Tahun lalu kecoh di media sosial mengenai seorang pelawak mempersendakan penampilan Jada PinkettĀ Smith yang tampil botak di majlis berprestij tersebut. Di sebalik penampilan tersebut, Jada Pinkett Smith sebenarnya mengalami masalah kesihatan dikenali sebagai Alopecia Areata.
Apakah sebenarnya keadaan yang dialami Jada? Menurut NDTV aktres itu pernah berkongsi mengenai Alopecia Areata.
Jada yang juga seorang pelakon siri TV 21 Jump Street mengalami penyakit itu dan mendedahkan diagnosisnya secara terbuka pada 2018. Menurut Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat, Alopecia Areata adalah sejenis penyakit autoimun.
Bagi penyakit autoimun, sistem imun individu terbabit menyerang bahagian badan sendiri. Bagi penghidap Alopecia Areata, sistem imun menyerang folikel rambut dan menyebabkan keguguran rambut.
Keadaan itu biasanya menjejaskan keadaan kepala dan muka.
Rambut biasanya gugur dalam tompok bulat kecil. Namun dalam beberapa kes, keguguran meliputi permukaan kepala yang lebih luas. Kebanyakan penghidap penyakit itu sihat dan tidak mempunyai simptom lain.
JENIS ALOPECIA AREATA
Apakah yang menyebabkan keadaan tersebut? Alopecia Areata terjadi apabila sistem imun menyerang folikel rambut dan menyebabkan keradangan. Penyelidik tidak memahami sepenuhnya apa yang menyebabkan serangan imun pada folikel rambut, tetapi mereka percaya bahawa kedua-dua faktor genetik dan persekitaran (bukan genetik) memainkan peranan.
Alopecia areata diklasifikasikan kepada tiga jenis seperti berikut:
Bertompok: Dalam jenis yang paling biasa, keguguran rambut berlaku pada satu atau lebih tompok bersaiz syiling pada kulit kepala atau bahagian lain badan.
Total: Penghidapnya kehilangan hampir keseluruhan atau semua rambut.
Universal: Ini adalah jenis yang sangat jarang berlaku iaitu di mana terdapat keguguran rambut yang lengkap pada kulit kepala, muka dan seluruh badan.
Pelakon itu mula mendedahkan tentang keadaannya secara terbuka pada siri Red Table Talk pada 2018. Pelakon berusia 50 tahun itu berkata Alopecia Areata yang dialaminya āmenakutkanā untuk ditangani. Lebih-lebih lagi rambut merupakan mahkota kecantikan seorang wanita.
Jada mendedahkan pada peringkat awal dia menemui sejumlah besar rambut ketika mandi. Dia kemudian memutuskan untuk memotong rambutnya. Pelakon itu tampil dengan gaya rambutnya yang dicukur pada Julai 2021.
Dalam pada itu, Johns Hopkins Medicine menganggarkan sebanyak 3 peratus (10 juta orang) daripada keseluruhan penduduk AS, mempunyai penyakit autoimun. Terdapat satu kajian yang dijalankan pada tahun 1997 mendapati, penyakit autoimun kebanyakannya menyerang golongan wanita terutamanya bagi penyakit yang menyerang bahagian tiroid.