Pelakon hebat Fauziah Nawi antara penggiat seni yang menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan.
Penganugerahan itu sempena sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut mStar, darjah kebesaran yang diberikan kepada pelakon veteran itu adalah Darjah Kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM), iaitu bagi penggiat seni yang banyak berjasa sepanjang berkerjaya sebagai anak seni tanahair.
Fauziah memberitahu mStar bahawa beliau sangat bersyukur dan sememangnya tidak pernah mengimpikan penghargaan seperti ini.
“Dengan pingat ini, saya harap dapat memberi lebih banyak khidmat bakti,” katanya.
Fauziah memulakan kerjaya seni pada sekitar 1974 sebagai seorang penyanyi sebelum aktif berlakon, lapor mStar. Beliau membintangi puluhan drama dan filem sejak 1981 selain aktif membimbing para pelakon baru.
Selain itu, seorang lagi penggiat seni, DJ Dave atau Irwan Shah Abdullah, pula dikurniakan dengan Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’.
Beliau tersenarai bagi kategori sukarelawan atas jasanya sebagai Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air.
Tahun ini menyaksikan seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 yang berlangsung di Istana Negara, antara lain Allahyarhim Nik Aziz dan Lim Kit Siang.
Sumber: Mstar
Gemar Teliti Sejarah, Punca Aktress Perancis Marine El Himer Gapai ‘Hidayah’ Peluk Islam!
Model jelita dan bintang realiti televisyen Perancis, Marine El Himer mengumumkan bahawa dia kini telah memeluk agama Islam. Menurutnya, ketika memutuskan berhijrah adalah moments terindah dan paling menggembirakan dalam hidupnya.
Lebih menakjubkan apabila, dua hari setelah menganuti agama Islam, menerusi laman Instagram miliknya, Himer telah berkongsikan gambar dirinya mengenakan hijab sewaktu sedang menjalani ibadah umrah di tanah suci Mekah.
Himer Teruja Jejak Tanah Suci Lepas Peluk Islam!
Menerusi hantaran tersebut dapat dilihat Himer mengambil gambar dirinya sedang menyentuh kaabah yang merupakan Qiblat utama umat Islam di seluruh dunia.
“Inshaallah, tiada kata-kata yang mampu saya gambarkan bertapa teruja, gembira dan penuh emosinya saya ketika menikmati saat indah ini yang merupakan sebuah perjalanan rohani yang diharapkan akan terus membimbing serta menaikkan semangat saya bergelar umat Islam, inshaallah,” tulis Himer pada ruangan kapsyen menerusi hantaran itu.
Teliti Sejarah Islam, Sebelum Terima Hidayah!
Memetik laporan media Perancis, Himer yang dibesarkan oleh bapa tirinya, banyak menghabiskan masa untuk meneliti sejarah Islam sebelum tertarik untuk menganutinya kini.
Jelas Himer, keputusan yang diambilnya untuk memeluk agama Islam bukanlah satu perkara baharu. Malah keputusan yang dilakukannya itu setelah melakukan pelbagai pertimbangan menerusi jiwa raga serta hati nuraninya yang tertarik dengan keindahan Islam.
Para pengikut Himer di laman Instagram meluahkan rasa gembira, bersyukur dan berterima kasih, apabila selebriti kegemaran mereka dan juga pempengaruh media sosial yang mempunyai follower mencecah 1.5 juta itu sudi memeluk Islam.
Untuk rekod, di Perancis, nama Himer mulai melonjak naik dan dikenali ramai menerusi rancangan realiti televisyen yang berjudul “Les Princes et Les Princesses de l’Amour (Putera dan Puteri Cinta).”
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber: Instagram Marine El Himer
Saintis Wanita Terbaik Di Dunia, Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan Antara Kebanggaan Malaysia
Memecah dominasi patriarki dalam bidang sains kimia dan nanoteknologi, pencapaian Academician Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan ini jelas amat membanggakan.
Eksklusif sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021, Nona mengatur bicara dengan Saintis Akademik berusia 65 tahun itu demi meresap aspirasi dan semangat berbaktinya.
