Wanita dan lipstik memang tidak dapat dipisahkan. Jika anda mengaku sebagai beauty lover maka wajib menyimpan paling tidak sebatang lipstik di dalam tas tangan.
Memiliki lebih daripada satu warna lipstik memang sangat diperlukan kerana ia perlu padan dengan baju yang dipakai. Setiap warna juga memiliki efek yang berbeza dalam penampilan.
Sebelum itu kita perlu semak jenis lipstik yang perlu dipakai. Bagaimana memilih lipstik tahan lama di bibir dan bagaimana pula ingin bibir tampil penuh? Setiap lipstik mempunyai bentuk dan kelebihan yang berbeza.
(a) Lipstik Matte
Lipstik jenis ini biasanya didatangkan dalam bentuk batang. Lipstik jenis matte memiliki warna yang solid dan berbagai. Kebiasaannya lipstik jenis ini tidak berkilat dan hanya memiliki sedikit pelembap.
Bagi memelihara kelembapan bibir elok menyapu pelembap bibir terlebih dahulu sebelum mengoles lipstik di bibir. Lipstik jenis ini memiliki kelebihan tahan lama sepanjang hari sehingga tidak perlu sering menambahnya.
(b) Lipstik Satin
Kewujudan lipstik jenis satin ini hampir sama dengan jenis matte. Cuma lipstik jenis satin mempunyai tekstur yang berkilat dan mengandungi pelembap yang lebih banyak berbanding lipstik matte. Lipstik jenis ini tidak melekit dan sangat popular kerana tidak perlu gusar bibir kering selepas dioles.
(c) Lipstik Glossy
Bentuk lipstik jenis glossy ini tidak padat serta mempunyai tekstur cair dan kental. Mempunyai warna yang pelbagai dan memberi efek berkilat. Terdapat juga lipstik jenis ini disertakan sekali glitter untuk kesan yang ketara.
Kelebihan lipstik jenis ini memberi efek bibir kelihatan penuh dan seksi. Cuma perlu berhati-hati kerana lipstik ini mudah melekat apabila tersentuh. Selain itu, ia tidak tahan lama dan perlu sering mengoles jika sudah hilang dari bibir.
(d) Pensel bibir
Pensel atau pengalit bibir berfungsi untuk membingkai bibir agar boleh melukis bentuk yang dikehendaki. Tidak semua orang memiliki bibir yang sempurna maka pensel bibir boleh menebalkan bibir yang nipis dan simetri bibir jika tidak sempurna.
Setelah melukis bibir sapu lipstik agar tampil semakin cantik dan bergaya. Jangan sekali-kali tidur tanpa membersihkan lipstik di bibir.
Wajah Seiras Arwah Ibu, IRDIENA Warisi Kecantikan & Sikap FAZIANI ROHBAN!
Perginya pengasas kosmetik Dnars, arwah Faziani Rohban pada Mei lalu meninggalkan seribu satu pengajaran… bukan saja kepada masyarakat tetapi juga lapan cahaya mata arwah. Salah seorang anak yang nekad meneruskan sifat terpuji arwah Faziani ialah Irdiena Hakim berusia 17 tahun dan dikatakan antara anak yang memiliki raut wajah paling iras dengan ibunda tersayang.
Aktif menaikkan kembali empayar ibu tersayang, Irdiena atau nama panggilannya Gegirl sering mendapat perhatian ramai yang mengganggap dia umpama jelmaan usahawan ternama berkenaan. Dari gaya dan senyuman, memang saling tidak tumpah seperti allahyarham Faziani. Tambahan pula, Irdiena gemar mengenakan baju, aksesori dan beg tangan milik ibunya.
Tampil lebih menawan selepas berjaya menurunkan berat badan, gadis ini dilihat ligat mempromosikan produk pelangsingan badan Cocoliff. Sedar setiap gerak geri dan penampilannya akan membuatkan masyarakat mengingati kelibat ibu tersayang, Irdiena pernah mengulas mengenai perkara tersebut di media sosial miliknya.
