Terus membuktikan keupayaannya sebagai ikon permata negara, persembahan Dato’ Sri Siti Nurhaliza dalam konsert AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berlangsung baru-baru ini mendapat pujian luar biasa. Kefasihannya bertutur dalam Bahasa Tamil serta penyampaian lagu ‘Munbe Vaa’ dendangan asal Shreya Ghoshal pada malam itu turut mendapat tepukan gemuruh.
Memetik sumber Sinar Harian, persembahan Dato’ Sri Siti Nurhaliza itu memukau 60,000 penonton yang berada di stadium sehingga diberikan standing ovation sebagai tanda hormat.
Kehebatannya tidak perlu dipertikaikan. Ramai memuji persembahan wanita yang diangkat sebagai penerima Nona Celebrity Business Award dalam Nona Superwoman Award 2022 itu kerana fasih menyebut perkataan-perkataan dalam bahasa Tamil.
Suara merdu dan lenggok indah Siti Nurhaliza ketika mendendangkan lagu ‘Munbe Vaa’ turut menarik perhatian pengguna TikTok, Sharmini Sharm. Katanya, sukar dicari kecacatan dalam persembahan beliau malah slang Tamil yang digunakan juga sempurna.
Ads
“Hampir kesemuanya sebutan betul. Sedangkan ada artis India tapi slang lain, beliau sampaikan yang terbaik!”
Menerusi satu hantaran video TikTok, Sharmini yang merupakan finalis Miss Malaysia Kebaya 2022 memuji persembahan penyanyi berusia 44 tahun itu.
“Ramai yang bertanya sama ada sebutan perkataan-perkataan bahasa Tamil oleh Siti Nurhaliza betul atau tidak. Sedangkan ada yang berbangsa India pun kadang kala bahasa Tamil mereka pelik.
Setahu saya yang turut berada di konsert berkenaan, hampir 99 peratus sebutan beliau adalah betul.
Ads
Saya bukan cikgu bahasa Tamil tapi Siti Nurhaliza menyebut (pronunciation) betul. Beliau sampaikan persembahan yang terbaik.
Walaupun beliau beritahu nervous, tetapi saya rasa beliau sangat happy. Tiada siapa yang perasan beliau gugup.” Sharmini
IMPIAN SITI NURHALIZA
Ads
Terdahulu, Siti menzahirkan membuat persembahan bersama AR Rahman adalah impiannya sejak sekian lama.
“Alhamdulillah, tiada apa dapat saya lafazkan, bersyukur dan berterima kasih di atas peluang yang datang. Saya berusaha semampu saya untuk memberikan yang terbaik.
Bukan untuk diri saya sahaja tetapi buat peminat, penonton dan tentunya buat Malaysia.
Sewaktu menerima e-mel dari seniman AR Rahman, saya tidak berfikir panjang, terus menerima undangan beliau kerana saya tahu dalam setiap apa yang kita lakukan, dalam apa bidang sekalipun, kita ada wishlist yang kita ingin capai. Salah satunya saya telah capai malam tadi di konsert AR Rahman.
Setiap ucapan, komen dan semangat yang anda berikan, adalah untuk kita semua. Muzik menyatukan kita dan kita dapat menyanyikan lagu keharmonian bersama-sama.” Dato’ Sri Siti Nurhaliza
AR Rahman ialah penggubah filem, penerbit rakaman, pemuzik dan penyanyi India. Kerjaya skor filemnya bermula pada awal 1990-an dengan filem Roja. Beliau menempa nama dan telah memenangi dua Anugerah Academy, dua Anugerah Grammy, satu BAFTA Award dan Golden Globe.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Suatu ketika dahulu, beberapa selebriti tanah air pernah memberi kejutan dalam industri hiburan apabila mengumumkan berhijrah ke arqah lebih baik, mengenakan busana patuh syariah, berhijab dan berniqab.
Ini merupakan satu perkembangan positif apabila figura-figura kesayangan ramai ini memilih untuk menjadi role-model kepada para peminat untuk lebih mendalami islam. Antara selebriti yang memilih untuk berniqab adalah, Waheeda, Fynn Jamal, Ina Naim, Diana Amir dan Neelofa.