Lembut dan bersahaja. Begitulah personaliti Prof Halimaton, anak Johor dan ibu kepada dua cahaya mata ini. Siapa sangka di sebalik senyuman manis yang terukir di bibirnya, beliau memegang pelbagai portfolio penting di Malaysia.
Jika mahu disenaraikan segala anugerah, pencapaian, pengiktirafan, penulisan mahupun penyelidikan akademik Prof Halimaton di peringkat nasional dan antarabangsa, barangkali terlalu panjang untuk ditulis.
Selain bergelar Profesor Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Halimaton juga merupakan Pengerusi Malaysia Institute for Innovative Nanotechnology (NanoMITe), Pengerusi Lembaga Pentadbiran International Science, Technology and Innovation Center (ISTIC) di bawah UNESCO, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin serta Senior Fellow Akademi Sains Malaysia.
Tengoklah senarai tu, bukan calang-calang wanita mampu menggalas jawatan sehebat Prof Halimaton!
HARI WANITA
Tanggal 8 Mac setiap tahun diangkat sebagai hari istimewa untuk meraikan wanita di seluruh dunia. Bagi Prof Halimaton, beliau berbangga dengan pencapaian wanita Malaysia dalam bidang sains.
“Sebenarnya jika dibandingkan dengan negara membangun dan maju sekali pun, pencapaian wanita Malaysia dalam bidang sains hari ini sangat baik.
Wanita Malaysia bebas memilih bidang pengajian semenjak Malaysia merdeka dan telah menerima gaji dan sokongan yang sama.
Jadi melalui pengalaman dan pemerhatian saya, wanita dalam bidang sains di Malaysia telah membuktikan kebolehan mereka dalam penyelidikan, pembelajaran dan industri yang mereka ceburi.”
Bersandarkan falsafah hidup, ‘Tanya diri sendiri dan buat apa yang termampu tanpa menyusahkan orang lain,’ Prof Halimaton menjadikan arwah ayahnya sebagai sumber inspirasi. “Arwah seorang yang tegas, berintegriti dan mengutamakan pendidikan dalam kehidupan.”
Sedekad kebelakangan ini, nama Prof Halimaton cukup masyhur dengan gelaran ‘Prof Maerogel’ susulan penemuan beliau mencipta aerogel daripada sekam padi. Bagaimana agaknya perkembangan penemuan tersebut setakat ini?
“Aerogel daripada sekam padi (Maerogel) yang ditemui telah menerima paten Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Penghasilan Maerogel telah dibangunkan di peringkat pasca-makmal dan pra-komersial.
Melalui kajian lanjutan yang telah dijalankan, berasaskan permintaan industri, teknologi penghasilan aerogel silika telah dipertingkatkan, yang mampu menyelesaikan masalah keselamatan dan penggunaan tenaga yang tinggi.
Penghasilan aerogel silika menggunakan teknologi Renewable Silica (RenSil-A) ini telah diuji untuk penggunaan oleh industri penebat haba (insulation blanket), sarung tangan, kabel elektrik dan paip gas dan minyak.
Dengan kerjasama daripada industri, projek penghasilan RenSil-A yang pertama akan dibangunkan dalam masa terdekat,” cerita Prof Halimaton panjang lebar.
Terkini, saintis akademik hebat ini sedang dalam fasa akhir projek penyelidikan NanoMITe (2015-2020). Mereka sibuk membangunkan sistem pirolisis pasca penyelidikan bagi penghasilan bahan api jet (jet biofuel) daripada biojisim kelapa sawit.
“Kami juga dalam proses komersial produk dan teknologi penyelidikan, merancang hala tuju strategik dan pengurusan ISTIC, memperbaiki perlaksanaan pembelajaran atas talian pasca COVID-19 di UTM, melaksanakan program pemerkasaan ilmu STEM kepada guru bersama ISTIC dan Pusat STEM serta merancang hala tuju strategik penyelidikan nanoteknologi (NanoMITe).”
