#FABULOUSMUA Mula Cari Duit Umur 10 Tahun, ALBIN HASSAN Kongsi Hidup Susah Bersama 17 Beradik!

Takdir hidup salah seorang peserta Top 9 Fabulous MUA Nona X FCC iaitu Albin Hassan ini sememangnya sarat dengan onak duri. Sejak kecil dia sudah menyaksikan jerih perit kehidupan dan kesusahan kedua-dua ibu bapanya membesarkan mereka 17 beradik! Tinggal di sebuah rumah kecil di pedalaman Sabah… Albin bersama mak ayah dan adik-adik yang masih kecil ketika itu terpaksa menjalani hidup serba kekurangan. Pun begitu, anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu ini bersyukur kerana kasih sayang mak dan ayah kepada mereka tidak pernah kurang.

Disifatkan seorang yang rajin, dedikasi, positif dan berjiwa cekal, Albin atau nama sebenarnya Albion Hassan mengakui sudah lama memendam impian untuk bergelar makeup artist berjaya. Cukup berhati-hati berkongsi kisah hidup kerana tidak mahu pengakuannya disalah erti… jejaka berusia 33 tahun ini berkali-kali menjelaskan, perkongsian yang dibuat ini bukan untuk meraih simpati. Jauh sekali menyalahkan takdir ilahi.

“Sebelum ini saya memang dah ada kerja. Cuma minat saya terhadap mekap dah lama dan teringin hendak kerja dalam dunia makeup artist ini betul-betul. Jadi, saya ambil risiko berhenti kerja untuk fokus mekap secara full time. Bukan untuk raih simpati tapi apa yang ingin saya sampaikan ini adalah realiti sebenar yang tak semua orang dikurniakan kehidupan senang. Kalau kita rasa hidup kita susah, ada lagi yang lebih susah.

Pernah ada orang tanya, “Kenapa umur 33 tahun baru hendak jadi makeup artist?

Tak rasa dah terlambat ke?” Jujur saya katakan, perjalanan hidup saya tak seperti orang lain. Saya dilahirkan dari keluarga yang sangat susah dan ada 17 adik-beradik. Saya ingat lagi masa sekolah rendah, mak hanya mampu bagi duit belanja saya 20 sen je. Saya pula kena berjalan kaki ke sekolah sejauh tiga kilometer. Masa tu memang rasa jauh sangat. Iyalah, budak-budak. Lagi-lagi bila hujan, habis kasut basah. Setiap hari, pukul 5 pagi lagi mak dah kejut bangun sebab sekolah jauh.”

Meskipun sedaya-upaya menyembunyikan kesedihan, namun jelas kelihatan air matanya bergenang. “Bukan tak bersyukur. Dah tertulis takdir hidup saya begitu. Saya hanya sempat bersekolah sampai darjah 3 sahaja. Mak terpaksa berhentikan kami empat beradik daripada sekolah sebab adik saya menghidap kanser mata. Masa tu kami di Sandakan dan mak kena bawa adik ke Kota Kinabalu untuk buat pembedahan. Memang mak ayah dah tak ada duit untuk bayar yuran sekolah, ditambah pula dengan perbelanjaan pembedahan adik.

Lepas dapat tahu adik ada kanser dan berhenti sekolah, saya cuba cari kerja. First kerja yang saya buat ialah cuci kereta di rumah seorang Datin. Masa tu umur saya 10 tahun dan saya dapat upah RM10. Duit yang saya dapat, saya bagi dekat mak. Waktu itulah saya nampak macam mana susahnya keluarga saya. Ayah pun kerja tak tentu. Disebabkan saya dah besar berbanding adik-adik yang lain, saya sanggup kerja untuk bantu keluarga. Lagipun, saya ada seorang adik yang autisme.

Albin di samping adik autismenya, Rangga @ Rizal yang kini berusia 18 tahun
Keluarga besar Albin

Tak lama lepas tu, adik saya meninggal. Simpati dengan nasib keluarga kami, mak cik saya sendiri minta saya tinggal dengan dia dan jadi ‘budak suruhan’ atau pembantu rumah. Saya ditugaskan basuh pinggan dan kain, sapu sampah, kemas rumah… sama macam pembantu rumah lain buat. Setiap hari saya diberi gaji RM5. Tujuh tahun jugalah saya duduk di rumah mak cik selain pergi cari duit lebih di tempat lain.