Malah, penghijrahan selebriti tanah air ini telah membuka mata ramai tentang kepentingan menjaga dan menutup aurat dengan sempurna. Begitu juga dengan penghijrahan selebriti jelita, Diana Amir sejak dua tahun lalu benar-benar memberi inspirasi kepada semua.
Team NONA berpeluang bertemu mata dan menemu bual beliau sewaktu sesi rakaman No Turning Back bersama Hijabista, Diana sempat menjawab beberapa persoalan yang diutarakan.
Berniqab Untuk Diri Sendiri, Demi Dapat Redha Allah
“Saya rasa ini satu fasa untuk saya, untuk diri saya nak dekatkan diri pada Allah SWT. Jadi saya cuma mengharapkan semua orang doakanlah.
“Bagaimanapun yang pentingnya saya tidak melanggar syarak dan yang paling penting sekali hati saya melakukan apa-apa sahaja bukan hanya berniqab tapi ibadah yang lain ikhlas lillahi ta’ala dan semoga mendapat rahmat Allah. Itu sahaja sebenarnya,” ujar pelakon Strawberi Cinta ini.
Bagaimana Diana Gapai Istiqamah?
Ditanya mengenai perjalanan untuk istiqamah, Diana menjelaskan bahawa kita haruslah mencari hikmah dalam setiap tindakan yang dilakukan agar segalanya terasa dipermudahkan olehNya.
“Perjalanan untuk istiqamah itu saya rasa paling penting untuk semua orang adalah dia. Kalau niat dia kerana Allah, insyaAllah pastinya kita berjalan kepada Allah, Allah akan ‘berlari’ nak membantu kita. Nak dekatkan diri kita kepada Allah SWT.
“Jadi, saya rasa kita sebagai hamba Allah yang banyak kekurangan ini haruslah bersangka baik dengan Allah. Jadi apa saja yang kita buat, kita kena cari apa kebaikan di sebaliknya.
“Kalau kita dapat yang buruk-buruk, kita akan rasa susah. Kita akan rasa banyak cabarannya. Tapi kalau kita nak istiqamah, cari apa hikmahnya yang kita akan dapat. Itu akan mudahkannya. InsyaAllah,” kata Diana.
Untuk rekod, setelah hampir 10 tahun berhijab, pelakon dan pengacara Diana Amir akhirnya mengambil keputusan memakai niqab sejak dua tahun lalu.
Terkesan dengan kisah para sahabat yang sudah dijanjikan syurga namun tetap berusaha memenuhi segala tuntutan Allah membuatkan dirinya sedar bahawa dia juga perlu berusaha.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Hijabista
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sebaris ayat, cinta kepada bangsa dan negara Malaysia, saya sanggup mati untuknya… hampir membuatkan jantung penulis luruh ke kaki. Terasa besarnya hati wanita itu, dan alangkah kecilnya jiwa penulis di depan tokoh yang banyak berjasa ini.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 ini, yang jatuhnya pada tahun penuh dugaan, dengan pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonominya, ayuh kita bangkitkan semangat patriotisme dan rasa cintakan negara sehebat mungkin.
Siapa lagi yang lebih layak mengimbau besarnya nilai kemerdekaan di negara kita, jika bukan mereka yang pernah melalui sendiri peritnya kehidupan pada zaman penjajahan.
Ya, saban kali tibanya tanggal 31 Ogos, nostalgia berbual mesra di kediaman Tan Sri Datin Paduka Seri Zaleha Ismail, sampai sekarang masih meninggalkan rasa rindu mahu membalik masa.
Kalau perlu dikumpulkan semua sumbangan mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu, rasanya tidak cukup sehari. Wanita bijak lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) dari Universiti Malaya ini memegang portfolio kerjaya yang begitu impresif sejak remaja.
Sambil membiarkan penulis ralit meneliti album-album gambar lama, kotak kenangan Tan Sri Zaleha sebagai anak pra-merdeka pun mula terbuka.
Layar nostalgia hitam putih bagai berputar menceritakan kisah keperitan hidup, termasuk yang dilalui sendiri oleh beliau sekeluarga. Paling sukar dilupakan, tentu sekali sewaktu anak jati Kuala Langat itu membesar pada zaman pemerintahan Jepun.