Sebagai ahli akademik, Prof Halimaton tidak menafikan turut bimbang dengan masa depan pendidikan sains pasca COVID-19.
“Pendidikan sains sangat terjejas oleh pandemik. Seperti yang kita maklum, pendidikan sains di Malaysia sedang dalam proses pemerkasaan dengan menerapkan pendekatan belajar memahami dengan melakukan eksperimen.
Pandemik COVID-19 telah memaksa pembelajaran atas talian dijalankan secara tiba-tiba yang merencatkan pembelajaran sains khususnya. Justeru, kita menghadapi cabaran yang sangat besar untuk memastikan pembelajaran sains yang telah tertinggal di semua peringkat dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Pelajar perlu mampu mengubah ilmu sains alam maya ke alam nyata sebaik sahaja mereka bersekolah semula,” luahnya sambil menyatakan alangkah baik jika rakyat Malaysia telah dibekalkan dengan ilmu sains yang menyeluruh sebelum ini.
Generasi zaman ini lebih cenderung belajar secara visual, kurang kemahiran motor, jauh sekali minat terhadap sains. Komen Prof?
“Kecenderungan ini bukan atas dasar keperluan tapi kemudahan. Sekiranya pembuat polisi memahami keperluan asas pembelajaran sains adalah melalui pendekatan membuat dan mengalaminya secara nyata dan diberikan keutamaan, minat terhadap sains pasti dapat dikekalkan.
Sebagai contoh, dengan melihat video orang memasak sesuatu resipi tidak menghasilkan makanan yang sedap jika kita tidak memasak sendiri dan memahami ilmu yang terlibat.”
YAYASAN MYPRIHATIN
Selain bidang pendidikan, Prof Halimaton juga aktif dalam bidang amal kebajikan. Antaranya sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyPrihatin.
“MyPrihatin telah ditubuhkan oleh sekumpulan pemuda untuk menyumbang ke arah pembangunan masyarakat Malaysia yang berpengetahuan dan sihat.
Badan amal ini berhasrat melaksanakan program tertentu, menggunakan bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat untuk dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.
Pengalaman saya dalam akademik dan bidang sains mendorong saya untuk membantu Yayasan menyumbang ke arah tersebut. Kita mahu membantu golongan yang memerlukan untuk mendapatkan ilmu yang sesuai untuk membantu kehidupan masa hadapan.
Banyak pengalaman berharga yang ditimba sepanjang bergelar Pengerusi Yayasan MyPrihatin. Namun salah satu yang paling bermakna bagi saya adalah sewaktu kami bekerjasama dengan Yayasan IJN.
Ketika itu MyPrihatin telah membantu melalui proses logistik yang membolehkan ramai pesakit kanak-kanak untuk menjalani pembedahan di IJN. Ramai pesakit kanak-kanak daripada golongan keluarga B40 dapat dibantu untuk mendapatkan rawatan di IJN.
Pengalaman itu cukup-cukup berharga bagi saya,” akhirinya.
Syabas Prof Halimaton! Nona mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia 2021 buat seluruh wanita yang sentiasa berbakti, berkorban masa dan keringat demi masa depan anak pertiwi.
Ada Apa Dengan Nama ANGGERIK DANG JELITA, SEROJA DEWI HARAPAN & MELOR PELANGI MERDU
Unik dan klasik sungguh nama anak-anak Dahlia Nadirah ni. Bukan hanya sedap disebut, ia sebenarnya memiliki maksud tersendiri. Dahlia yang merupakan isteri kepada penyanyi dan pencipta lagu terkenal tanahair, MonoloQue, adalah pengasas kepada SO.LEK Cosmetics.
“Semasa dikurniakan anak pertama iaitu Anggerik Dang Jelita, LoQue inginkan satu ‘tema’ untuk nama anak. Disebabkan nama saya Dahlia iaitu nama bunga maka LoQue tanya ok tak nama anak pun bunga? Saya setuju.
