#FabulousMUA Sayang Duit Atau Sayang Kulit? Ini Sebabnya DR. LIYANA Bidas Wanita Beli Produk Mekap Tiruan!

Lambakan produk kosmetik tiruan semakin membimbangkan lebih-lebih lagi apabila terdapat banyak kes yang telah dilaporkan akibat penggunaan kosmetik tiruan ini.

Pakar Perubatan Klinikal dan Aesthetics & Pakar Aesthetics @Callalyn Aesthetics by PrimaNora, Dr. Liyana Dhamirah Aminuddin, telah menghuraikan lebih lanjut tentang penggunaan mekap tiruan ini.

Menurut Dr. Liyana, wanita patut tahu bahawa setiap kosmetik yang dipakai mempunyai kandungan bahan kimia yang telah diproses. Setiap bahan kimia boleh membahayakan diri terutamanya jika pendedahan yang keterlaluan.

“Sehingga kini kandungan keselamatan sesuatu produk kosmetik adalah mustahil untuk dibuktikan kerana masih belum ada lagi organisasi yang benar-benar mengawal dan memeriksa kandungan kosmetik di pasaran berbanding dengan ubat-ubatan. Ini kerana setiap ubat-ubatan perlu mendapat lesen sebelum dipasarkan sebagai contoh di negara kita perlu dilesenkan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum boleh dipasarkan.

Alat solekan tiruan dan asli, ternyata mesti ada bezanya terutama pada harga. Jenama ternama sebagai contoh mempunyai reputasi yang penting untuk dijaga. Ini yang menyebabkan potensi untuk barangan mereka menjadi rosak dan risiko mendatangkan masalah kepada pengguna adalah lebih rendah.

Dr, Liyana Dhamirah Aminuddin, MB BCh BaO ( Ireland), MRCP (United Kingdom), Masters in Anti-Aging, Regenerative Medicine and Medical Aesthetics (Malaysia), Diploma in American Academy of Aesthetics Medicine (USA)

Alat solek tiruan memang ada besar kemungkinan menggunakan teknologi pembuatan yang tidak setanding dengan jenama asli dan ini meninggikan lagi risiko seseorang pengguna mendapat masalah sampingan selepas menggunakannya.

Sekiranya terdapat masalah yang berlaku tiada tindakan yang boleh diambil oleh pengguna terhadap penjual kerana sememangnya risiko itu diambil oleh pembeli itu.

“Manakala jika masalah berlaku dengan memakai alat solek asli pembeli boleh memulangkan semula produk dan boleh membuat pengaduan. Dengan adanya polisi sebegini jenama-jenama ini lebih prihatin dan berhati-hati dengan kualiti produk kosmetik yang dipasarkan,” tegas Dr. Liyana.

Tambahnya lagi, “Terdapat banyak kandungan kosmetik berbahaya dan memudaratkan kesihatan di antaranya adalah, apabila diserap daripada kulit akan mengubah struktur kestabilan sel-sel dalam badan. Apabila perubahan ini berlaku ia mengganggu pelbagai sistem dalam badan seperti sistem endokrin, hormon reproduktif dan saraf.

Perubahan struktur sel juga boleh menyebabkan sel-sel ini mutasi dan seterusnya menjadi sel-sel kanser. Perubahan struktur sel ini juga dinamakan bahan karsinogenik.

Bagi golongan yang ingin memiliki alat solek yang berjenama tetapi kurang berkemampuan, saya sarankan agar membeli alat solek berjenama yang kurang kosnya. Ini kerana anda masih boleh membuat aduan sekiranya kesan sampingan berlaku.

Lebih baik wang yang ada digunakan untuk perbaiki kulit kita dengan ubat-ubatan yang dinasihatkan oleh doktor atau mendapat rawatan kulit dari doktor yang mahir.

Rawatan kulit boleh meningkatkan keyakinan diri dan keluar rumah tanpa sebarang kosmetik. Buat pengetahuan umum, sebenarnya ubat-ubatan adalah murah jika berbanding dengan produk kosmetik.

Bagi mereka yang benar-benar mempunyai masalah kulit seperti masalah jerawat yang teruk daripada cuba menutup masalah kulit dengan solekan lebih elok mendapat rujukan kepada Pakar Kulit di Hospital Kerajaan untuk rawatan sepatutnya dan ini sememangnya meringankan kos.

Bagi golongan yang bergantung kepada kosmetik disebabkan kerjaya atau sudah menjadi kebiasaan saya menasihatkan agar sentiasa menanggalkan solekan secepat mungkin dan jangan sesekali tidur dengan solekan dan kurangkan penggunaan solekan pada masa anda tidak memerlukannya.

Sememangnya penampilan segak itu adalah aset peribadi seseorang dan ia tidak boleh diremehkan oleh itu kepada golongan muda remaja saya amat mengesyorkan penjagaan kulit dari awal supaya tidak perlu terlalu bergantung kepada produk kosmetik di hari depan,” ujar Dr. Liyana.

Panggilan untuk semua makeup lovers. Tunjuk bakat masing-masing dengan menyertai Fabulous MUA Nona x FCC.

Share
Published by
Hamizatul Maizan