Sudah agak lama personaliti televisyen, Zulin Aziz tidak muncul di kaca televisyen. Sejak mendirikan rumahtangga bersama suami tersayang, Farhan Norzaini pada Februari lalu Zulin nampaknya sudah menemui cinta baharu selain cinta dalam industri seni. Ya, cinta yang membuatkan Zulin Aziz ingin lebih serius mendalaminya.
Walaupun tidak bercadang menoktahkan karier seninya sebagai pelakon, namun kini Zulin semakin sukses sebagai usahawan. Siapa sangka, dia mampu menjana pendapatan lumayan melalui media sosial berbanding lakonan!
Ya, satu realiti yang pahit untuk ditelan tetapi itulah hakikat yang dapat dirasai sendiri oleh Zulin yang mula aktif sebagai anak seni sejak tahun 2009. Zulin kini aktif bergelar usahawan yang menggunakan medium TikTok sebagai medium untuk memasarkan produk penjagaan wajah, Bebita Beauty yang dikongsi bersama rakan perniagaannya.
Zulin, 33, ketika ditemui di kediamannya bersama krew majalah NONA bagaimanapun mengakui mahu memberi tumpuan dan perhatian kepada “cinta terbaharunya’ itu.
“Saya tak nafikan pendapatan daripada bidang perniagaan lebih menguntungkan dan cepat berbanding kerjaya lakonan. Walaubagaimanapun, ia bukanlah alasan untuk saya tinggalkan terus bidang seni. Tidak dinafikan wajah saya kurang muncul di kaca televisyen sebagai pelakon kerana sibuk menguruskan perniagaan. Tetapi saya aktif di medium media sosial yang lain untuk mempromosikan perniagaan,” ujar Zulin yang jatuh cinta dengan dunia perniagaan atas dorongan suami tersayang, Farhan Norzaini.
Nampaknya Zulin sudah jatuh cinta dengan dunia baharunya itu. Tidak hairanlah mengapa Zulin memasang azam tahun hadapan untuk menjadi lebih kaya dari suami tersayang! Satu statement berani mati dari seorang isteri untuk seorang suami. Namun ada maksud tersirat dan tersurat di sebalik kenyataan Zulin itu. NONA berkongsi rasa dengan selebriti ini maksud kaya yang menjadi impiannya itu.
“Saya bercita-cita bukan sahaja nak jadi kaya dari segi harta, tetapi kaya dalam pelbagai aspek kehidupan sebagai isteri, anak dan ibu suatu hari nanti. Jujur banyak tawaran terpaksa ditolak disebabkan kekangan masa serta fokus saya yang lebih tertumpu kepada perniagaan, tetapi ia bukanlah halangan untuk saya memperbaiki diri menjadi individu yang lebih baik dalam pelbagai aspek” katanya ketika ditemui di kediamannya yang terletak di pinggir Kuala Lumpur.
Kembali bercerita mengenai perkara yang banyak mengisi masa lapangnya kini, Zulin mengakui dirinya mampu menjana pendapatan lumayan apabila membuat ‘review’ di media sosial berbanding bayaran lakonan.
“Pendapatan untuk buat satu ‘review’ sahaja kadang-kadang melebihi bayaran untuk sebuah telemovie. Sebab itulah saya kini memilih naskhah yang betul-betul bagus dan bersesuaian sahaja,” katanya kali terakhir muncul di televisyen menerusi drama Penjara Janji terbitan JS Pictures pada Ramadan tahun lalu.
Mengulas mengenai produk terbaharu keluarannya iaitu Bebita, Zulin berkata, dia sudah lama bercita-cita untuk memiliki rangkaian produk penjagaan wajah sendiri. “Kecantikan begitu dekat dengan diri saya. Menyedari usia saya kian meningkat, sebab itu saya keluarkan produk yang memfokuskan kepada anti penuaan. Ramai orang masih tidak sedar mengenai kepentingan krim tabir suria.
“Alhamdulillah, walaupun produk tersebut baharu sahaja dilancarkan, ia berjaya meraih jualan lebih daripada RM100,000 walaupun belum membuka jualan kepada ejen dan stokis,” katanya.
Bebita Beauty merupakan produk penjagaan kulit yang diusahakan bersama influencer terkenal Kyrina Kassim. Malah Zulin banyak menghabiskan masa mendalami selok-belok perniagaan dan membuat kajian tentang produk bagi menghasilkan produk yang bersesuaian dan terbaik di pasaran.
Bebita Beauty mengeluarkan produk Whitening Sunscreen dan Lip and Cheek Treatment yang menggunakan Live Tik Tok sebagai platform utama memperkenalkan produk.
Zulin bersyukur di atas sambutan yang luar biasa diterimanya semasa memperkenalkan produk tersebut di platform digital Tik Tok.
Isteri kepada Farhan Norzaini ini juga memasang niat untuk membantu sesiapa sahaja yang ingin menjadi sebahagian keluarga Bebita sekaligus berpeluang menjana pendapatan sampingan untuk menampung kos kehidupan kini yang semakin meningkat.
Berpeluang menimba ilmu bisnes dan bergelar rakan kongsi kepada Kyrina Kassim yang juga merupakan seorang influencer yang terkenal di media sosial, Zulin menyerap segala ilmu perniagaan daripada rakan kongsinya yang mempunyai pengalaman luas lebih 7 tahun dalam perniagaan.
“Zulin banyak belajar mengenai selok belok perniagaan dari Kyrina. Pelbagai pengalaman yang telah ditempuh oleh Kyrina, jatuh dan bangun dalam perniagaan menjadikan beliau seorang yang lebih kuat dan matang di dalam dunia perniagaan ini.
Masing-masing mempunyai kelebihan, Zulin dan Kyrina amat dikenali di media sosial kerana kami aktif di platform seperti, TikTok dan Instagram.
Bukan itu sahaja, “content-content” yang dihasilkan juga menjadi ikutan dan inspirasi kepada semua orang di luar sana terutamanya pengikut-pengikut di laman social tersebut,” ujar Zulin lagi.
Baik Zulin mahupun Kyrina amat berharap usahasama mereka dalam bidang perniagaan akan mendatangkan faedah untuk semua dan amat menghargai sokongan semua pihak yang menjadi pendorong mereka untuk maju dalam dunia perniagaan.
Ketika artikel ini ditulis, Zulin dan Farhan sedang menikmati fasa berbulan madu sambil mencari peluang perniagaan di Korea. Kegembiraan jelas terpancar di wajah pasangan suami isteri ini menikmati bulan madu musim sejuk di Korea bersama rakan perniagaan mereka.
Menutup perbualan mengenai impian Zulin di tahun 2023, sudah semestinya dia menyimpan pelbagai impian untuk dikecapi sebagai seorang isteri, anak dan wanita yang bergelar usahawan. Meskipun pernah melalui fasa ‘kecewa’, namun Zulin tetap memasang angan untuk berjaya dalam apa jua yang diceburinya.
Teks: @rosmahidayu_as
Foto: @remyothman
Penata Gaya: @kiffy_razak
Solekan: Masz @makeupbymaszmirza
This website uses cookies.