Ujar Irdiena, “Here’s still having a shadow of Faziani Rohban, so all of you don’t need to be sad ok. Aturan Allah SWT semuanya dah cantik! Just keep our beloved bonda Faziani Rohban in your prayers.”
Selain memiliki wajah seiras arwah ibu, Irdiena juga bertuah kerana mewarisi sikap Faziani Rohban. Antara persamaan ketara di antara dirinya dan ibu tersayang adalah sifat yang berani. “Gegirl seorang yang tak takut dengan manusia, keras dan menjawab. Sebagaimana yang bonda ajarkan “JANGAN TAKUT DENGAN MANUSIA, HANYA TAKUT DENGAN TUHAN”.
Nak cepat mengalah? That’s not me at all sebab mungkin dalam jiwa saya ada jiwa bonda saya. Bonda yang tak pernah tahu apa itu erti KETAKUTAN dan bonda ialah seorang wanita yang kaya di dunia hanya dengan hasil titik peluhnya sendiri. Manakala kaya di akhirat dengan sifat dermawannya. MashaAllah. Semoga gegirl sentiasa ikut jejak bonda, “KAYA DENGAN HASIL TITIK PELUH SENDIRI”.
Masih teringat dengan kata-kata bonda setiap kali dia marah if Gegirl tak yakin nak buat sesuatu atau buat something separuh jalan dan tak fokus untuk satu benda. Katanya, tiada yang mustahil untuk kita pergi semakin jauh sekiranya ada 4 benda ni dalam diri. Fokus, Yakin, Rajin dan Tidak Ada Pengecualian. So tiada alasan untuk tidak berjaya dalam hidup ni, apa yang terjadi kepada kita sekarang adalah kerana pilihan diri sendiri,” jelasnya.
Terkenang kembali sisi ceria dan peramah isteri Ahmad Shah Rizal Ibrahim sewaktu menjadi penghias kulit Nona pada Mei 2016. Tika itu anak bongsunya, Qaseh Khadija baru mencecah usia tiga tahun.
Yang pasti, perniagaan Dnars cukup dekat di hati Irdiena kerana arwah Faziani menamakan produk berkenaan daripada singkatan nama Irdiena. Kata-kata arwah yang paling penulis ingat sehingga sekarang ialah sikapnya yang suka mendahulukan orang lain.
Antara bait-bait kata yang disampaikan arwah, “Rezeki untuk dikongsi dan Dnars bukan rezeki saya seorang. Konsep saya, rezeki yang diterima hari ini patut dikongsi bersama orang lain. Rezeki itu datang daripada kita untuk diagihkan kepada semua.
Saya sering tanamkan dalam hati supaya tidak rasa sayang mengeluarkan duit untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Orang paling utama dalam hidup saya adalah ibu bapa, anak-anak, suami dan adik-beradik. Akhir sekali baru saya fikirkan tentang diri sendiri.
Kalau dia hendak tarik nikmat ini sekejap saja. Memang saya mahu semuanya berpanjangan. Tetapi apa yang akan berlaku kelak saya reda dan tak mahu riak. Bila saya senang, Tuhan hadirkan semua orang susah di sekeliling saya. Saya tahu Dia nak uji sebab itu niat saya waktu pernah susah dulu. Bulatkan hati dan niat kita.
Kalau kita tengah makan dan ada orang datang minta sedekah, beri sumbangan ikut kemampuan kita. Saya percaya ada ketika bukan doa kita saja yang sampai ke Tuhan. Doa orang-orang yang kita bantu inilah yang memurahkan lagi rezeki kita.”
Mulianya hati arwah. Moga Allahyarham Faziani ditempatkan dalam kalangan orang-orang beramal soleh dan usaha murni yang pernah dilakukan menjadi sumber inspirasi kepada semua untuk saling membantu dan mengejar akhirat.