Sebab teringin hendak belajar balik, saya kumpul duit untuk belajar di sebuah sekolah swasta di Sandakan. Tapi sayang, saya dapat belajar sekejap sahaja sebab tak cukup masa dan duit. Sudahnya, saya nekad pergi cari kerja di Kota Kinabalu atas pelawaan seorang kawan. Alhamdulillah, mak izinkan saya kerja di sana asalkan saya pandai jaga diri. Sebelum dapat kerja di sana pun macam-macam benda tak elok jadi,” ujar anak ketiga daripada 17 adik-beradik ini.

Dek kerana keadaan yang terdesak di Kota Kinabalu, Albin pernah merayu kepada majikan di sebuah restoran agar diberikan apa jua pekerjaan kerana tiada wang untuk pulang ke Sandakan. Mujur, majikan tersebut menerima Albin dan diberi gaji ribuan ringgit sebagai pelayan. “Bila sebut bab keluarga, saya cepat rasa sedih dan mudah menangis sebab saya tahu betapa susahnya hidup kami.

Umur 17 tahun saya dah kerja jadi waiter dan lama juga saya kerja di situ. Setahun lepas dapat kerja ni, saya ambil kelas Bahasa Inggeris sebab saya hendak buktikan kepada orang yang pernah caci saya yang saya juga boleh berjaya. Saya baru berhenti kerja tersebut tahun lepas dan mula serius ambil tempahan mekap dari customer. 

Sebenarnya, niat masuk bidang mekap ini sebab hendak beri rezeki yang halal untuk mak dan keluarga di kampung. Tapi bukan mudah, ada saja ujian yang Allah bagi. Masa masih kerja jadi waiter, saya ada seorang klien tetap dan selalu panggil untuk mekapkan dia. Ada kalanya saya tak sempat buat sebab sibuk kerja dan saya beritahu dia, saya akan berhenti kerja waiter sebab hendak buat mekap. Tapi bila dia tahu saya berhenti kerja, terus dia tak panggil saya lagi dah.

Alhamdulillah, selama 10 tahun duduk di KL ni saya jumpa orang yang baik sangat iaitu housemate saya, Rizal. Dia yang banyak tolong saya dari waktu saya susah dan tak minta walau satu sen duit sewa sebab dia tahu keadaan saya dan pernah datang rumah saya di kampung.”

Ditanya apa yang dilakukannya sekarang, sambil tersenyum Albin memberitahu, “Sampai saat ini, saya tak ada kerja tetap lagi. Apa yang saya buat untuk sara hidup masa ini ialah dengan buat live tutorial

mekap dan dalam masa sama saya cuba untuk branding nama saya sebagai makeup artist. Nak kata tak ada job mekap langsung, tak juga. Dalam sebulan, adalah dua ke tiga job orang panggil.”

Melihat potensi yang ada pada Albin, tidak mustahil satu hari nanti dia mampu kejar impian yang diidamkan selama ini. Bagi penulis, Albin bukan hanya makeup artist tapi dia juga pejuang yang ‘kalis’ cabaran kerana kecekalannya untuk menikmati kehidupan lebih selesa dan terjamin. Lagipun Albin seorang makeup artist yang versatil.

Antara selebriti yang pernah menggunakan khidmat Albin termasuk Norman Hakim, Altimet, Sissy Iman dan Ayu Damit. Selain menata rias wajah selebriti, Albin juga menerima tempahan solekan untuk pertunangan, perkahwinan, fashion show, photoshoot dan sebagainya. Jadi, bagi yang bakal bertunang atau bergelar raja sehari tidak lama lagi… bolehlah cari Albin!

Saksikan Albin dan lapan lagi peserta yang bertanding dalam Fabulous MUA Nona x FCC bagi merebut gelaran juara program realiti digital pencarian makeup artist pertama di Malaysia ini. Fabulous MUA Nona x FCC bakal bersiaran menerusi platform digital Majalah Nona. Antaranya di Youtube, Facebook dan laman web rasmi Majalah Nona bermula 1 November ini, jam 8 malam. Pertandingan ini dihoskan oleh Fiza Frizzy manakala Pengarah Urusan FCC, Ili Zawani Ismail dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak selaku juri tetap.

 

 

 

 

 

 

Share
Published by
Suzi