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 menandakan satu detik perubahan antara pemerintahan orang Inggeris kepada Jepun. Tan Sri Zaleha yang baru memasuki Sekolah Melayu Sg. Pelek pada ketika itu turut menerima tempiasnya.
“Setiap pagi kami dipaksa berbaris, berdiri menghadap matahari terbit sambil menyanyikan lagu kebangsaan Jepun, Kimi Ga Yo. Hari-hari menyanyi, sampaikan sekarang pun saya hafal liriknya… Kimigayo wa… Chiyo ni, yachiyo ni…” nyanyi Tan Sri Zaleha sambil merenung jauh.
“Di kampung kami, ada seorang budak lelaki yang tugasnya memberi signal jika askar Jepun datang. Setiap kali signal berbunyi, kami semua akan bertempiaran lari ke hutan dan bersembunyi.
Kami akan menyorok di celah-celah perdu pokok sehinggalah suasana kembali selamat. Bimbang jika dijumpai, nyawa akan melayang. Yang gadis akan diperk0sa, kanak-kanak dihambat dengan benet. Orang lelaki atau warga tua pula akan dipukul tanpa belas kasihan.
Pada ketika itu, arwah bapa saya bertugas sebagai penghulu kampung. Namun kerana tak sanggup melihatkan kekejaman askar Jepun, dia tekad meletak jawatan. Bayangkan kalau mereka datang ke kampung, habis rumah-rumah penduduk digeledah.
Bukan itu saja, kami juga pernah menyaksikan bom meletup di depan rumah. Bayangkan betapa takut dan cemasnya pada waktu itu. Mujurlah tiada sesiapa yang tercedera,” imbau Tan Sri Zaleha.
SEKOLAH INGGERIS
Sekitar tahun 1945, setepatnya selepas Perang Dunia Kedua berakhir, beliau sekeluarga pun berpindah ke Bagan Lalang. Cerita Tan Sri Zaleha, di sekolah ada seorang guru bernama Cikgu Atan yang tiba-tiba bertanya, ‘Ada sesiapa yang nak masuk ke sekolah Inggeris?’ kepada semua anak murid.
Maka dia pun cepat-cepat mengangkat tangan, tekad mengambil peperiksaan dan akhirnya diterima masuk ke High School Kajang.
“Pernah saya disindir oleh datuk saudara yang sangat skeptikal terhadap sistem pembelajaran Inggeris. Katanya pelajar Melayu di sekolah Inggeris pasti tak tahu mengucap nanti. Tapi saya keraskan hati. Saya belajar bersungguh-sungguh, lulus ujian dan berpindah lagi ke Methodist Girl School di Kuala Lumpur.
Persepsi negatif orang dulu-dulu terbukti salah kerana pelajar Muslim sebenarnya tidak perlu pun mengikuti kelas agama Kristian sewaktu belajar.
Kebetulan waktu itu, ayah saya menyambung tugas sebagai penghulu kampung di Seputeh, seterusnya ke Sungai Penchala. Saya masih ingat, hari-hari ayah akan mengayuh basikal tuanya untuk menghantar saya ke sekolah.
Perjalanan kami agak jauh, namun masa itulah saya yang membonceng basikal ayah dapat memeluk erat pinggangnya.
Tidak lama kemudian, ayah ditukarkan ke Salak Tinggi. Di situlah bermulanya fasa berdikari yang sebenar apabila saya terpaksa menumpang di rumah bapa saudara di Kampung Baru.
Berbekalkan duit tambang bas 10 sen, dapatlah saya berulang-alik ke sekolah dengan selesa setiap hari. Dan satu perkara hebat yang saya pelajari sewaktu di Methodist Girl School adalah tentang selflessness. Tentang memberi, dan bukan menerima semata-mata.”
KEMERDEKAAN
Kenangan menyambut hari kemerdekaan, tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sehingga kini masih basah di fikiran Tan Sri Zaleha. “Ketika itu saya masih menuntut di Tingkatan 6.
Awal pagi jam 4, saya sudah keluar rumah di Kampung Baru menuju ke stadium. Dalam cuaca yang agak mendung dan hujan renyai-renyai, saya dan tunang sanggup berpayung semata-mata ingin menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.