Kredit: Instagram Dnar Faziani
Manifesto Kecantikan Nona Bulan Ini
Wanita merupakan insan yang sangat beruntung kerana jenama kecantikan antarabangsa mahupun tanah air berlumba-lumba untuk menyediakan produk yang bermafaat untuk kecantikan kulit. Namun, wanita perlu bijak untuk memilih produk yang terbaik untuk kulit mengikut keperluan kulit dan gaya hidup yang diamalkan. Walau apa pun pilihan namun, kata kunci bagi mengekalkan kecantikan kulit wajah adalah dengan mengunci kadar kelembapan yang diperlukan agar kulit kekal anjal dan awet muda. Pencemaran dan stres merupakan musuh utama bagi mencapai kulit sihat, oleh itu lindungi kulit agar kekal sihat dan cantik mengikut keperluan diri. Produk pilihan Nona pada bulan ini;
SOLUSI KULIT SENSITIF
Memiliki kulit yang sensitif memerlukan penjagaan yang rapi berbanding mereka yang mempunyai kulit normal. Namun faktor persekitaran seperti pencemaran udara, terdedah kepada pendingin hawa, panas dan lembap serta kekurangan penghidratan, menyebabkan kulit menjadi sensitif dan tidak selesa, kering atau merekah. Tiba masa untuk bertukar kepada derma365 yang terbukti secara klinikal dan dermatologi yang dirumuskan khusus serta menawarkan penyelesaian kulit sensitif harian. Hadir dalam sistem penjagaan kulit lengkap, Gentle Cleanser dan Gentle Lotion untuk melegakan kulit dan melindungi kulit dari persekitaran luaran yang sukar.
EPAL LINDUNGI RAMBUT
Masalah rambut memang membuat wanita menjadi tidak selesa sehingga menyebabkan hilang keyakinan diri lebih-lebih lagi buat mereka yang berhijab. Masalah seperti kulit kepala berminyak, kulit kepala gatal dan kelemumur perlu diberi lebih perhatian agar kekal segar dan sihat. Ini kerana rambut yang sihat boleh meningkatkan keyakinan seseorang wanita. CLEAR Superfresh Apple yang baharu, syampu anti-kelemumur diformulasikan dengan teknologi Nutrium 10 dan wangian epal segar. Nutrium 10 CLEAR mengandungi pelbagai ramuan nutrien, vitamin dan mineral memberi perlindungan daripada dan menghalang kemunculan semula kelemumur.
PERANGI KEROSAKAN KULIT
Sinaran cahaya UV, infrared dan pencemaran alam sekitar merupakan punca utama kerosakan kulit wanita moden. Bagi menghambat kesan kulit kusam dan tidak bermaya ini SK-II telah memperkenalkan siri pencerahan kulitnya, The New Atmosphere Airy Light UV Cream SPF50+. Inovasi yang telah dinobatkan ini mencipta lapisan holistik demi melindungi dan memperbaiki kulit yang terdedah dengan anasir yang berbahaya tersebut. Melalui formulasi yang diperbaharui, Atmosphere Therapy Complex bersama dengan PITERA™ dan bahan natural Ume serta Opuntia Cactus extract, Atmosphere Airy Light UV menjadikan krim ini wajib dimiliki oleh setiap wanita.
RANGSANG KEANJALAN KULIT
Kulit yang lembap dan bersih lambang kecantikan kulit yang sebenar. Kuasa batu permata memang diperakui dapat membantu mengekalkan keanjalan kulit yang diidamkan. Jenama produk penjagaan kulit, Omorovicza yang terkenal dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi untuk menyembuhkan kerosakan kulit telah mempersembahkan Blue Diamond Super Cream. Krim istimewa ini mengandungi Diamond Peptides yang boleh memanjangkan hayat sel kulit dengan melindungi DNAnya. Disuntik pula dengan tiga jenis hyaluronic untuk merangsang hidrasi yang lebih mendalam untuk membantu keanjalan kulit sehingga menyingkirkan garis halus dan kedutan di atas kulit.
