Lembaran kerjaya Fazura berkembang indah. Segala sesuatu yang dikecapi tepat pada waktunya. Dari seorang anak seni, beliau bangkit membina empayar perniagaan gergasi. Tudung Fazura antara jenama hijab Malaysia yang mencipta fenomena, menjadi rebutan dan koleksi ramai, sekaligus menjemput lebih ramai Muslimat menutup aurat. Melalui bisnes yang dibangunkan itu juga, Fazura berjaya membantu ramai wanita lain.
Bukan mudah untuk menyusun temu janji dengan usahawan selebriti yang diangkat sebagai penerima Nona Hijab Business Award di acara berprestij Nona Superwoman Award 2022 ini. Takwim kerjanya padat. Saban hari sibuk dengan pelbagai urusan di dalam dan luar negara. Mujurlah ke mana sahaja kaki melangkah, Fazura sering ditemani suami tercinta Fattah Amin.
Paling mempesona, peralihan imejnya sejak berhijab langsung tidak membuat aktres dan penyanyi asal Pekan, Pahang itu ‘hilang bisa’ daripada terus bergaya.
Jalan hidup kita, suka atau duka, semuanya telah disusun cantik oleh Allah. Sejak berkahwin pada tahun 2018, pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang usahawan wanita yang terkenal di tanah air.
Kalau dulu sekadar mengusahakan butik fesyen House of Doll, kini beliau berjaya melahirkan lebih banyak rangkaian jenama gaya hidup dan Muslimah seperti Fazbulous, Fazura Skincare, Fazura Beauty, Tudung Fazura, Trudolly (jenama yang diusahakan bersama Puteri Zarith) serta yang terbaharu, Fazura Beauty Water.
Yang tumbuh dengan cepat, layu cepat. Yang tumbuh dengan perlahan, bertahan. Rentak bisnes Fazura yang progresif antara resipi kejayaan beliau meraih keyakinan pembeli, koleksi demi koleksi.
Mengimbau kejayaan Tudung Fazura sempena Ramadan lepas umpamanya, habis terjual sebanyak 200,000 helai dalam tempoh sejam. Itu belum termasuk koleksi-koleksi lain yang ‘sold out’ sebaik dilancarkan.
HIJRAH
Pertama kali melangkah keluar dengan transformasi hijab sepenuhnya, Fazura akui sungguh tenang. Penghijrahan itu sememangnya sudah diduga sejak awal lagi. Bermula dari sekadar berhijab hanya pada bulan Ramadan, Fazura dilihat perlahan-lahan menyenangi helaian yang lebih longgar dan sopan.
Tidak mendadak, akhirnya transformasi imej Fazura secara rasmi berlaku menjelang penghujung 2021. Fattah Amin dan ahli keluarga Fazura pastinya menjadi orang terawal paling gembira melihat perubahan wanita berusia 39 tahun itu.
“MasyaAllah, Dia permudahkan semua yang Faz buat. Apa saja yang terdetik di hati, tiba-tiba jadi mudah. Now I respect myself more!” Fazura
Sambil mengiyakan pendapat bahawa untuk bertudung itu mudah tapi untuk beristiqamah itu yang susah, Fazura tegas berpegang pada niat sebenarnya, iaitu menjadi wanita Muslimah yang sejati.
“Of course everyone has their own struggle. Macam saya yang baru berhijrah pun, hati selalu berbolak-balik. Saya selalu berdoa dan mohon juga doa semua kepada Allah agar kebaikan ini berterusan buat selama-lamanya.” Fazura
Paling menyentuh hati, Fazura sangat bersyukur kerana perniagaan tudung yang dijalankan sedikit sebanyak membuka hati segelintir kaum wanita untuk mula belajar menutup aurat.
Sebagai salah seorang selebriti popular yang pernah menerima banyak anugerah, laluan Fazura dalam dunia keusahawanan terbentang luas menggunakan platform peminatnya yang ramai. Terkini, jumlah pengikut beliau mencapai 5.7 juta di Instagram dan 460,000 di TikTok!
Ibu kepada si comel Nur Fatima Aisya, 2 tahun, itu juga menolak sangkaan klise tentang fenomena artis bertudung semata-mata untuk berniaga. Bersangka baik dengan takdir Allah, pasti hikmah di sebaliknya besar sekali.
Pun begitu, sebagai wanita yang sering diangkat sebagai ikon fesyen, adakah jiwa Fazura terhadap seni fesyen telah benar-benar berubah?
“Sekarang Faz lebih seronok dan suka berfesyen, malah makin suka explore macam-macam gaya hijabi. Mujurlah sejak dulu Faz seorang yang ringkas dan suka tudung bawal.
Koleksi wardrobe pun banyak seluar jeans dan oversized shirt yang sesuai dengan diri Faz yang baru. Cuma itulah, Faz nak cuba lebih banyak stail hijab yang berbeza.”
Bersyukur kerana bukan sahaja dapat membantu membuka pintu hati para wanita untuk berhijab, perniagaan Tudung Fazura juga turut membantu orang lain, khususnya stokis dan ejen menjana pendapatan selepas terkesan teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kata Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 itu, ramai stokis dan ejen yang bernaung di bawahnya sebelum ini hilang punca pendapatan.
Sentiasa mengutamakan circle yang sihat serta positif, Fazura yang kini mempunyai lebih 4,000 orang ejen serta dropship berdaftar bertuah kerana dirinya sering dikelilingi ‘besties’ yang saling mendorong satu sama lain.
“Kebanyakan ‘besties’ saya ialah golongan suri rumah yang ingin membantu suami menjana pendapatan. Saya bangga dengan kejayaan mereka yang sama-sama mendukung jenama Tudung Fazura serta produk-produk saya yang lain.
Ini membakar semangat saya untuk terus menghasilkan produk pada harga mampu milik yang sesuai untuk semua.”
Baca artikel perjuangan bisnes 1Minute Miracle bersama penerima Nona Best Cosmetic Brand Award, Ain Fatin Liyana ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
This website uses cookies.