yang mudah untuk didekati.

Ditanya apa yang mendorong dirinya menyertai Fabulous MUA NONAXFCC, tambah Zukif dia menyertai program realiti digital ini setelah dicabar oleh kawan baiknya untuk sama-sama mencuba bakat menghadiri sesi ujibakat yang diadakan di MSU awal September lalu.

“Saya sebenarnya tidak membuat sebarang persediaan rapi ketika menghadiri sesi ujibakat Fabulous MUA ini kerana saya dipaksa oleh rakan baik untuk menemaninya menghadiri uji bakat tersebut.  Saya sahut cabarannya untuk sama-sama menghadiri ujibakat. Tak sangka pula saya terpilih ke peringkat seterusnya dan kemudian layak menjadi top 9 Fabulous MUA. Saya anggap ini rezeki dan dorongan untuk saya meneruskan minat dalam dunia solekan walaupun saya tidak terfikir untuk menjadi Make Up Artist,” ujar Zukif jujur mengenai perjalanan yang dilaluinya sebelum terpilih menjadi top 9 peserta Fabulous MUA.

Menyentuh mengenai idola dalam dunia solekan, Zukif amat meminati hasil karya  Syedewa dan Khir Khalid kerana solekan kedua-dua jurusolek professional tersebut mempunyai sentuhan yang everlasting dan sentiasa nampak cantik dan kemas. Tidak hairanlah mengapa  Zukif lebih selesa mengetengahkan konsep solekan malar segar yang menjadi trademark buat dirinya kerana dirinya amat meminati solekan yang minimalis.

Mengakui baharu setahun jagung dalam bidang solekan, Zukif masih terlalu hijau dalam dunia solekan dan perlu belajar banyak lagi asas dan teknik solekan agar perjalanannya dalam dunia solekan ini lancar dan  dikenali oleh golongan selebriti dan VIP. Walaupun sebelum ini dia belum berkesempatan menata rias selebriti mahupun golongan VIP, Zukif berharap penyertaannya dalam Fabulous MUA membuka platform dan ruang untuk dirinya memperbaiki skill solekan dan komunikasi memandangkan rancangan digital Fabulous MUA bukan sahaja melakukan penjurian terhadap hasil solekan semata-mata, malah social skills

serta kemahiran berkomunikasi juga diambil kira memandangkan seorang make up artist yang serba boleh mampu  berkomunikasi dengan baik terutamanya ketika menatarias golongan VIP, Kerabat Diraja mahupun selebriti.

Saksikan Zukif dan lapan lagi peserta yang bertanding dalam Fabulous  MUA NONAxFCC bagi merebut gelaran juara program realiti digital pencarian make up artist pertama di Malaysia ini. Fabulous MUA NONAXFCC bakal bersiaran menerusi platform digital Majalah NONA. Antaranya di YouTube, Facebook dan laman web rasmi majalah NONA bermula 1 November ini, jam 8 malam. Pertandingan ini dihoskan oleh Fiza Frizzy manakala Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani Ismail dan Editor Pengurusan Majalah NONA, Kiffy Razak selaku juri tetap.

 

 

 

 

Share
Published by
Rosmah Idayu