SELAMI KUASA SEGAR
Setiap wanita mendambakan kulit yang sihat dan segar seperti zaman remaja dahulu. Namun, tuntutan kerjaya dan gaya hidup yang serba mencabar menjadi halangan buat wanita kini. L’occitane telah meraikan keajaiban Provence dengan memperkenalkan rahsia magisnya, The Réotier Spring. Pancuran air yang unik ini telah melahirkan air mineral yang kaya dengan sumber mineral terbaik untuk kesihatan dan kecantikan kulit. Kaya dengan sumber kalsium hampir 10 kali ganda membuatkan Ultra Thirst-Quenching Gel ini begitu lembut bertindak di atas kulit untuk menentang kulit kering dan mereka berpanjangan. Gel yang gemerlapan ini mengandungi beribu-ribu mikro-buih yang memberi kelembapan ke atas kulit dengan serta-merta.
MANDIAN CIPTA KETENANGAN
Setelah penat bekerja sepanjang hari menikmati kesegaran mandi di bilik air sangat menguja. Rangkaian Safi Shower mengambil inspirasi daripada keharuman aroma minuman mocktail yang segar dan menenangkan akibat cuaca panas yang mencengkam kulit. Ditambah pula dengan khasiat alam semula jadi yang dilengkapi dengan perlindungan antibakteria. Hadir dalam 4 variasi mandian segar iaitu Serai Lime Splash, Passion Honey Frost, Kokonut Shake dan Berry Smoothie. Rangkaian ini amat sesuai untuk seisi keluarga! Setiap bilasan pada kulit amat berkesan dalam menyingkirkan kuman serta memberikan perlindungan harian.
WAJAH BEBAS CELA
Jerawat adalah musuh utama wanita yang boleh menjadikan mood menjadi tidak menentu. Namun usah gusar kerana Nanowhite telah memperkenalkan Dark Spot Corrective Serum dengan LumiLiteTM baharu diperkaya dengan tiga bahan pencerah bagi mengurangkan bintik hitam, memudarkan parut jerawat dan juga memberikan tona kulit yang sekata. Kolaborasi teknologi Nano, Omega White-C dan ekstrak semula jadi untuk membentuk konsentrasi pencerah yang menembusi jauh ke dalam kulit untuk penyerapan bahan aktif yang lebih baik untuk memberikan hasil kulit cerah yang berseri dan kekal lama.
NARATIF KELEMBAPAN KULIT
Kuasa bunga bagi meningkatkan seri wajah wanita tidak boleh dipertikaikan lagi. Pakar kimia jenama produk terkenal Kiehl’s sepakat mengangkat bunga Calendula sebagai bahan asas produk terbaharunya, Calendula & Aloe Soothing Hydration Masque. Topeng yang berasaskan gel ini diformulasikan dengan kelopak bunga Calendula dan aloe vera untuk menyuntik kulit wajah yang lembap dan berseri. Gel yang bertindak lembut ke atas kulit ini boleh digunakan tiga kali seminggu untuk melepaskan lelah bekerja sepanjang hari.