Kami memang suka nama klasik kerana ia represent our personalities. Kami juga obses dengan unsur klasik dan tradisional yang menggambarkan betapa indahnya Bahasa Melayu. Nama Anggerik Dang Jelita seratus peratus diilhamkan oleh LoQue. Kami rasa nama tu sangat cantik dan sempurna. Anggerik yang kini berusia 7 tahun seorang yang sangat matang, artistik, peramah dan thoughtful.
Seroja Dewi Harapan pula, ketika saya mengandungkanya kami pernah ‘kehilangan’ Seroja dua kali. Kali pertama, degup jantungnya tak dapat dikesan. Kali kedua, kandungan disahkan ‘gugur’. Namun semasa saya ke hospital untuk membuat procedure tiba-tiba degup jantungnya dapat dikesan! Kami amat bersyukur dan gembira.
Memandangkan banyak cabaran sepanjang mengandungkan Seroja maka kami selitkan perkataan Harapan dalam namanya. Seroja sangat individualistic, protective dan berani. Usianya kini 3 tahun.
Sementara untuk anak bongsu, mulanya LoQue dah tak nak letak nama bunga. Tapi saya terfikir kalau nama lain, dah besar nanti takut dia persoalkan kenapa nama saya dan kakak-kakak nama bunga tapi namanya lain. Akhirnya kami memilih nama Melor Pelangi Merdu.”
PERNAH DIEJEK & DIKUTUK
“Selama ni memang banyak komen yang tanya kenapa nama anak pelik? Kenapa panjang sangat? Kebanyakannya dari keluarga dan teman-teman sendiri. Setiap kali media siarkan nama anak, pasti ada yang mengejek dan mengutuk. Paling banyak dikomen nama anak ketiga kerana banyak media, blog publish article about her name and it went viral.
Saya sangat terguris dan sedih pada mulanya tapi LoQue hanya ketawa dan cakap jangan layan. Katanya orang yang banyak masa mengutuk orang lain sebab nak tutup kekurangan diri sendiri. So saya berhenti membaca dan unfollow the accounts and gossip sites.”
LEBIH TERBUKA DIDIK ANAK-ANAK
“Kami sangat terbuka dengan anak anak. Cara kami bergaul dan bercakap dengan mereka pun macam orang dewasa. Mereka bebas bersuara dan bertanya tentang apa jua perkara. Bila mereka menangis atau marah, kami akan duduk dan tanya kenapa mereka begitu. We feel like open communication is the best. Kami juga dedahkan mereka dengan didikan agama. Tak terlalu memaksa tapi more to create curiousity tentang apa yang diajar. Maka, mereka akan banyak bertanya.
Kami juga dedahkan mereka dengan muzik dan seni. Seawal umur setahun, kami bawa mereka ke theater atau melihat tarian tradisional dan persembahan antarabangsa. Kami mahu mereka menjadi seorang yang bangga dengan asal usul dan diri sendiri.
Kami juga akan sokong dan asah bakat mereka. Contohnya Anggerik, she likes Maths and arts than reading, so di rumah kami banyak buat Maths dan encourage dia untuk melukis dan mewarna.
Harapan kami biarlah mereka menjadi insan yang sentiasa gembira serta tak pernah malu dengan diri sendiri dan asal usul. Untuk kerjaya, kami tak kisah asalkan mereka rajin berusaha dan tak mudah putus asa bila dugaan menimpa.
Usaha, doa dan tawakal tiga perkara utama yang kami bimbing untuk mereka. Buat masa ni tiada perancangan untuk tambah anak. Tapi kalau ada rezeki kami terima dengan hati terbuka.”
RAHSIA CANTIK IBU ANAK TIGA
“Positif dan sentiasa belajar benda baru, biar otak cerdas serta sihat. Saya tak suka benda-benda rumit, lagi-lagi setelah ada tiga anak. Untuk penampilan, saya suka solekan natural dan ringkas.
Produk SO.LEK Cosmetics as natural is my first choice of make up product. Selain itu, prioritizing and time planning are the most important thing. Buat yang termampu, jangan bandingkan diri kita dengan orang lain.”
Kredit Foto: Instagram Dahlia Nadirah