Aktres popular Fazura sekali lagi menzahirkan rasa teruja apabila menerima hadiah berupa sebuah potret dirinya sekeluarga yang sangat cantik. Isteri kepada aktor Fattah Amin itu berkongsi di laman Instagram miliknya yang memaparkan beberapa foto dia bersama Fattah dan Fatima bersama potret keluarga pemberian daripada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin binti Abdul Rahman.
Melihat foto yang dimuat naik di Instagram miliknya, kelihatan Fazura dan keluarga berada di Istana tetapi tidak dimaklumkan lokasi istana tersebut.
Patik sekeluarga merafak sembah serta menjunjung kasih di atas kurniaan DYMM Tuanku Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor berupa sebuah potret kami sekeluarga yang sangat cantik.
Patik sekeluarga berasa sangat terharu dan bersyukur di atas kurniaan yang amat bermakna ini. Kenangan ini amat bernilai buat patik sekelurga dan akan diabadikan selamanya.
Junjung kasih Tuanku.
Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman berkenan menghadiahkan cendera hati buat Fazura di mana Tengku Permaisuri Norashikin sebelum ini pernah menghadiahkan beberapa keping syiling emas dan beberapa naskhah buku keagamaan.
Menerusi perkongsian tersebut, pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu berasa amat terharu dan bersyukur di atas kurniaan yang amat bermakna dan kenangan ini amat bernilai buat dirinya sekeluarga serta menjadi kenangan manis untuk diabadikan selamanya.
Keakraban Fazura dengan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin makin diketahui ramai. Jika sebelum ini, Fazura menerima pemberian istimewa Tengku Permaisuri Selangor buat anak tersayang, Fatima.
Kini kelibat Fazura turut kelihatan di samping DYMM Tengku Permaisuri Selangor lebih-lebih lagi ketika menghadiri majlis keraian. Dalam satu hantaran di Instagram Fazura, dia pernah meluahkan mengagumi keperibadian baginda yang disifatkan sangat merendah diri dan jelita.
Ia menjadi antara faktor mengapa Fazura mengagumi keperibadian Tengku Permaisuri Norashikin yang sememangnya mempunyai keperibadian yang amat disenangi oleh rakyat jelata.