PENJAGAAN RAMBUT ORGANIK
Kelemumur boleh berpunca daripada beberapa perkara dan cara mengatasinya adalah membersihkan rambut dengan sempurna. Guardian telah memperkenalkan syampu dan perapi anti-kelemumur, Trio Oil Organik Botaneco Garden. Mempunyai formula bebas dari Parabens, silikon, sabun, pewarna, lanolin & DEA untuk rumusan yang unik dan prihatin bagi kulit, rambut, dan juga alam sekitar. Syampu dan perapi Anti Kelemumur Trio Oil Organik Botaneco Garden diperkaya dengan Jojoba dan minyak kelapa. Manfaat pelembap daripada rangkaian ini menjadikannya lembut dan berkesan dalam mengurangkan pembentukan kelemumur yang biasanya disebabkan oleh pengeringan kulit yang berlebihan dan aktiviti kelenjar minyak yang berlebihan.KULIT BERSIH DAN SEGAR
Sebagai wanita yang mementingkan kecantikan kulit tubuh juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Rangkaian penjagaan produk terkenal dari Korea, Innisfree telah menampilkan produk yang istimewa demi memelihara kecantikan kulit wanita. Memperkenalkan Innisfree My Body Cleanser Trial Kit (Cedar Wood), Innisfree My Body Cleanser Trial Kit (Daphne), Innisfree My Body Cleanser Trial Kit (Wild Berry) dalam bentuk pek kembara memudahkan wanita menjaga kebersihan dan kecantikan walau di mana sahaja juga berada. Haruman yang segar berkekalan sepanjang hari meningkatkan keyakinan wanita walaupun ketika bercuti atau bekerja di luar kawasan.
PELIHARA KULIT MUDA
Sebelum menata rias kulit sangat penting untuk menjaga kulit daripada sinar UV yang berbahaya dan melindungi kulit daripada terus rosak. Setiap wanita perlu prihatin dengan keperluan kulit agar terus terpelihara dan mengekalkan keremajaan kulit. Atas dasar kesedaran akan pentingnya penjagaan kulit Shiseido telah mempersembahkan produk perlindungan kulit Shiseido Clear Stick UV Protector WetForce SPF 50+ PA++++. Perlindungan daripada sinar berbahaya ini datang dalam bentuk batang yang mudah digunakan dan dibawa ke mana-mana sahaja. Tidak melekit serta menyediakan sapuan sempurna dan mudah dibuang dengan pencuci wajah biasa.
Hidup Dengan Hanya Satu Buah Pinggang, ACHA SEPTRIASA Lebih Fokus Jaga Kesihatan
Buah pinggang adalah antara organ yang paling penting dalam tubuh manusia. Kerosakan buah pinggang boleh membawa kepada penyakit yang serius atau kematian. Setiap buah pinggang mempunyai struktur dan fungsi yang sangat kompleks.
Buah pinggang mempunyai dua fungsi penting iaitu menyingkirkan sisa bahaya yang toksik dan mengekalkan keseimbangan air, cecair, mineral dan bahan kimia iaitu elektrolit seperti natrium, kalium dan sebagainya. Oleh itu, penjagaan buah pinggang amat penting untuk memastikan sistem tubuh dapat berfungsi sebaiknya.
Namun begitu, terdapat juga individu yang hidup dengan hanya mempunyai satu buah pinggang sahaja.
Penyanyi dan pelakon Indonesia, Acha Septriasa pernah mendedahkan bahawa dia pernah tidak menyedari bahawa dirinya hidup dengan hanya mempunyai satu buah pinggang sahaja.
Acha, 33, berkata, dia hanya menyedari tentang perkara itu sewaktu berusia 18 tahun ketika membuat pemeriksaan di hospital. Pelakon filem Layla Majnun ini memberitahu tabiat jarang minum air putih serta suka menahan kencing telah membongkar tentang keadaan kesihatan dirinya.
Ketika menginjak usia 18 tahun, hasil pemeriksaan USG, MRI serta CT Scan dilakukan dan hasil pemeriksaan mendapati selama ini Acha hidup dengan hanya satu buah pinggang sahaja.
“Ketika menjalani penggambaran filem saya sering pengsan kerana tidak kuat disebabkan perlu berada di lokasi sehingga 20 jam lamanya.
“Saya juga jarang minum air putih dan suka menahan kencing apatah lagi kalau terpaksa menempuh perjalanan jauh,” katanya.
Ekoran kerap pengsan, Acha mengambil keputusan ke hospital untuk membuat pemeriksaan selepas mengadu sering sakit pada bahagian perut sebelah kiri.