Sampai di Stadium Merdeka, saya lihat ramai yang sudah tiba lebih awal daripada kami. Selain masyarakat yang berbilang bangsa, ramai juga menteri dan pemimpin yang hadir. Upacara yang sepatutnya berlangsung jam 8 pagi, ditunda ke pukul 9 kerana hujan lebat.
Saya ingat lagi, sambil saya menanti dengan perut yang berkeriut belum bersarapan, baju yang basah tadi pun sempat kering. Kemudian tibalah saat yang dinanti-nantikan. Detik Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan lafaz keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka! jantung saya bagai ditiup semangat berkobar-kobar.”
Bezanya anak muda dahulu dan sekarang, sambung Tan Sri Zaleha, adalah pada jati diri yang semakin hilang. “Dulu kami sanggup berhujan dan berpanas, berjalan beramai-ramai dengan satu tujuan untuk menyelesaikan sesuatu isu.
Mungkin sejak kecil telah didendangkan dengan semangat agar menuntut kemerdekaan, kami jadi ‘agresif’ dan berjiwa patriotik.
Anak-anak pasca merdeka pula seharusnya merasa bertuah kerana dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan negara tanpa perlu bersusah payah. Golongan muda sekarang dapat membesar dengan selesa, tak seperti pada zaman saya dulu. Namun jangan sesekali dilupa bahawa pencapaian kita hari ini, harus dipertahankan dari generasi ke generasi.
Ingat, bukan mudah meraih berkat ‘kebebasan’. Jika kita hanyut dibawa arus budaya luar, tak mustahil jika suatu hari nanti ia hilang semula,” pesan Tan Sri Zaleha sambil menekankan pentingnya mengekalkan identiti bangsa Melayu sejati dalam setiap jiwa anak muda.
EVOLUSI
Kesempatan meniti tahun demi tahun dan melihat sendiri evolusi yang berlaku di Malaysia, membuatkan Tan Sri Zaleha percaya tentang kuasa pendidikan. “Selepas kemerdekaan, banyak peningkatan yang berlaku terhadap kehidupan rakyat secara progresif. Saya sendiri berevolusi. Contohnya daripada terpaksa berjalan ke sekolah sejauh 10km, bertukar naik basikal, kemudian naik bas dan akhir sekali naik kereta milik ibu bapa.
Evolusi sebenarnya berkait rapat dengan ilmu. Saya yakin jika kita tidak menuntut ilmu, kita sukar menyumbang bakti secara direct kepada negara. Dengan pengetahuan yang dimiliki juga, kita bukan sahaja dapat menjana ekonomi dan membantu keluarga, malah dapat berjasa melalui sektor yang diceburi.
Foto: LPPKN
Sebagai contoh, saya sendiri merupakan seorang anak kampung yang susah. Namun usaha belajar tanpa jemu akhirnya meletakkan diri saya sebaris di barisan Kabinet Malaysia. Percayalah, peluang itu selalu ada bagi mereka yang berusaha.
Kesempatan melalui pelbagai zaman yang berkembang pesat, selalu membuatkan saya bersyukur ke hadrat Ilahi. Saya bangga kerana dari semasa ke semasa, negara kita mampu menyediakan pelbagai prasarana yang diperlukan rakyat.
Kemudahan pendidikan dan peluang pekerjaan melimpah ruah, maka terpulanglah bagaimana kita harus memanfaatkannya. Sebab itu berulang-ulang saya tekankan, orang perempuan mesti belajar bersungguh-sungguh supaya kita senang mendapat pekerjaan yang baik,” ulas wanita yang menjadikan tokoh Indra Gandhi dan almarhumah Tan Sri Aishah Ghani itu sebagai idola terhebat.
Satu perkara yang penulis kagum tentang Tan Sri Zaleha, adalah fokus beliau terhadap sesuatu yang sedang dibuat. Masakan tidak, di saat sembang kami meleret ke cerita lain, beliau tiba-tiba akan kembali bertanya tentang soalan sebenar yang ditanyakan penulis. Begitulah sikap wanita pintar ini, orangnya tidak mudah melencong.