“Hasil pemeriksaan dan CT scan mendapati saya tidak mempunyai buah pinggang di bahagian kanan. Sepanjang hidup saya rupa-rupanya hanya bergantung pada satu ginjal sahaja,” ujarnya kini menetap di Australia memandangkan suami tercinta berkhidmat sebagai jurutera di sebuah syarikat teknologi di sana.
Ibu kepada seorang cahaya mata Bridgia Kalina Kharisma atau lebih mesra di sapa Brie berkata keadaan kesihatannya itu juga merupakan sesuatu yang memberi kejutan bukan sahaja untuk dirinya, malah turut memberi tamparan hebat buat kedua orang tuanya.
Jelas Acha, ibu bapanya juga tidak mengetahui tentang keadaan dirinya mungkin disebabkan ketika dia dilahirkan tiada alatan canggih untuk mengesan masalah itu.
Sementelah mempunyai satu buah pinggang, bagi pelakon yang memegang watak Roekmini dalam filem Kartini di samping Dian sastrowardoyo ini tidak melihat ia sebagai kekurangan buat dirinya tetapi dia perlu menjaga kesihatan dengan lebih teliti.
“Apa menjadi kesalahan kalau kita bekerja terlalu kuat dan tidak menjaga pemakanan sehingga buah pinggang terpaksa menampung beban. Akhirnya boleh menyebabkan buah pinggang rosak dan perlu menjalani rawatan dialisis,” katanya.
Sambung Acha lagi, dia tidak lagi minum sebarang minuman pewarna tiruan, malah minum air masak lebih banyak dari orang lain demi memastikan sistem kumbahan badannya dapat berfungsi dengan baik.
Meniti usia 32 tahun, Acha atau nama sebenarnya Jelita Septriasa kini menetap di Australia memandangkan suami tercinta berkhidmat sebagai jurutera di sebuah syarikat teknologi di sana.
Sering berkongsi aktiviti harian dengan pengikutnya di media sosial, jelas terserlah kehidupan bahagia Acha di samping keluarga tersayang. Malah, isteri Vicky Kharisma ini juga kelihatan makin cantik jelita! Sejak kehadiran cahaya mata sulungnya, Bridgia Kalina Kharisma pada 20 September 2017, kebahagiaan Acha sebagai ibu dan isteri semakin terserlah walaupun berada jauh di bumi kangaru.
Fakta Mengenai Buah Pinggang:
- Kebanyakan orang (lelaki dan perempuan) mempunyai dua buah buah pinggang.
- Buah pinggang terletak di bahagian atas dan belakang abdomen, pada sisi tulang belakang (lihat rajah). Tulang rusuk melindungi dua buah pinggang tersebut.
- Buah pinggang terletak di dalam abdomen dan biasanya tidak boleh dirasa dari luar badan.
- Buah pinggang adalah sepasang organ berbentuk kacang. Bagi orang dewasa, buah pinggang adalah kira-kira 10 cm panjang, 6 cm lebar dan 4 cm tebal. Berat setiap buah pinggang adalah kira-kiranya 150-170 gram.
- Air kencing yang dihasilkan dalam buah pinggang mengalir ke pundi kencing dan kemudian melalui ureter. Setiap ureter adalah kira-kira 25 cm panjang dan strukturnya adalah seperti tiub berrongga yang terdiri daripada otot-otot khas.
- Pundi kencing adalah organ kosong yang terdiri daripada otot, yang terletak di bahagian bawah dan bahagian belakang abdomen. Ia bertindak sebagai takungan atau simpangan air kencing.
- Pundi kencing dewasa biasanya menakung kira-kira 400-500 ml air kencing; apabila penuh, seseorang akan merasakan dorongan untuk membuang air kecil.
- Air kencing dalam pundi kencing dikeluarkan melalui uretra semasa proses membuang air kecil. Bagi wanita, uretra agak pendek, sementara ia lebih panjang bagi lelaki.