“Ya, begitu juga jati diri kita. Sayangilah tanah air ini dan martabatkan semula bangsa Melayu. Saya tidak bercakap soal racism, tetapi realiti sejarah pernah mencatatkan bahawa bangsa kita adalah bangsa yang amat gagah dan berani.
Berbanggalah dengan identiti nenek moyang kita, sepertimana bangsa keturunan Red Indian atau puak asli Afrika pada asal-usul mereka. Saya ingin melihat kegemilangan bangsa Melayu yang terbilang, tak kira dari rumpun apa pun, kita harus bersatu-padu,” akhiri beliau.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jika dahulu nama Kilafairy tidak pernah terlepas dari tempias imej seksi. Namun, siapa sangka hidayah Allah SWT datang dalam pelbagai cara. Sebelum ini, penyanyi dan pelakon yang berusia 27 tahun ini dalam diam telah mengubah imejnya dan seterusnya mengenakan hijab.
“Alhamdulillah, berkat doa ibu bapa dan sempena tahun 2020 saya mahu mulakan sesuatu yang segar dan bersih. Pastinya perubahan itu seiring dengan kematangan diri. Ia seperti isyarat atau panggilan kepada diri sendiri. Dalam hidup ini kita sentiasa berusaha mahu jadi lebih baik dan memperbaiki diri,” kongsi Kilafairy.
Fenomena selebrti mengusahakan sebuah perniagaan bukan suatu yang baharu. Masing-masing mempunyai cara yang tersendiri untuk membentuk empayar yang dibina. Anak kepada penyanyi terkenal era 1980-an, Rohana Jalil ini telah berjaya mempertaruhkan perniagaan berasaskan makanan tambahan menerusi KILAFIT.
Artis cantik ini juga telah membuktikan dirinya berjaya bergelar usahawan dan menyuntik inspirasi kepada warga muda untuk berjuang dalam perniagaan sepertinya. Penyanyi lagu Put The Word In ini sempat berkongsi bahawa ibunya merupakan pencetus kepada usahanya untuk bergelar usahawan wanita berjaya.
“Apabila mama berdepan kesan sampingan yang teruk daripada produk yang digunakan saya tidak mahu hal sama terjadi kepada orang lain dan menjadi mangsa. Sebab itu saya bangkit memulakan perniagaan sejak setahun lebih yang lalu untuk memberi solusi penurunan berat badan terbaik tanpa kesan sampingan.
Alhamdulillah misi itu berjaya dicapai menerusi testimoni yang menggunakan produk saya secara konsisten. Pelanggan dan pengguna produk saya berjaya turun berat badan dengan selamat,” kongsi pemilik nama sebenar Syakila Nisha Jangir Khan ini.
Foto: Instagram @kilafairyofficial
Kilafairy juga merupakan selebriti yang peka dengan perkembangan semasa. “Saya seorang yang sayangkan haiwan. Krisis kebakaran hutan di Australia dahulu begitu menyentuh hati saya. Saya turut bersimpati dan mengambil berat isu umat Islam Uighur di China yang ditindas serta terbaru isu COVID-19 yang menggemparkan dunia.
Foto: Instagram @kilafairyofficial
Gadis kelahiran Kuala Lumpur ini menyatakan kebimbangannya tentang obsesi wanita menjaga penampilan. “Kita menjaga kesihatan atau mahu menurunkan berat badan sekalipun bukan kerana aspek luaran semata mata. Bab dalaman juga harus dititik-beratkan.
Foto: Instagram @kilafairyofficial
Saya sendiri apabila mendengar banyak cerita di sekeliling terutama mengenai hal sakit tenat dan berita kematian di usia muda atau meninggalkan anak yang masih kecil, hati ini terpalit rasa sedih yang amat.
Foto: Instagram @kilafairyofficial
Malah menerusi pengamatan dan pembacaan, kes kematian kerana berat badan berlebihan juga antara yang cukup membimbangkan. Tiada jaminan dan kompromi dalam bab ini. Hal sebegini terus menggerakkan saya dan pasukan kerja menetapkan misi baru KILAFIT untuk membantu orang di luar sana mencegah masalah kesihatan akibat berat badan berlebihan,” bicara Kilafairy.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!